in ,

Drama Komedi Aca dan Atuk di TV2

ACA DAN ATUK : DRAMA KOMEDI MENCUIT HATI HIBURAN MALAM SELASA DI TV2

Malam Selasa anda pastinya lebih bermakna kerana bagi anda yang ternanti-nantikan drama rantaian yang mengangkat kisah komedi dengan dibintangi pelakon-pelakon yang sememangnya terkenal dengan aksi mencuit hati, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghidangkan drama bertajuk Aca dan Atuk disiarkan setiap Selasa, jam 8.30 malam di TV2 mulai Disember lalu.

Menariknya drama bersiri 13 episod arahan Kamaruldin Hassan ini mengisahkan kehidupan dua beradik, Ujang (Chomatt Samad) dan Aca (Tie) yang tinggal bersama datuk mereka (Hamid Gurkha) setelah kematian kedua ibu bapa. Mereka juga mempunyai kakak yang dipanggil Kak Wok yang telah berkahwin dan menetap di ibu kota.

Kisah mereka bermula ketika Aca diserang demam panas hingga menyebabkan dia hilang akal. Keadaan Aca yang sebegitu telah mendatangkan masalah kepada Ujang dan Atuk, kerana tingkah laku Aca sering menjadi bahan kemarahan orang kampung. Selain itu Aca juga sering dibuli oleh penduduk kampung, disebabkan itu Ujang bertindak untuk mempertahankan adiknya sehingga menimbulkan pergaduhan.

Perkara ini amat tidak disenangi oleh orang kampung dan akhirnya Ujang mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur.

Di sana Ujang sentiasa bersama rakannya Joe, dan dia menginap di rumah Kak Wok. Pelbagai kejadian dan dugaan yang telah diharungi oleh Ujang sepanjang dia berada di KL. Ujang kembali ke kampung untuk meneruskan kehidupannya kerana hanya di kampung tempat yang paling sesuai dengannya.

Sekali lagi Ujang ditimpa musibah apabila dia telah ditangkap bersama Aca kerana disyaki menagih dadah. Kakak mereka , Kak Wok tidak mahu membantu atas sebab yang lepas apabila Ujang menginap di rumahnya dahulu. Ujang dan Aca akhirnya dilepaskan kerana tidak bersalah.

Sekembali mereka ke kampong Atuk, Aca dan Ujang meneruskan usaha untuk berniaga ayam. Namun berjayakah usaha mereka dan bagaimana pula penerimaan orang kampung terhadap atuk dan dua orang cucunya itu?

Drama terbitan Unit Drama TV RTM ini turut mengetengahkan lakonan bersahaja Hamidah  Wahab, Anne Ngasri, Abu Bakar Juah dan Fadilah Mansor.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tonton Teater Mana Setangginya & Inran Yang Tercanai di TV1

Samantha Who Musim Kedua di NTV7