in

Drama Karlos Lakonan Johan Asari Syazwan Zulkifly & Nur Risteena

“ERTI SEBENAR PENDERITAAN”
Inspirasi Dari Kisah Benar

Menyusul selepas drama siri ‘Spy M’, sebuah lagi drama siri mengisi slot aksi berjudul ‘Karlos’, inspirasi dari kisah benar. Karya terbaru sutradara Feroz Kader bersama penulis skrip, Sofia J Rhyland menerusi produksi Front Row Pictures Sdn Bhd ini menampilkan tonggak utama, Johan As’ari, Syazwan Zulkifly, Namron, Sherlie Merlis, dibantu oleh Azhar Sulaiman, Leez Rosli, Elmy Moin, Ika Zulkifli, Nur Risteena dan Jay Iswazir.

Karlos

Karlos menelusuri perjalanan hidup seorang remaja bernama Irwan Zaid (Johan As’ari) yang sering dipinggirkan di dalam keluarga terutama oleh bapanya sendiri, Rashid (Namron). Beliau disisihkan sehingga ibunya sendiri iaitu Zai (Sherlie Merlis) tidak mampu melakukan apa-apa. Rashid, seorang kaki judi yang sangat membenci Irwan dengan alasan yang tidak diketahui. Dendam dan marahnya pada anak ini sampai sanggup tidak memberikan belanja dan tidak mahu melihat Irwan ketika dia berada di rumah.

Tanpa perhatian dan kasih sayang seperti adik-beradiknya yang lain, Irwan cuba membina kehidupan di atas kakinya sendiri. Irwan belajar membaraikan motorsikal dari dua orang kawan barunya, Joe dan Qiwek.

Penduduk di Sentul mula resah dengan kes kehilangan motorsikal dan pada waktu yang sama, Inspektor Mahadhir (Azhar Sulaiman) ditugaskan menyiasat kes tersebut. Selepas sebulan memantau, Mahadhir berjaya menangkap Irwan. Irwan dibicarakan di mahkamah dan kemudian dihantar ke Pusat Pemulihan Akhlak Teluk Panglima. Di sana, Irwan mula mempelajari erti sebenar penderitaan.

Sebagai pelatih baru, Irwan tidak mempunyai kawan. Malah, dia hampir diliwat oleh Adib (Jay Iswazir) tetapi mujurlah dia diselamatkan oleh seorang lagi pelatih bernama Kenji (Syazwan Zulkifly). Bagi Kenji, melihat Irwan seperti melihat dirinya, dia sangat memahami apa yang sedang dilalui oleh Irwan. Sejak itu, Irwan mula berkawan baik dengan Kenji dan orang kanan Kenji, Joey. Pada waktu yang sama, Adib menyimpan dendam terhadap Irwan kerana menyebabkannya dihukum oleh warden. Suatu hari, Kenji menegur nama Irwan kerana merasakan nama itu tidak sesuai untuk seorang samseng. Pada mulanya, Irwan tidak dapat menerima hakikat tersebut namun tidak lama kemudian, Irwan mula menggelarkan dirinya dengan nama ‘Karlos’.

Kenji dan Joey dibebaskan sebulan lebih awal, kini tinggal Irwan seorang diri di pusat pemulihan ini. Irwan dibebaskan ketika berusia 18 tahun kerana berkelakuan baik. Dia cuba pulang ke rumah tetapi dihalau oleh Rashid yang sudah tidak mengaku Irwan sebagai anaknya. Ketiadaan tempat untuk mengadu dan berteduh, Irwan kembali ke tepi sungai dan dengan wang yang pernah disimpan dahulu, dia cuba untuk memulakan hidup baru.

Irwan cuba mencari pekerjaan tetapi oleh kerana rekod jenayahnya, tiada majikan yang sanggup menggajikan Irwan. Irwan terus berdoa, dia tidak pernah terlepas bersolat dan bermuhasabah tetapi realiti di dunia luar ini, Tuhan bagaikan tidak mendengar rintihannya langsung. Bagaimanapun, nasib Irwan berubah apabila dia bertembung dengan Kenji yang bekerja sebagai penjual DVD cetak rompak di pasar malam.

Oleh kerana tidak mempunyai pilihan lain, Irwan menumpang di rumah sewa Kenji dan mereka bekerja bersama-sama. Irwan juga mula selesa dengan panggilan ‘Karlos’. Tetapi suatu malam, pergaduhan antara Kenji dan Karlos dengan satu kumpulan lain yang menuntut kawasan berlaku. Mereka berdua terpaksa melarikan diri sementara. Sekali sekala, Irwan (Karlos) akan menjengah ibunya di rumah.

Di bawah bimbingan Kenji, demi kehidupan Karlos mempelajari bagaimana hendak menyamun dan pecah rumah. Dari kedai runcit dan restoran mamak, mereka sudah berani memecah masuk rumah orang kenamaan demi pulangan yang lebih besar. Setiap kali mendapat wang, Irwan (Karlos) akan menghantar sedikit kepada ibunya.

Sekali lagi Inspektor Mahadhir diberi kepercayaan untuk menyiasat kes jenayah yang semakin meruncing ini. Dia mula membuka fail-fail lama untuk menganalisa suspek. Ternyata suspek utama sangat sinonim pada hemat Mahadhir, namun mampukah beliau memberkas penjenayah paling dikehendaki negara ini? Apakah Irwan atau sisi gelapnya, Karlos menyedari akan setiap kesalahan yang dilakukan?

Saksikan drama siri slot aksi terbaru Karlos bermula 4 Mac ini, setiap hari Isnin jam 9.00 malam di TV3. Jika anda terlepas menyaksikan drama siri ini di kaca televisyen, anda boleh menontonnya di saluran alternatif menerusi www.tonton.com.my. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #KarlosTV3 untuk sebarang perbualan dan komen.

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Karlos

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ujibakat Pencarian Pelakon Untuk Kisah Chenta Cornetto Uda & Dara

Salih Yaacob Umum Mahu Bersara