Kepada pengikut setia novel tulisan karya Aunie Ayunie bertajuk ‘Lelaki Untuk Dicintai’, usah ketinggalan menyaksikan kisah Bujang dan Hawa yang diadaptasikan kepada drama bersiri menemui penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang telah pun bermula tayangannya sejak 12 April lalu.
Menampilkan pelakon Ikhram Juhari sebagai Bujang, Hanna Halim watak Hawa dan turut dibantu Cinta Aiyuni (Diana), Rashidah Jaafar, Chiwan Chilok, Jimy Aziz, Wan Gegau dan Ifa Lyana.
Kisahnya tentang Bujang, seorang penjual hasil laut dan menjaga seorang ibu selepas kematian ayahnya. Ibunya mencari jodoh untuk Bujang. Mak Cik Sena dan Pak Cik Harun baru berpindah ke kampung dan berjumpa dengan Mak Miah dan Bujang. Di situ, Bujang berkenalan dengan Hawa anak Mak Cik Sena dan Pak Cik Harun.
Nama Siti Hawa Khadijah, si gadis yang namanya cukup indah. Tapi, mulut celuparnya tiada siapa pun yang tahan. Termasuk Bujang yang adakalanya hilang sabar dengan kata-kata yang diucapkan oleh Hawa.
Soal jodoh membuatkan Bujang seram. Ramai gadis yang dikenalkan oleh ibunya namun tak ada seorang pun yang sudi. Sudah berpuluh kali juga Bujang dipaksa mandi bunga gara-gara jodoh lambat.
Sementara itu saat mendengar rancangan ibu dan abahnya, Hawa rasa macam nak putus nyawa. Jadi isteri Bujang? Si tauke ayam yang asyik memandu lori buruknya ke hulu dan ke hilir itu? Hawa menolak keras. Namun puas menepis, jodohnya sudah ditakdirkan dengan lelaki itu
Setelah berkahwin, Bujang jadi lelaki paling baik. Terserlah sisi Bujang yang bertanggungjawab, mengutamakan isteri yang kemudiannya membuatkan hati Hawa terpaut.
Begitu pun segalanya tidak lama. Kemunculan Diana ke kampung halaman kerana satu rancangan mengubah segalanya. Keakraban Hawa dengan Ethan pula membuatkan hati Bujang cemburu.
Mereka mula membawa haluan masing-masing. Seorang ke kanan, seorang ke kiri. Namun inikah akhir hubungan yang mereka inginkan? Ikuti kesudahannya di TV1 atau menerusi RTMKlik.