DRAMA-DRAMA KHAS MAULIDUR RASUL DI RTM
Maulidur Rasul merupakan hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad yang disambut pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut sama meraikan sambutan Maulidur Rasul pada 26 Februari 2010 ini dengan menyiarkan tiga drama istimewa, Tempatkan Dia di Syurga (25 Februari 2010 [Khamis], jam 3.30 petang), Nur Hidayah (27 Februari 2010 [Sabtu], jam 1.00 pagi dan Nahi Mungkar (28 Februari 2010 [Ahad], jam 9.30 malam yang kesemuanya disiarkan menerusi saluran Dunia Ria, TV2.
Tempatkan Dia di Syurga mengangkat latar kisah kehidupan Salmah yang tertekan akibat pergolakan dengan suaminya, Zakir. Anak mereka Saliza juga merasai tekanan itu. Wahab, pemuda sekampung Salmah masih menaruh harapan dan kebetulan bertemu Saliza di Kuala Lumpur. Salimah tertikam Zakir ketika mereka bergaduh. Salimah ditahan dilokap dan dibebaskan 2 tahun kemudian. Beliau mencari anaknya Saliza yang diamanahkan kepada jirannya, Mona. Salimah terbunuh dalam pergelutan dengan penjenayah semasa cuba menyelamatkan anaknya yang dijadikan pelacur. Namun bagaimanakah kesudahan drama dibintangi Tasha Aziz, Hasnul Rahmat, Fauzi Nawawi, Siti Surya Suryani, Liza Zain, Shaharudin Thamby dan Fadilah Mansor ini?
Menyusul drama Nur Hidayah yang sarat dengan pengajaran kepada suami yang beristeri dua dimana plot cerita bermula dengan perkenalan yang tidak sengaja antara Hidayah dengan Fahmi. Perkenalan itu memutikkan bunga-bunga cinta yang dibaja dan disemai hingga kembang mekar ke jinjing pelamin walaupun tanpa restu dari ibu Fahmi, Rahimah. Begitu pun cinta yang hangat antara mereka semakin pudar apabila mereka tidak mendapatkan cahayamata setelah 5 tahun berkahwin. Doktor mengesahkan Nur Hidayah mandul. Bertambah benci Rahimah kepada Nur Hidayah.
Rahimah terus menyucuk jarum kebencian ke dalam jiwa Fahmi terhadap isterinya hingga kemudiannya Nur Hidayah mengizinkan Fahmi mengahwini Roziana. 8 bulan setelah berkongsi kasih dengan Roziana, Fahmi dimaklumkan bahawa isteri keduanya itu telah mengandung. Fahmi terus mual melihat wajah Hidayah dan jarang sekali pulang untuk menjenguknya. Semua yang dilakukannya serba tidak kena di mata Fahmi.
Begitu pun titik hitam dalam hidup Fahmi bermula apabila Roziana bertindak meninggalkan suami dan anak yang baru dilahirkan. Sejak itu tanggungjawab seorang ibu dtanggung sepenuhnya oleh Hidayah. Namun mampukah Fahmi mengembalikan semula kebahagiaan dalam rumahtanggnya setelah Hidayah disahkan menghidap penyakit barah otak? Nur Hidayah mengetengahkan barisan pelakon Jue Aziz, Azri Iskandar, Mariam Rahman, Harisma Syahira, Nurul Marliyana, Iris Sofea Halim dan Aznah Hamid.
Turut menemui penonton drama lakonan pelakon-pelakon dikenali ramai termasuklah Zamarul Hisham, Fizz Fairuzz, Watie Sadali, Kismah Johar, Hisham Ahmad Tajuddin, Shera Hazali dan Addy Ashraff bertajuk Nahi Mungkar yang mengisahkan kehidupan watak Shauki yang serba kemiskinan. Dia tinggal di kampung dan disebabkan mempunyai latar pendidikan yang rendah, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja berat Meskipun sibuk dengan tugas dan pelbagai tugas harian, dia sentiasa ke masjid untuk menunaikan solat fardhu berjemaah. Dia juga merupakan suami yang bertanggungjawab terhadap Suhana, isterinya dan bapa penyayang terhadap Nabil dan Nabila.
Pun begitu, Shauki dipandang rendah dan hina oleh ibu mertuanya, Mak Jam, ibu tunggal yang tinggal bersama anak bongsu kesayangannya, Aliff yang saling tidak tumpah perangainya dengan Mak Jam. Mak Jam yang memandang harta dan pangkat membenci Shauki kerana dialah satu-satunya menantu keluarganya yang miskin dan tidak berpangkat. Dia berasa malu bermenantukan Shauki.
Peluang terbaik akhirnya datang apabila dia ditawarkan oleh Tuan Haji Musa untuk mengembala kambing peliharaannya melihatkan keazaman dan kegigihan usaha Shauki. Shauki melakukan tugasnya dengan baik. Secara tidak langsung, perniagaan kambing tersebut semakin maju. Hasil cucuk tanamnya juga menyumbangkan hasil. Ini menambahkan rezeki keluarga Shauki.
Baha, sahabat baiknya berniat mahu menjatuhkan Shauki dengan memberi cadangan supaya Shauki mengaut semua keuntungan hasil jualan kambing dan menipu rekod penjualan. Kesibukan tugas di ladang dan kebun sayurnya menyebabkan Shauki mulai tidak sempat ke masjid.
Tuhan menurunkan ujian kepada Shauki untuk menguji keutuhan imannya. Nabil telah diserang sejenis penyakit kulit misteri. Shauki dan Suhana berubat sehinggakan wang simpanan menyusut. Baha muncul dengan cadangan jahatnya supaya mengaut semua hasil keuntungan penjualan kambing. Namun adakah keimanan di hati Shauki luntur apabila berdepan dengan ujian kehidupan yang mencabar itu atau pun sebaliknya terus bersabar dan menerima ketentuan takdir seadanya?
Pastikan anda menyaksikan tiga drama hebat dan sarat pengajaran ini menerusi TV2, Saluran Dunia Ria.