in , ,

Drama Lemas Dalam Cinta Lakonan Fahrin Ahmad dan Scha

FAHRIN AHMAD BINTANGI 2 DRAMA KEMERDEKAAN DI RTM – LEMAS DALAM CINTA (22 OGOS 2009) DAN NAMAKU BUKAN SETSUKO (29 OGOS 2009), SETIAP SABTU, JAM 9.00 MALAM DI TV1

Jika pejuang kemerdekaan disanjung baktinya kerana menyumbang tenaga dan berkorban nyawa untuk memerdekakan negara, namun bagi seseorang pelakon bakat mereka juga tidak kurang pentingnya dalam menyuntik semangat di kalangan masyarakat dengan drama-drama bercorak kemerdekaan yang dapat mengimbau sejarah kemerdekaan negara selain semangat cintakan negara.

Situasi itu turut dikongsi sama pelakon bertubuh sasa yang kini hangat bercinta bersama Scha Al Yahya, pelakon yang juga bekas pengacara program Sehati Sejiwa yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). Fahrin muncul membawakan dua watak utama menerusi dua drama menarik, Lemas Dalam Cinta (22 Ogos 2009) dan Namaku Bukan Setsuko (29 Ogos 2009), Setiap Sabtu, jam 9.00 malam Di TV1.

Istimewanya menerusi drama terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd, Lemas Dalam Cinta, Fahrin bergandingan dengan teman wanitanya, Scha Al Yahya sebagai pasangan kekasih yang berdepan situasi percintaan tiga segi. Watak utama adalah Jeffry Adam lakonan Fahrin sebagai bekas perenang kebangsaan yang bersara kerana kecederaan yang dialaminya. Tetapi kini dia menjadi jurulatih pasukan renang negara.

Jeffry menjadi rebutan dua gadis tetapi hatinya lebih kepada Anis Sofea yang didukung wataknya oleh Scha Al Yahya. Personaliti Anis Sofea telah menawan hatinya disebalik kelincahan dan kadang kala kelihatan agak kasar dan kurang sifat lembutnya. Sikapnya cukup berbeza berbanding Adriana, teman wanitanya yang belajar di luar negara.

Perangai Anis sering menjadi bahan teguran ayahnya, Kamal. Dari gaya Anis bercakap, ketawa dan berjalan, semuanya cuba diperbetulkan oleh Kamal, namun selalunya Anis hanya membetulkan penampilannya ketika berada di hadapan ayahnya dan semuanya bertukar seperti biasa di belakang Kamal.

Turut dibintangi pelakon Zazli Majid dan Dian P.Ramlee, usah ketinggalan menyaksikan pasangan kekasih ini beraksi di lokasi sepanjang dua jam siarannya ini yang sarat pengisian membentuk jati diri seseorang selain plot percintaan keduanya.

Menyusul kemudiannya juga drama lakonan Fahrin, Namaku Bukan Setsuko, drama yang sarat dengan kisah percintaan, kesetiaan dan pengorbanan dua insan semasa zaman pendudukan Jepun di Malaya yang akhirnya membawa perpisahan. Kazuo seorang tentera Jepun berpangkat General bertemu cinta pandang pertama dengan Tijah seorang gadis melayu penyanyi ghazal di Muar,Johor.

Pertemuan pertama mereka bermula ketika Kazuo dan bala tenteranya datang menggempor kampung di mana ketika itu Tijah sedang membuat persembahan ghazal di sebuah majlis perkahwinan. Cinta mereka berputik dari mata jatuh ke hati. Kazuo mengahwini Tijah walaupun mendapat tentangan termasuk Hamid yang ketika itu adalah tunangan Tijah. Hasil dari perkahwinan tersebut mereka di kurniakan seorang anak perempuan yang di beri nama Saleha.

Perpisahan mereka terjadi pada Ogos 1945 ketika Jepun menyerah kalah di Malaya. Hamid dan konconya memburu untuk menghapuskan Kazuo yang melarikan diri di suatu malam ketika hujan lebat bersama Tijah dan anak mereka. Perpisahan berlaku semasa mereka melarikan diri di mana Tijah terlepas daripada pegangan tangan Kazuo lalu hanyut di bawa arus air yang deras. Kazuo dan anaknya terselamat.

Kehadiran Setsuko bersama anaknya Yuki ke Malaysia pada Ogos 2008 berbekalkan seribu satu harapan di mana beliau ingin mencari dan menemui ibu kandungnya setelah sekian lama terpisah. Berbekalkan wasiat dari mendiang bapanya serta sebuah kotak kayu lama yang mengandungi gambar serta cincin lama peninggalan bapanya, Setsuko dan Yuki berusaha menjejaki wanita melayu bernama Tijah di Muar,Johor. Bahrin seorang pemuda tempatan, teman Yuki sewaktu menuntut di Tsukuba Universiti membantu mereka untuk merealisasikan harapan mereka.

Cabaran demi cabaran serta kekeliruan mereka tempuhi sepanjang proses menjejaki Tijah di mana wanita yang mereka jumpai bukanlah Tijah namun Nek Mah. Selain seorang imam tua di kampung tersebut bernama Tok Hamid.

Selain Fahrin Ahmad, drama terbitan Unit Drama RTM arahan Fahmi Sarindi ini memperkenalkan watak lakonan Mariani Ismail, Nisya Dirr, Dian P.Ramlee, Elaine Daly, Wan Maimunah, Maimun Talib, Abu Bakar Omar.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

One Tree Hill Season 6

Burn Notice Season 2