PATHI SOLLUM KATHAIGAL (DEEPAVALI KIDS) : DRAMA KANAK-KANAK PADA 26 -28 OKTOBER 2008, JAM 9.00 PAGI DI RTM2
Pastinya kanak-kanak adalah golongan yang paling gembira dan teruja mahu menyambut kemeriahan sebarang perayaan termasuklah Deepavali yang diraikan seluruh penganut Hindu pada 27 Oktober ini. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) menghadiahkan mereka tontonan Pathi Sollum Kathaigal, drama bersiri kanak-kanak yang disiarkan khas Deepavali selama tiga hari berturut-turut mulai 26 hingga 28 Oktober 2008, jam 9.00 pagi menerusi RTM2, Saluran Famili Anda.
Pathi Sollum Kathaigal menarik tumpuan penonton terutama kanak-kanak untuk berkongsi kisah Puan Kamatchi bersama seisi keluarganya yang sibuk membuat persiapan sehari sebelum hari Deepavali. Cucu-cucunya, Suresh,10, Gowri,12, dan Kasturi, 8, suka mendengar nenek mereka menceritakan cerita yang selalunya berunsur cerita kanak-kanak.
Lalu bermulalah episod penceritaan Puan Kamatchi yang didahului cerita pertamanya mengenai Ramesh, seorang anak nelayan yang jujur tinggal bersama ayahnya bernama Shankar hidup bersama anak-anaknya Ramesh dan Rathi dalam kemiskinan. Shankar resah kerana musim tengkujuh mula melanda dan hasil tangkapan beliau tidak banyak apatahlagi bila Rathi anak bongsunya mula menyoal hal perayaan Deepavali yang bakal menjelma.
Ramesh pula dapat memahami kesedihan ayahnya, setiap awal pagi Ramesh dan Rathi akan menunggu ayah mereka ditepi pantai. Hinggalah kemunculan Encik Krishnan, pemilik restoran makanan laut di Kuala Lumpur yang pulang selepas berurusan dengan Shankar disitu. Tanpa disedari, dompet Encik Krishnan tercicir di situ. Shankar pula kurang sihat lalu menyuruh Ramesh dan Rathi ke bandar untuk mencari Encik Krishnan. Rathi mula menyoal abangnya hal isi dompet itu tetapi Ramesh tidak mahu membuka dompet itu kerana ia bukan perbuatan yang jujur.Â
Encik Krishnan terharu dengan kejujuran Ramesh lalu memberi Ramesh wang tetapi Ramesh menolaknya lalu Encik Krishnan membawa Ramesh dan Rathi ke kedai pakaian lalu membelikan pakaian baru dan menghantar mereka pulang.
Puan Kamacthi meneruskan dengan ceritanya yang kedua iaitu cerita tentang budak bijak dari keturunan India Muslim. Irfan anak seorang guru di S.R.K Bangsar Utama Kuala Lumpur. Ibu Irfan yang membawanya ke sekolah dan pulang setiap hari.
Â
Tetapi sejak kebelakangan itu, Irfan enggan ke sekolah bersama ibunya. Dia hendak berbasikal bersama Simon dan Shaswin. Irfan kerap menghilangkan diri selepas sekolah. Puan Fatimah mula membincangkan hal Irfan bersama suaminya Encik Mohd, seorang peniaga namun Encik Mohd tidak endah dengan rungutan isterinya kerana baginya Irfan merupakan seorang budak yang baik. Puan Fatimah bertambah sangsi dengan gelagat Irfan yang pulang ke rumah dalam keadaan kotor dan terlalu penat.
Suatu hari Puan Fatimah pun mengikut Irfan dan kawan-kawannya ke sebuah kawasan estet yang berhampiran. Tetapi mereka cepat menghilangkan diri dan Puan Fatimah sesat jalan. Beliau cuba sekali lagi pada hari keduanya tetapi Puan Fatimah masih tidak dapat menjejaki aktiviti Irfan di luar sekolah.
Akhirnya Puan Fatimah menyoal Simon dan Shaswin akan aktiviti anaknya. Petang itu mereka membawa Puan Fatimah ke Estet Bahagia Shah Alam Selangor. Alangkah terkejutnya Puan Fatimah apabila melihat gelagat anaknya di situ yang sedang membersihkan dan mengecat sebuah rumah buruk. Sebenarnya Irfan selalu ke rumah Priya, kawan sekelasnya yang miskin untuk membantunya menyediakan persiapan sempena Deepavali. Irfan juga sempat membantu adik-adik Priya mengulangkaji pelajaran mereka.
Puan Kamacthi mengakhiri ceritanya lalu menasihatkan cucu-cucunya supaya memiliki sikap tolong-menolong. Suresh cepat-cepat menyuruhnya bercerita lagi.
Puan Kamacthi mula dengan cerita yang ketiganya. Tiga orang budak lelaki berusia 12 tahun. Selepas selesai menduduki kertas peperiksaan UPSR yang terakhir mereka berasa bosan lalu Jason, Vijay, dan Param bercadang membuat sesuatu untuk mengisi masa lapang mereka.
Mereka bertiga berbasikal sekeliling Jalan Ipoh. Selepas jauh berbasikal mereka pun tiba di sebuah kedai buku yang memaparkan papan tanda “ Pekerja sambilan diperlukan “. Mereka mula memikirkan mengenai kerja itu lalu Vijay mencadangkan mereka cuba memohon kerja itu supaya dapat memperolehi wang buat Deepavali kelak. Jason dan Param pun bersetuju dengan cadangan Vijay itu lalu mereka memasuki kedai itu sambil mencari pengurus kedai itu. Encik Daniel, pengurus kedai itu memerhatikan budak-budak itu lalu beliau memberitahu mereka bahawa beliau hanya perlukan seorang pekerja. Encik Daniel menyuruh mereka bertiga menunggu di luar untuk ditemuduga.
Ketika berada di luar Jason, Vijay dan Param bermain bola sepak. Ketiga-tiga budak itu mengambil giliran menyepak bola dan dengan tidak sengaja telah memecahkan kaca tingkap kedai itu. Akhirnya Encik Daniel memanggil mereka ke dalam untuk ditemuduga. Encik Daniel memerhati kaca tingkap yang telah pecah itu.
Encik Daniel cuba menguji kejujuran mereka untuk mengakui kesalahan mereka itu. Baik Jason atau Vijay masing-masing enggan mengaku. Cuma Param yang cepat-cepat mengakui bahawa dia yang telah memecahkan kaca tingkap kedai itu.
Akhirnya Encik Daniel mula menerangkan bahawa dia telah melihat siapa yang telah memecahkan tingkapnya. Encik Daniel memuji sikap Param yang bertimbang rasa dan sayang-menyangi. Encik Daniel mengupah Param sebagai pekerja sambilannya. Param memandang ke arah kawan-kawannya lalu meminta beliau supaya mengupah ketiga-tiga mereka. Mereka dapat berkongsi wang upahan tersebut dan pada masa yang sama membayar ganti rugi tingkap itu.
Puan Kamacthi mengakhiri cerita ketiga beliau. Cucu-cucu beliau ingin beliau bercerita lagi. Puan Kamacthi pun berjanji akan bercerita lagi tetapi ketika itu mereka perlu mandi minyak sempena Hari Deepavali.
Kamala, ibu mereka pun muncul lalu menghampiri anak-anaknya.Mereka dimandikan dengan minyak kemudian dipakaikan dengan pakaian baru. Akhirnya kanak-kanak itu beraya bersama saudara-mara mereka.
Pathi Sollum Kathaigal yang dilakonkan oleh Egavalli, Karu Karthik, Devamalar, Tharneswari, Thangamani, Kogila, Shanmuganathan dan Thanam ini diterbitkan Unison Production Sdn Bhd.
Â
Jangan lupa janji temu berkongsi tiga kisah pengajaran yang ingin dikongsi sama Puan Kamacthi ini menerusi Pathi Sollum Kathaigal, mulai 26 hingga 28 Oktober 2008, jam 9.00 pagi menerusi RTM2.