KONFLIK ADIK-BERADIK DALAM KASIH ZAHRA DI TV2
Hubungan adik-beradik diumpamakan seperti air dicincang takkan putus. Begitu pun tidak semua bertuah menghargainya dengan menjaga hubungan itu sebaik-baiknya kerana realitinya ada juga yang sanggup mengkhianati saudara sendiri demi mencapai matlamat diingini. Kesenangan hidup dan kepuasan diri telah membutakan seseorang itu daripada berfikir sewarasnya baik buruknya tindakan dilakukan mereka.
Begitu kisah melatari drama Kasih Zahra disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 20 November 2009 (Jumaat), jam 8.30 malam di TV2 mengisi slot Citra yang sememangnya menjadi pilihan penonton berkongsi kisah-kisah masyarakat yang disampaikan dalam bentuk drama
Kasih Zahra terbitan Eurofine (M) Sdn Bhd lakonan Lisdawati, Zamarul Hisham, Intan Azura, Dian P.Ramlee dan Catriona Ross ini mengisahkan pengorbanan seorang kakak yang mengambil alih tanggungjawab menjaga adiknya setelah kematian ibu dan ayah.
Tanpa disedari, segala pengorbanannya dipandang lekeh oleh adiknya sehinggakan dia memperkecil-kecilkan segala pemberian hadiah dan kasih sayang yang diberikan oleh kakaknya.
Zahra, kakak yang tidak kenal jemu dan berbelah bagi dalam mengasihi adikya, Sofea sanggup mengorbankan kebahagian dirinya sehingga sanggup memutuskan perhubungan dengan orang yang dikasihinya, Zizan ke tangan adiknya sendiri setelah Sofea menyatakan perasaan cintanya terhadap Zizan. Walaupun Zizan tidak sanggup berpisah dengan Zahra tetapi keputusan Zahra diterima dengan perasaan dendam.
Zahra akhirnya dipenjarakan di atas tuduhan membunuh Zizan walaupun tindakannya itu adalah bagi melindungi adiknya yang sering kali didera oleh Zizan. Sofea tidak memaafkan Zahra di atas perbuatannya yang telah membunuh suaminya walaupun dia tahu tindakan Zahra adalah tidak sengaja. Itulah tahap kebencian seorang adik terhadap kakaknya yang selama ini begitu mengasihinya.
Namun masihkah ada ruang dan kesempatan bagi si adik bertaubat dan memohon kemaafan daripada seorang kakak yang telah banyak berkorban untuk dirinya? Untuk mengetahui kesudahannya usah ketinggalan menyaksikan Kasih Zahra disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 20 November 2009 (Jumaat), jam 8.30 malam di TV2.