in

DRAMA KEINSAFAN : INDRUTHAN DEEPAVALI

DRAMA KEINSAFAN : INDRUTHAN DEEPAVALI PADA 27 OKTOBER 2008 (ISNIN) JAM 10.00 PAGI DI RTM2

Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sememangnya tidak pernah kalah dalam menghidangkan drama-drama pengajaran terbaik untuk dikongsi sama bersama peminat-peminat setia salurannya terutama apabila menjelangnya perayaan yang disambut masyarakat negara kita.

Justeru menjelangnya perayaan Deepavali ini, RTM menyiarkan Indruthan Deepavali yang disiarkan pada 27 Oktober 2008 (Isnin), jam 10.00 pagi di RTM2 ini berkisar tentang keluarga Sanjay, isterinya Shalini dan anakynya, Ajay. Sanjay seorang lelaki moden yang berasal dari kampung manakala isterinya dari kalangan keluarga berada. Faktor itulah yang menyebabkan ayah Sanjay tidak merestui perkahwinannya dengan Shalini.

Sanjay telah menyekolahkan anaknya Ajay, lapan tahun di sebuah sekolah rendah yang terkenal dengan guru-guru berkaliber di bandar. Dua minggu sebelum bermulanya cuti sekolah, rakan-rakan Ajay memberitahunya mengenai rancangan mereka untuk pulang ke kampung dan merayakan Deepavali bersama-sama datuk dan nenek mereka. Ajay tersentak seketika dan mula memikirkan sesuatu.

Apabila Sanjay pulang dari bekerja, Ajay menggunakan peluang untuk bertanya mengenai kampung ayahnya dan meluahkan isi hatinya untuk berjumpa dengan datuk dan neneknya pada Hari Deepavali.

Pada mulanya Sanjay menolak permintaan Ajay kerana dia berasa ragu-ragu untuk berdepan dengan ibu bapanya yang tidak merestui perkahwinannya dengan Shalini. Tetapi, sikap Ajay yang bersungguh-sungguh memujuk Sanjay telah menyemat rasa kasihan kepada Ajay. Sanjay terus menelefon ayah Sanjay, Muthu.

En.Muthu berasa gembira apabila mendengar suara cucunya, Ajay. Ajay menyatakan hasratnya untuk menyambut Deepavali bersama datuknya. Datuknya berasa teramat gembira dan seperti tidak sabar untuk berjumpa dengan cucunya Ajay.

Ajay dengan gembira memberitahu rakan-rakannya bahawa dia akan pulang ke kampung untuk menyambut Deepavali. Sanjay pula mula memikirkan sesuatu. Peristiwa lama perkahwinannya dengan seorang anak orang berada, Shalini mendapat restu daripada ibu bapanya.

Bapa Sanjay juga tidak bersetuju dengan kedudukan keluarga Shalini yang berbeza dengan keluarganya. Keluarga Shalini yang kaya itu pasti sombong fikir bapa Sanjay. Sikap angkuh dan ego Shalini yang keterlaluan menambahkan lagi kebencian bapa Sanjay terhadap menantunya. Sejak hari tersebut sehingga sekarang Sanjay tidak pernah menjejak kaki di rumah ayahnya.

Sanjay memberitahu tentang rancangannya yang ingin membawa Ajay berjumpa bapa Sanjay kepada Shalini. Shalini berasa marah dan dia tidak bersetuju dengan cadangan itu, malah dia mengajak Sanjay ke rumah keluarganya seperti tahun-tahun yang lepas. Sanjay menolak permintaan itu dan mengarahkan Shalini untuk mengikutnya ke kampung Sanjay.

Seminggu sebelum menjelangnya Deepavali, Sanjay sekeluarga bertolak balik ke kampung. Kampung Sanjay terletak di pedalaman Kuala Selangor. Setibanya di kawasan kampungnya, Sanjay terdetik akan kenangan lama di mana dia meluangkan masa dengan ahli keluarganya sehingga dia telah bekerja dan berkahwin.

Kepulangan Sanjay sekeluarga telah menceriakan keluarga En.Muthu, lagi-lagi dengan kenakalan Ajay. Sanjay memohon maaf kepada ibu bapanya. Mereka memaafkan Sanjay tetapi mereka masih tidak dapat menerima Shalini sebagai menantu mereka. Tambahan pula dengan sikap ego dan sombong Shalini yang masih tidak berkurangan malah bertambah.

Emak Sanjay, Meenachi dan adik perempuan Sanjay, Amirtha mencuba untuk menerima Shalini dengan berbaik-baik dengannya namun usaha mereka sama sekali tidak berjaya. Shalini menunjukkan perasaan marah terhadap mereka dan mengeluarkan kata-kata kasar yang menyakitkan hati.

Ajay pula berasa gembira kerana dapat bersiar-siar dengan datuknya . Datuk Ajay membawanya bersiar-siar dengan menaiki basikal. Ajay gembira dapat mandi-manda di sungai bersama dengan budak-budak kampung yang sebaya dengannya. Ajay tidak pernah merasai kegembiraan begitu di bandar.

Sanjay pula menolong ayahnya untuk memperhiasi rumah mereka. Shalini sering menelefon emaknya dan mengadu tentang kampung Sanjay. Jiran Muthu adalah seorang nenek tua yang bernama Rasamma. Ajay dan kawan-kawannya suka mengusik nenek itu. Suatu hari nenek Rasamma berasa marah kerana Ajay telah menyembunyikan cermin matanya dan menggantikan dengan frame kosong. Nenek Rasamma mengadu kepada Meenachi dan Meenachi hanya ketawa tetapi memujuk nenek Rasamma dan menyuruh Ajay meminta maaf kepadanya.

Penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman itu jarang pergi ke bandar untuk membeli belah kerana ada orang yang menjual pakaian sempena Deepavali. Apabila penjual tersebut datang, Meenachi membeli sepasang jeans dan t-shirt dan menghadiahkannya kepada cucu kesayangannya itu. Ajay berasa gembira lalu memeluk dan mencium neneknya.

Shalini memerhatikan perkara tersebut lalu dengan pantas mendekati Ajay dan merampas baju serta seluar jeans itu dan terus membuang ke dalam tong sampah dengan mengeluarkan kata-kata hinaan terhadap Meenachi.

Ajay ingin membalas dendam di atas perkara yang dilakukan oleh emaknya terhadap neneknya yang sudah tua. Ajay ternampak emaknya sedang menuju ke arah dapur. Maka dengan bantuan kawan-kawannya, sedikit minyak dituang di tangga. Shalini terpijak minyak itu lalu terjatuh. Tangannya terseliuh. Meenachi dan Amirtha membantu Shalini.

Shalini menelefon emaknya dan meminta supaya emaknya pulang ke kampung Sanjay untuk melihat keaadannya. Permintaan Shalini ditolak serta merta dengan alasan ibu Shalini ingin pergi membeli belah sempena Deepavali. Shalini tiba-tiba membuka mata dan dia sedar bahawa kemewahan tidak membawa erti kasih sayang seperti yang dilihat di dalam keluarga Sanjay.

Shalini memohon maaf kepada semua. Setelah kakinya mulai sembuh, dia mula membantu emak mertuanya untuk membuat kuih-muih. Pada saat gembira itu, Shalini menerima satu berita buruk dari emaknya di mana rakan kongsi syarikat ayahnya telah menipu ayahnya dan kini mereka terpaksa menjual rumah mereka.
Sharlini menceritakan hal ini kepada suamimya dan ahli keluarganya. Semua orang berasa sedih dan ayah Sanjay menawarkan diri untuk menolong ayah Shalini dengan memberi duit sebanyak RM150.000 dengan menjual tanah mereka. Apakah yang terjadi seterusnya?

Usah ketinggalan menyaksikan kesudahan Indruthan Deepavali pada 27 Oktober 2008 (Isnin), jam 10.00 pagi di RTM2 terbitan Unison Production Sdn Bhd ini yang pastinya menjanjikan pengajaran berguna untuk dikongsi seisi keluarga.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

DJ-DJ MINNALfm TERUJA KONGSI KISAH KEMERIAHAN DEEPAVALI

DRAMA KANAK-KANAK PATHI SOLLUM KATHAIGAL