TV1 RAIKAN TAHUN BAHARU CINA 2010 DENGAN TELEMOVIE DAN KONSERT
Sebagai meraikan tahun baharu yang diraikan kaum Tionghua seluruh negara, Saluran Informasi TV1 turut sama ingin berkongsi kemeriahannya dengan menghidangkan 5 rancangan khas; Angpow Buat Mama (13 Februari 2010, jam 3.05 petang), Kekasihku Valentine (13 Februari 2010, jam 9.00 malam), RM1 Juta (14 Februari 2010, jam 11.05 pagi), Rahsia (14 Februari 2010, jam 3.05 petang) sebelum diakhiri Konsert ‘Inilah Sharifah Aini’ (15 Februari 2010, jam 3.05 petang).
Mengajak penonton sama-sama menghayati tahun Harimau menurut kepercayaan orang Cina yang disambut 14 Februari ini, RTM menyiarkan drama khas Angpow Buat Mama mengisahkan Alvin yang kematian ayahnya dimana dia kini terpaksa menggantikan bapanya menyara keluarga dan ibunya. Seperti remaja lain, Alvin lebih suka menghabiskan masa bersama kawan bermain snooker atau melepak. Begitupun sejak setahun pemergian papanya, Alvin banyak mencari peluang perniagaan. Buat masa terdekat ini dia perlu mencari duit untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama mamanya yang hanya tinggal sebulan lagi. Alvin mahu membeli hadiah istimewa buat mamanya dan kekasihnya, Nicole.
Dengan bantuan dan peluang yang diberikan oleh Pak Samad, Alvin menjual durian dari dusun ke Kuala Lumpur. Namun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, Alvin telah menumpangkan Ujang untuk pulang ke rumahnya yang terletak di kawasan elit. Ujang adalah seorang pemuda yang ‘bodoh-bodoh cerdik’ dan ‘lurus bendul’. Melihatkan penampilan dan perwatakan Ujang, Alvin tidak percaya yang Ujang adalah anak tunggal seorang yang kaya di Kuala Lumpur. Apakah kesudahannya? Siapakah Ujang dan benarkah dia anak seorang kaya bergelar Dato’?
Drama terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd ini dibintangi oleh Mandy Chong, Fizz Fairuz, Feng U Shin Xavier, Kenji Sawahi, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Maimon Mutalib.
Kemudiannya menyusul drama Kekasihku Valentine yang menyaksikan lakonan berkesan Janet Khoo, Jessie Lim, Melissa Campbell, Dian P.Ramlee dan Zaidi Omar berkongsi plot cerita Albert yang telah kematian isteri dan mempunyai anak-anak tetapi menetap di luar negara. Masing-masing sibuk dengan kerjaya dan keluarga masing-masing. Sehinggakan Albert terpaksa menyembut perayaan Tahun Baru Cina seorang diri di Malaysia. Berlainan pula dengan Val (Valentina), yang juga kesunyian selepas bercerai dengan suaminya. Walaupun mempunyai anak-anak yang tinggal di Malaysia dan berdekatan dengannya tetapi setiap tibanya perayaan Tahun Baru Cina, anak akan menghabiskan cuti bersama keluarga mertua.
Bagi mengelakkan kesunyian mereka melakukan aktiviti riadah. Aktiviti riadah yang dilakukan bersama-sama telah menjadikan hubungan Albert dan Val rapat. Malahan mereka selalu ditemani oleh Maryam dan Hj. Manan yang menjadi sahabat baik mereka. Tanpa disedari 2 minggu lagi mereka akan menyambut Tahun Baru. Hubungan yang rapat membuahkan rasa cinta dan mereka mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi ditentang oleh anak Val. Apakah kesudahan telemovie ini?
RM1 Juta mengisahkan 4 orang sahabat yang tertipu dengan skim pembelian saham internet untuk merebut pulangan sebanyak RM1 Juta. Keinginan mereka untuk menjadi kaya dengan jalan singkat, akhirnya memakan diri sendiri yang menyaksikan lakonan Fathil Dani, Kher Cheng Guan, Acappan, Kaza, Jason Chong, Sheila Mambo dan Angeline Tan Fathil Dani.
Rahsia Z-Ling menerima panggilan telefon daripada pihak hospital, teman lelakinya Lok Bin meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya. Namun apabila dia ke hospital, seorang wanita bernama Feng turut berada disitu mengatakan mayat Lok Bin adalah kekasihnya yang bernama Zhao Fai. Menurut polis,lelaki itu meninggal dunia kerana memandu dalam keadaan mabuk. Hal ini menghairkan Z-Ling kerana Lok Bin seorang doktor dan tidak meminum arak, lebih-lebih lagi Feng mendakwa Zhoa Fai seorang yang pemabuk.
Sehari sebelum kematian Lok Bin, Z-Ling telah menerima mesej pesanan ringkas yang mengandungi alamat sebuah banglo. Apabila dia pergi ke banglo itu, Feng turut berada di situ kerana dia juga menerima mesej pesanan ringkas dari Zhoa Fai yang telah meninggal dunia. Mereka bertengkar tentang siapakah Zhao Fai/Lok Bin yang telah menghantarkan mesej tersebut kepada mereka. Situasi yang pelik ini mendorong Z-Ling dan Feng menyiasat siapakah sebenarnya yang meninggal dunia. Drama ini dijayakan wataknya oleh Zoe Tang Eng Li, Felina Cheah Teck dan Jason Chong Sia Shien.
Di samping tayangan telemovie menarik, RTM turut menghidangkan Konsert ‘Inilah Sharifah Aini’ yang dirakamkan di Studio Filem Negara Malaysia. Konsert ini menampilkan persembahan biduanita negara ini menyampaikan kompilasi lagu-lagu terbaik beliau. Antara lagu-lagu yang dialunkan menghiburkan penonton termasuklah Bunga Tanjung, Seri Dewi Malam, Teratai dan banyak lagi yang pastinya mampu mengubat kerinduan peminat terhadapnya.
Justeru pastikan TV1 menjadi pilihan anda untuk berhibur sepanjang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali.