in ,

Drama Menarik di TV3 Sepanjang April 2013

TV3 RAIKAN CINTA DI BULAN APRIL
Pelbagai kisah cinta yang bakal menyentuh hati penonton

Terus mengukuhkan kedudukannya sebagai stesen TV yang menjadi pilihan utama di kalangan penonton Malaysia, TV3 membariskan 3 drama rantaian dan sebuah dramedy menerusi kempen ‘Raikan Cinta’ sepanjang bulan April 2013 buat tatapan semua.

Antaranya, Kisah Cinta (slot Lestary, setiap Selasa, 9.00malam), Sedetik Cinta (slot Akasia, Isnin hingga Khamis, 7.00 malam), Epilog Cinta Khirana (slot Samarinda, Selasa hingga Khamis, 10.00 malam) dan juga dramedy terbaru, Buletin Cinta yang bersiaran pada setiap hari Rabu jam 9.30 malam.

Menghimpunkan pelakon-pelakon tanahair yang berbakat besar dan popular seperti Shaheizy Sam (Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2012) dan Nur Fazura (Aktres Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17) dalam Kisah Cinta; Awal Ashaari dan Hanez Suraya dalam Sedetik Cinta; Tasha Shilla, Nazim Othman dan Aliff Aziz dalam Epilog Cinta Khirana serta nama-nama yang tidak asing lagi dalam genre dramedy seperti Jep Sepahtu, Saiful Apek dan Yassin yang akan berganding dalam dramedy Buletin Cinta, TV3 mengajak penonton setianya menyelami suka duka kisah cinta yang dipaparkan menerusi program-program tersebut.

barisan artis dan produksi drama bersiri Lestary Kisah Cinta-001

Lestary – Kisah Cinta (13 episod)
Setiap Selasa, 9.00 – 10.00 malam, mulai 9 April 2013

Penerbit: BZ2121 Productions / Zizie Ezette

Pengarah: Bahri Umar
Penulis Skrip : Eenaz Mokhtar & Farah Bani
Lagu Tema: Langit Biru oleh Asmidar

Pelakon:
Shaheizy Sam (Shah), Nur Fazura (Azalea),Nadia Aqilah (Juli),Ungku Ismail (Huzir),Nazim Othman (Azhari),Fazlina Ahmad Daud (Marina),Arash Mohd (Zainal),Kuza (Zaharah)

‘Kisah Cinta’ berkisar tentang cinta yang berputik dari pertemuan yang tidak diingini. Segalanya bermula semasa kemalangan tragis pada malam tahun baru 2013 di mana Zainal dan Zaharah maut selepas kereta mereka dirempuh dari belakang.

Konflik timbul sewaktu pengurusan tuntutan mayat oleh waris si mati apabila Azalea, anak perempuan Zainal dan Shah, anak lelaki Zaharah melaporkan yang ibu bapa mereka bukan pasangan suami isteri. Malah, Azalea tidak pernah mengenali Zaharah dan Shah tidak pernah mengenali Zainal. Dalam erti kata lain, Shah dan Azalea tidak mengenali satu sama lain.

Setelah selesai segala urusan tuntutan jenazah dan kedua pasangan ini telahpun disemadikan, Azalea dan Shah mula mencari jawapan untuk segala persoalan dan kemusykilan yang timbul daripada kejadian tragis yang menimpa ibu bapa mereka ini. Akhirnya, mereka membenci antara satu sama lain selepas menemui jalan buntu dan mula menuding jari menyalahkan diri masing-masing atas kejadian yang berlaku.

Semasa mengemas barang-barang peninggalan arwah ibunya, Shah terjumpa sebuah kotak yang mengandungi surat-surat lama milik Zainal dan ibunya. Asalnya Shah mahu membuang sahaja surat-surat tersebut tetapi dihalang oleh Azalea. Menurut Azalea, dia juga menjumpai surat-surat antara bapanya dan Zaharah. Azalea ingin tahu kesinambungan surat-surat tersebut. Baginya, ini merupakan peluang keemasan untuk menyelesaikan semua tanda tanya. Shah jelas tidak berminat. Dia takut kebenaran akan melukakan hati semua pihak.

Setelah dipujuk Azalea, Shah akur untuk setuju. Pasangan ini cuba menyelami kisah sebenar Zainal dan Zaharah berpadukan kronologi cerita yang dapat mereka ungkapkan dari surat-surat tersebut. Mereka mula menjejak kaki ke tempat-tempat yang tertulis, mencari nama-nama yang disebut, memahami perkara-perkara yang diceritakan. Satu-persatu kisah terungkai. Dalam tidak sedar, Azalea dan Shah mula mencipta kisah mereka sendiri di atas perjalanan ibu bapa mereka.

Walaupun begitu, perjalanan mereka bukanlah semudah itu. Pelbagai halangan yang harus ditempuh. Kekasih Azalea, Huzir kurang senang dengan situasi ini. Marina, ibu Azalea juga tidak suka dengan usaha anak perempuannya. Baginya, Zaharah adalah perempuan simpanan suaminya dan Shah seperti ibunya, bukanlah orang yang baik. Shah pula terpaksa mengorbankan waktu kerja sehingga dibuang kerja. Misi mereka untuk mencari jawapan terpaksa dihentikan. Hidup dan realiti mereka perlu diteruskan.

Kembali ke kehidupan sebenar memberi makna baru pada hubungan Azalea dan Shah. Mereka mula saling merindui. Apakah pasangan ini cukup tabah untuk melawan situasi dan emosi? Sementara itu, satu kronologi kisah cinta ibu bapa mereka terungkai di mana ada kebarangkalian bahawa mereka adalah adik beradik. Adakah ini kenyataan yang harus mereka terima? Atau masih ada lagi jawapan yang tertinggal?

Barisan artis AKASIA SEDETIK CINTA-001

Akasia – Sedetik Cinta (24 Episod)
Setiap Isnin – Khamis, 7.00malam, mulai 3 April 2013

Penerbit: Enuja Production Sdn Bhd / Zainudin
Pengarah: MP Roslin Md Sharif
Penulis Skrip: Mazelan Manan
Lagu Tema: Bukan Dia Tapi Aku (Judika)

Pelakon:
Awal Ashaari (Hakimi), Hanez Suraya (Emylia), Zarynn Min (Tini), Tunku Hanis (Elisya), Fizz Fairuz (Iskandar), Puteri Fatin (Sara), Redzuan Hashim (Taufiq), Kathy Azean (Ramlah), Rosnah Johari (Mastura), Sofian Bujang (Fuad)

Seminggu sebelum perkahwinan Hakimi dengan Elisya, suasana menjadi gempar apabila Elisya mengambil keputusan nekad untuk melarikan diri setelah mendapat tawaran memperagakan fesyen ciptaan anak Malaysia di luar negara yang kebetulan jatuh pada hari perkahwinannya. Memandangkan tawaran itu hanya datang sekali dalam seumur hidupnya, Elisya membuat keputusan sendiri tanpa memikirkan akibat yang terpaksa ditanggung oleh kedua-dua pihak keluarga.

Emylia telah dipujuk oleh ibu bapanya, Taufik dan Ramlah supaya menggantikan tempat kakaknya kerana segala persediaan telah diatur. Emylia terpaksa akur kerana mahu menjaga maruah keluarga. Pada mulanya, Hakimi enggan menerima ‘pertukaran’ tersebut kerana menganggap maruahnya sudah tercalar. Selepas Taufiq menawarkan 50% daripada hartanya kepada Hakimi sekiranya Hakimi bersedia menyelamatkan maruah keluarga mereka dengan syarat tidak boleh sama sekali menceraikan Emylia. Akhirnya, Hakimi bersetuju tetapi hatinya menyimpan dendam.

Perkahwinan tersebut telah mencetuskan pelbagai konflik. Ibu Emylia, Ramlah diburu rasa bersalah kerana terpaksa mengorbankan perasaan Emylia. Sejak kecil Emylia seorang anak yang naif kerana sering berdepan dengan penyakit asma. Justeru, Ramlah terpaksa memberi perhatian lebih kepada Emylia sehinggakan menimbulkan rasa kurang senang kepada Elisya yang berlarutan sehingga meningkat dewasa.

Elisya seorang yang keras kepala, bertindak tanpa memikirkan perasaan orang lain. Elisya sanggup menangguhkan pengajiannya di IPTA demi mengejar glamor sebagai seorang model. Ramlah terkilan dan berharap agar Elisya juga bersikap seperti Emylia yang tidak pernah membantah cakap orang tua. Sejak itu Elisya makin mencemburui Emylia dan sering mempergunakan Emylia jika berlaku masalah ataupun untuk mencapai tujuannya.

Emylia selalu diam diri dan dibebani dengan setiap kesalahan yang dilakukan oleh Elisya. Kini, dia terpaksa menanggung satu lagi beban yang amat besar dalam kehidupannya. Perkahwinannya dengan Hakimi menyebabkan hubungan cintanya dengan Fuad terputus. Fuad sedia menunggunya dan sanggup menerima Emylia sekiranya Hakimi menceraikan Emylia.

Hakimi dan Emylia tidak mempunyai perasaan cinta walaupun sudah menjadi suami isteri yang sah. Fuad cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan Emylia tetapi Emylia akur dengan takdir. Hakimi yang sakit hati kerana dipermainkan oleh Elisya menyebabkan Hakimi mengambil peluang untuk membalas dendam terhadap Emylia dan keluarganya. Walaupun begitu, Emylia tetap melayan Hakimi sebaik mungkin dan tidak pernah membantah ataupun meninggikan suara terhadap perbuatan Hakimi.

Sikap Hakimi terhadap Emylia amat tidak disenangi oleh ibu Hakimi, Mastura. Mastura cuba menyedarkan Hakimi tentang tanggungjawabnya sebagai seorang suami, bagaimanapun Hakimi tetap tidak berubah sehinggalah suatu hari Hakimi terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan kakinya patah. Ketabahan Emylia menjaga Hakimi sepanjang Hakimi sakit mula mengubah sikap Hakimi selama ini. Sedikit demi sedikit dia mula kagum dan menyintai Emylia. Apabila Hakimi dan Emylia mula menjalin cinta, Elisya telah pulang ke Malaysia. Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Barisan artis dan produksi drama bersiri Samarinda Epilog Cinta Khirana-001

Samarinda – Epilog Cinta Khirana (16 Episod)
Selasa hingga Khamis, 10.00 – 11.00 malam, mulai 10 April 2013

Penerbit: Zeel Production
Pengarah: Azmi Hatta
Penulis Skrip: Hasliza Ismail
Lagu Tema: Cinta Sesungguhnya (Sabhi Saddi)

Pelakon:
Tasha Shilla (Dayang Khirana), Nazim Othman (Shahrul Azwan), Aliff Aziz (Sharqir Ikhwan), Fiza Halim (Zulaikha), Arash Mohamad (Dato’ Shamsul Ariffin),Raja Ilya (Eugene), Izati Abdullah (Rozana), Wan Shades (Pak Lang Daud), Raja Ema (Mak Lang Rabiah), Hairi Safwan (Luqman)

Pada 2 tahun lepas, sebuah kemalangan jalan raya telah meragut nyawa Dato’ Shamsul Ariffin. Khirana yang turut bersama dengannya cedera parah dan koma selama 2 tahun. Selepas dia sedar dari koma, dia telah hilang ingatannya. Kini, dia mulakan kehidupan baru dan bekerja di sebuah butik.

Shahrul Azwan dan Sharqir Ikhwan, adik kepada arwah Dato’ Shamsul Ariffin terkejut apabila terserempak dengan Khirana yang terselamat daripada kemalangan maut itu. Shahrul Azwan telah mempergunakan Eugene untuk menyakiti hati Khirana. Shahrul Azwan yang memerhatikan tingkah laku Khirana berasa pelik dengan personaliti Khirana yang jauh berbeza dengan apa yang dia bayangkan. Dia menganggap bahawa Khirana hanya berpura-pura dan merahsiakan sikapnya yang sebenar.

Justeru, Shahrul Azwan telah memasang perangkap untuk membawa Khirana ke sebuah hotel. Di sana, dia cuba merogol Khirana tetapi hanya mahu menakutkannya. Shahrul Azwan tersentak dengan tindakan Khirana yang berdoa meminta pertolongan Tuhan. Malu dengan perbuatannya, dia bergegas keluar meninggalkan Khirana menangis sendirian di bilik hotel.

Pada masa yang sama, kesihatan isteri kepada arwah Dato’ Shamsul Ariffin, Zulaikha semakin merosot. Sebenarnya Zulaikha masih hidup dalam dunia khayalannya dan menganggap suaminya masih ada di sisinya. Dia berpura-pura untuk menjadi normal apabila bersama keluarga tetapi apabila dia bersendirian, dia mula menunjukkan gangguan emosi yang tidak menentu.

Suatu hari, Khirana telah menggunakan jalan pintas ke perhentian bas sewaktu pulang lewat dari kerja. Tanpa diduga, dia dihalang oleh tiga lelaki yang sedang menunggunya. Tiba-tiba, Shahrul Azwan muncul bersama motosikal berkuasa tingginya telah merempuh ketiga-tiga lelaki tersebut. Khirana mula keliru dengan niat sebenar lelaki itu. Kadang-kala dia muncul semata-mata untuk menyakiti hatinya dan hari ini pula dia telah menyelamatkan dia.

Khirana mula merasakan ada sesuatu tentang sejarah silamnya yang mengundang pelbagai persoalan. Dia mendesak Ros Azura dan Rozanna untuk menceritakan kisah silamnya dan apakah hubungannya dengan Datuk Shamsul Ariffin yang pernah disebut oleh Shahrul Azwan. Rozanna dengan tidak sengaja telah membuka kisah silam dirinya yang tidak seindah yang disangkakannya. Khirana merupakan bekas model yang sanggup melakukan apa saja demi wang, malah dia juga seorang pemabuk dan penggoda. Yang paling mengejutkannya, Dato’ Shamsul Ariffin terkorban dalam kemalangan dua tahun lepas. Sejauh mana hubungannya dengan Dato’ Shamsul masih menjadi rahsia.

Shahrul Azwan mempersoalkan adiknya, Sharqir Ikhwan tentang wang syarikat yang lesap dan menuduh adiknya yang bertanggungjawab. Sharqir Ikhwan tegas menafikannya. Malah Sharqir Ikhwan juga mengingatkan Shahrul Azwan agar tidak lupa pada dendamnya terhadap Khirana. Sharqir Ikhwan mengaku telah memulakan langkahnya untuk ke arah itu. Shahrul Azwan sudah mengesyaki kejadian Khirana diganggu tempoh hari adalah perbuatan adiknya sendiri.

Khirana bersemuka dengan Shahrul Azwan untuk menyelesaikan persoalan di antara mereka. Dia mengaku bahawa kemungkinan besar dia memang mengenali arwah abangnya namun dia sendiri tidak tahu sejauh mana hubungan tersebut selagi ingatannya tidak kembali. Shahrul Azwan ingin bersikap adil. Dia menawarkan dirinya untuk membantu Khirana merawat penyakitnya sehingga pulih. Khirana tidak ada pilihan lain selain menerima tawaran tersebut demi untuk membersihkan namanya. Apakah kebenaran akhirnya akan terbongkar?

Buletin Cinta (13 Episod)
Setiap Rabu, 9.30 – 10.00 malam, mulai 3 April 2013

Penerbit: Primeworks Studios / Anniesafinas Haji Hassan
Pengarah & Penulis Skrip: Zulkeflee Mohamad Said

Pelakon:
Jep Sepahtu (Doktor Love), Saiful Apek, Yassin, Anzalna Nasir, Watie Elite, Acong, Taiyuddin Bakar, Rahim, Sharol Shiro, Zazleen Zulkifli, Mimi Haris, Myza Aryqa

Buletin Cinta membicarakan apa sahaja isu yang berkaitan dengan cinta bersama DOKTOR LOVE (Jep Sepahtu) yang dipersembahkan secara komedi. Antara topik-topik yang dipersembahkan menerusi Buletin Cinta ialah ‘Cinta Bollywood’, ‘Cemburu Kerana Cinta’, ‘Putus Cinta’, ‘Berkorban Kerana Cinta’, ‘Kuasa Cinta’ dan lain-lain.

Episod ‘Cinta Bollywood’ mengisahkan Doktor. Love telah menerima emel dari penonton yang bernama Karena tentang masalahnya yang menyintai dua lelaki pada masa yang sama. Kekasihnya, Salman telah lama menghilangkan diri dan kini Karena rapat dengan sahabat Salman iaitu Sahid. Tiba-tiba, Salman muncul semula. Apakah nasihat yang akan diberikan oleh Doktor. Love? Teruskan menyaksikan dramedy Buletin Cinta untuk menyaksikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pasangan bercinta dan apakah ‘petua’ yang akan dikongsikan oleh Doktor Love?

Penonton yang terlepas menyaksikan Kisah Cinta (Slot Lestary, setiap Selasa, 9.00 malam), Epilog Cinta Khirana (Slot Samarinda, setiap Selasa hingga Khamis, 10.00 malam), Sedetik Cinta (Slot Samarinda, setiap Isnin hingga Khamis, 7.00 malam) dan Buletin Cinta (Setiap Rabu, 9.30malam) boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Layari www.tv3.com.my serta Facebook & Twitter TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini.

Redzuan Hashim (Sedetik Cinta)-001Redzuan Hashim, salah seorang pelakon Sedetik Cinta

Zarynn Min (Sedetik Cinta)-001

Zarynn Min, Pelakon Sedetik Cinta

Shaheizy Sam (Kisah Cinta) 2-001

Shaheizy Sam Pelakon Drama Kisah Cinta

Nur Fazura (Kisah Cinta)-001

Nur Fazura Pelakon Drama Kisah Cinta

Saiful Apek (Buletin Cinta) 1-001

Saiful Apek Pelakon Buletin Cinta

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Malam Pertemuan Minda-Minda Kreatif Veedo.my

Gambar Dato Siti Nurhaliza & Pengguna SimplySiti di Legoland Malaysia