Drama “Lelaki†Buah Tangan Terbaharu Pemenang Drama TV Terbaik ASA 2012
Drama Perempuan yang berkisar tentang cabaran wanita dalam masyarakat pernah diangkat sebagai Drama TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2010 (ASA 2010) selain turut merangkul Anugerah Skrip Terbaik pada majlis yang sama.
Kini pengarahnya Mohd Fahmi Sarindi dan penulis skrip drama tersebut, Siti Jasmina Ibrahim kembali hadir dengan ‘buah tangan’ terbaharu dengan sebuah drama menarik mengangkat tema kemerdekaan bertajuk Lelaki yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Panggung RTM pada 16 September 2012 (Ahad), jam 10.30 malam di TV2.
Drama menggandingkan pelakon hebat Dato’ Rahim Razali, Shafie Naswip, Sein Ruffedge, Watie Sadali dan Zuhairi Ibrahim ini mengisahkan sasar laluan hidup 3 generasi lelaki di mana Ku Darwis, seorang hartawan kelahiran sebelum merdeka, Ku Emran, pemuda yang hidupnya lahir merdeka dengan segala kemodenan dikecapi dan Aman, generasi lebih baru yang bijak mengenal diri kerana lahiriahnya semulajadi memahami dunia marhaen di mana baginya susah atau senang itu harus diyakini pada Allah jua.
Mereka ini saling berkait, saling didatangi karma hari ini kerana cerita silam di dalam mencari nilai kebebasan diri yang sebenar dan harapan baru yang lebih bermakna.
Kisahnya bermula dengan pergolakkan dalam diri Ku Darwis yang hidupnya kini hanya bergantung dengan kerusi roda. Ketika itu memori lama mula menghantui dirinya yang baru disuntik kesedaran kerana pernah menganiayai dan menfitnah arwah isterinya suatu ketika dahulu.
Ku Darwis bukan sahaja tidak pernah bersyukur kerana memiliki seorang isteri yang dianggap sempurna sebagai wanita sebaliknya dia sanggup menfitnah anak yang dikandung isterinya adalah zuriat lelaki lain. Segalanya berpunca rasa tidak puas hati kerana isterinya itu diminati ramai lelaki meskipun sudah bergelar seorang isteri. Ku Darwis menghalau isterinya yang sedang sarat mengandung itu dari rumah mereka.
Sejak itu Ku Darwis membesarkan anak mereka, Ku Emran seorang diri. Ku Emran ditatang bagai minyak yang penuh dan dihantar melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara. Sejak kecil Ku Emran sudah pun dipengaruhi dengan cerita-cerita buruk tentang ibunya oleh Ku Darwis. Ku Emran percaya sepenuhnya tentang cerita tersebut malah dia turut terjebak dalam dunia samseng dan kehidupannya jauh tersasar. Dia merasakan dirinya cukup merdeka dapat melakukan apa sahaja dengan segala pengaruh luar yang menguasai dirinya.
Sementara itu Aman, remaja yang lahir pada zaman siber dan canggih, namun jati dirinya sangat kuat. Dibesarkan dengan keadaan keluarga yang serba kekurangan bersama ibu tunggalnya yang membanting tulang siang malam mahu menyara keluarga mereka mencari rezeki yang halal.
Meskipun individu sekelilingnya termasuk samseng dikenali sebagai Dan Dalang yang terkenal dengan gelaran kaki pukul, pemeras ugut dan pelindung kawasan-kawasan panas seringkali cuba mempengaruhinya namun Aman tetap dengan pendiriannya. Nasihat dan ilmu agama yang diberikan ibunya kukuh dalam hati.
Konflik berkembang bila mana ibunya, Sarah meninggal dunia kerana serangan jantung. Aman begitu merasai kehilangan ibunya tetapi semangatnya kuat untuk terus hidup. Aman melakukan sampingan selepas sekolah, menjadi budak menjaga membersihkan kawasan halaman rumah mewah Ku Darwis.
Ku Darwis dalam rasa penyesalan berpanjangan, mengenang isteri yang sudah dihalaunya lama dahulu dan dia mencari tidak pernah berjumpa. Piring hitam lagu nyanyian isterinya iaitu ‘Bisikan Hati’ berulang kali kedengaran segenap rumah. Dan melalui Aman, Ku Darwis belajar tentang hidup, pegangan agama, hakikat orang biasa juang dalam hidup masing-masing. Mereka menjadi rapat.
Kehadiran Aman dalam hidup Ku Darwis, tidak disenangi oleh Ku Emran. Kata-kata Aman sentiasa menyakitkan hati Ku Emran dan dia boleh tercabar dengan kepercayaan ayahnya lebih pada Aman berbanding dirinya. Ku Darwis kecewa lihat cara hidup Ku Emran tetapi dia tidak menyalahkan Ku Emran.
Sehingga satu hari, Ku Darwis sedang sakit dan dibantu oleh Aman menyebabkan Aman terpaksa masuk ke dalam rumah untuk mengambil ubat. Pada saat dan ketika itu Aman Nampak akan kebenaran yang ibunya cuba sampaikan. Dari situ Aman tahu yang Ku Darwis itu ayahnya. Aman pulang dan melepaskan perasaannya. Kini Aman tahu dia harus menjaga dua lelaki bermakna dalam hidupnya. Dia mahu Ku Darwis bahagia semula dan dia mahu Ku Emran menerimanya.
Berlaku pergelutan di antara geng Ku Emran dan Dan Dalang, Aman telah melakukan satu perkara yang semua orang tidak jangka hanya kerana untuk menjaga abangnya, Ku Emran. Lalu apakah penyudah kepada drama sarat pengajaran ini? Saksikan kesudahannya dalam drama Lelaki hanya di TV2.