2 DRAMA KHAS HARI IBU – MENGGENGGAM JANJI DAN SALJU DI HATI IBU DISIARKAN 7 MEI 2010 DI TV2
Penghargaan buat seorang bergelar ibu apabila satu dunia meraikan sambutan Hari Ibu yang disambut pada setiap Ahad minggu ke-dua bulan Mei saban tahun. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh anak-anak berkongsi perasaan cinta dan sayang terhadap insan yang bertanggungjawab melahirkan mereka melihat dunia dengan pelbagai perancangan majlis yang meriah.
Namun bukan itu yang dituntut sebaliknya hanya sebuah ciuman tanda sayang mampu membuatkan seorang ibu rasa pengorbanan mereka selama ini cukup dihargai. Peranan si anak untuk membela hari tua ibu tersayang pula paling bermakna membuktikan ikatan itu kukuh hingga ke syurga.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut berkongsi sambutan ini dengan menyiarkan dua buah drama khas menghargai ibu bertajuk Menggenggam Janji mengisi slot Pilihan Jumaat, jam 2.30 petang dan Salju Di Hati Ibu, jam 10.00 malam memenuhi slot drama popular Citra yang kedua-duanya disiarkan pada 7 Mei 2010 (Jumaat) di TV2.
Dibarisi pelakon Ezani Mizarif, Kuna, Ridana, Sarena Ridhuan, Mak Engku dan Avaa Vanjaa, Menggenggam Janji mengisahkan Azwan seorang pelajar kolej merupakan anak tunggal dalam keluarga Mahani dan Usman. Dibesarkan dalam serba kemewahan dan sempurna dengan penuh kasih sayang. Segalanya berjalan dengan baik sehinggalah pada suatu hari Usman dan seorang lagi rakan kongsinya terlibat dalam satu kemalangan jalanraya yang menyebabkan keretanya hangus terbakar dan mayat kedua-duanya gagal di kenalpasti.
Avaa Vanja
Tanpa pengetahuan ibunya Mahani, Azwan telah membenarkan DNAnya diambil bagi tujuan mengenalpasti mayat Usman. Keputusan DNA benar-benar mengejutkan Azwan yang mendapati DNAnya tidak sama dengan kedua-dua mayat tersebut. Azwan mula mempersoalkan status hubungannya dengan Mahani dan Usman. Ain, teman wanita Azwan mencadangakn agar beliau menyiasat sama ada dia anak kandung ataupun anak angkat. Pernah dia menanyakan hal ini kepada Mahani tetapi jawapan ibunya seperti yang diduganya bahawa Azwan anak kandung Mahani, namun Azwan kurang yakin.
Berbekalkan sedikit maklumat mengenai ibu kandungnya, Azwan nekad untuk mencari siapa ibu kandungnya yang sebenar tanpa pengetahuan Mahani. Melalui pertolongan seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Cik Ghani, Azwan dikenalkan dengan seorang wanita yang tidak begitu terurus kusut masai dengan pakaian compang camping. Bagaikan luruh jantung Azwan pertama kali melihat wajah wanita yang dikenali sebagai ‘Gayah Gila’ yang berkemungkinan besar ibu yang di carinya.
Kemudiannya diteruskan dengan drama Salju Di Hati Ibu berkongsi kisah penderitaan selama 25 tahun seorang perempuan tua, Nek Wan kerana mencari anak perempuan yang dilarikan oleh bekas suaminya, Husin. Husin berdendam kerana harta pusaka dan gagal rujuk semula dengan Nek Wan. Perasaan cemburu bila mengetahui Nek Wan berkahwin dengan lelaki lain membuatkan dendam Husin lebih menebal.
Walaupun tidak pasti akan menemui anaknya namun kerana kasih dan rindu yang mendalam, dia terus mengharap. Nek Wan sanggup menjual segala hartanya di kampung dan menetap di banyak tempat yang dikhabar Husin sebelum ini dengan harapan dapat menemui anaknya itu.
Ezani
Penderitaan Nek Wan menarik simpati seorang pemuda Cina bernama Eric yang kemudiannya menjadi teman berkongsi suka dan duka. Pada masa inilah Nek Wan pula menjadi tempat Eric mendalami tentang agama Islam. Tidak berapa lama kemudian, Eric memeluk Islam dengan nama Iskandar. Pada masa yang sama Iskandar sebenarnya telah jatuh cinta dengan pekerja baru di syarikatnya. Namun Iskandar nyatanya sudah terlambat. Iskandar tidak percaya bahawa Syahira yang dicintainya adalah isteri orang. Dia tetap mahu memenangi hati Syahira yang dianggap cuba menguji kejujurannya.
Siapakah Syahira yang sebenarnya? Adakah dia mempunyai pertalian darah dengan Nek Wan? Mampukah kehadiran Iskandar merungkai persoalan itu?
Kepada anda yang ingin mengetahui kisah selanjutnya jangan lupa menyaksikan Menggenggam Janji, jam 2.30 petang dan Salju Di Hati Ibu, jam 10.00 malam disiarkan pada 7 Mei 2010 (Jumaat) hanya di TV2.