Lagi Drama Penghargaan Buat Golongan Ibu di RTM
Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengajak masyarakat menghargai golongan ibu setiap masa bukan sahaja sempena sambutannya pada 8 Mei lalu yang mana semua orang meraikan ibu masing-masing dengan sambutan yang meriah terutamanya di kalangan golongan yang mampu.
Ternyata usaha RTM itu dapat dilihat apabila stesen salurannya masih menyiarkan variasi program-program yang terus-terusan meraikan golongan ibu termasuklah drama khas Kemboja di Ladang Duka terbitan Q-Plex Communication Sdn Bhd yang mengisi slot Panggung 1 pada 21 Mei 2011, jam 3.05 petang di TV1.
Drama ini mengangkat usaha dan pengorbanan wanita bergelar ibu yang berusaha gigih dalam membesarkan anak-anaknya tanpa mengenal erti penat dan lelah. Di sebalik senyuman apabila berjaya membesarkan zuriatnya menjadi ‘manusia’ yang berjaya, dia terpaksa memendam rasa apabila anaknya yang telah memiliki keluarga sediri lebih mementingkan kata-kata isteri.
Dengan dibintangi pelakon Adrea Abdullah ( Salbiah muda ) dan Liza Othman ( Salbiah sekarang ), drama yang turut dibintangi Aida Aris, Irfan Roslan, Rizal Jefri dan Nazrien Ikmal ini pastinya sarat dengan pengajaran yang boleh dikongsi semua golongan bergelar anak dalam menghargai ibu masing-masing.
Ia berkisarkan Salbiah, isteri seorang peneroka Felda yang pada mulanya hidup dalam kesempitan dengan pelbagai rintangan yang terpaksa dihadapi dalam menempuh liku-liku kehidupan untuk membesarkan anak-anaknya, Imran dan Amran yang masih kecil.
Begitu pun dugaan hidupnya bagai jatuh ditimpa tangga. Penderitaannya bertambah apabila suaminya, Rahman meninggal dunia akibat dipatuk ular berbisa. Dia kehilangan tempat bergantung dan bingung memikirkan masa depan mereka terutama untuk membesarkan Imran dan Amran.
Kehidupannya kemudian diteruskan dengan menyambung tugas-tugas suami sebagai peneroka Felda. Segala jerih perit dan usaha kerasnya akhirnya berbayar apabila dia berjaya mendidik anak-anak sehingga ke peringkat tertinggi. Di samping itu dia memikul tanggungjawab menjadi peneroka yang berjaya. Hinggalah dia berjaya menerima anugerah peneroka contoh dan ibu mithali.
Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Setelah kejayaan dikecapi, dia kecewa dengan sikap anak sulungnya, Imran yang lebih mementingkan kata-kata isteri.
Bagaimanakah nasib Salbiah? Adakah dia mampu menyedarkan anaknya kembali ke pangkal jalan?