DRAMA KANAK-KANAK MENYENTUH PERASAAN KHAS DEEPAVALI DI RTM
Mengenali maksud Deepavali dari kaca mata seorang kanak-kanak pastinya menimbulkan impak yang lebih berkesan di kalangan kelompok mereka untuk memahami erti sebenar perayaan yang disambut oleh penganut Hindu ini berbanding disampaikan golongan dewasa kepada mereka. Apatahlagi kanak-kanak lebih mudah terpengaruh dengan sesuatu yang disampaikan teman sebaya mereka.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai memenuhi tuntutan itu menyiarkan drama kanak-kanak dua episod, En Nanbanum…Deepavaliyum pada 17 dan 18 Oktober 2009 (Sabtu-Ahad) jam 8.30 pagi di TV2 yang mengangkat watak kanak-kanak lelaki dikenali Kamalesh sebagai watak utama, anak kepada pasangan Raju dan Vasanthi. Kedua ibubapanya sentiasa sibuk dengan pekerjaan sehingga Kamalesh berasa terabai. Kamalesh bersahabat baik dengan Nizam dan Jana dan akibat sering ditinggalkan keseorangan, Kamalesh sering bertandang ke rumah keluarga Jana yang sibuk membuat persiapan untuk Deepavali dengan menghias rumah, membuat kuih-muih dan membeli-belah.
Kamalesh lalu bertanya kepada ayahnya bila mereka akan keluar membeli belah namun ayahnya seolah tidak mengendahkan soalan Kamalesh dan berjanji untuk membawanya minggu depan. Kamalesh gembira dengan kata-kata ayahnya hingga bermimpi yang dia bersama kedua ibubapanya pergi membeli-belah dan juga membuat persiapan untuk Deepavali. Namun apabila Kamalesh mengajukan soalan yang sama 2 hari kemudian, Kamalesh dimarahi ayahnya.
Selepas kejadian itu Kamalesh sering tiada dirumah. Dia kerap berada di rumah Jana kerana merasakan suasana sambutan Deepavali lebih meriah di sana. Dia juga balik lewat ke rumahnya. Sundram dan Mala, ayah dan ibu Jana pelik melihat perangai Kamalesh. Mereka menemui ayah teman anaknya itu dan bertanya kenapa Kamalesh sering berada dirumah mereka dan sering pulang lewat. Begitu pun mereka teruk dimarahi Raju supaya tidak campur tangan dalam urusan keluarga mereka.
Sundram terasa kecil hati dengan kata-kata ayah Kamalesh. Semenjak itu, dia marah jika Kamalesh datang ke rumahnya kerana takut akan timbul masalah. Raju juga melarang Kamalesh pergi ke rumah Jana. Sejak itu Kamalesh hanya bermain-main bersama Nizam selepas sekolah. Selepas beberapa hari Jana bertanya kenapa dia tidak lagi datang ke rumah dan Kamalesh menjelaskan ayahnya dan ayah Jana melarangnya datang ke rumah dan ini menjejaskan persahabatan mereka.
Setelah kejadian itu, Kamalesh tidak lena kerana sering berfikir dan bermimpi tentang Deepavali dan kehilangan persahabatannya dengan Jana. Perkara ini membuatkan dia sering keletihan dan kerap tertidur dalam kelas. Guru Kamalesh mengadu kepada ibunya. Setelah ibubapa Kamalesh mendapat tahu anak mereka sering tidur di dalam kelas, Kamalesh dimarahi oleh ibubapanya. Akibat kecewa dan sedih Kamalesh tidak pulang dari sekolah keesokan harinya.
Raju dan Vasanthi mula panik setelah menyedari kehilangan Kamalesh lalu pergi ke rumah Sundram bertanyakan tentang Kamalesh. Di situlah mereka memulangkan paku buah keras yang pernah dilontarkan Raju kepada mereka malah menyalahkan Raju tidak pandai menjaga hati anaknya. Dia menjelaskan perayaan Deepavali adalah satu perayaan yang membuatkan kanak-kanak gembira apabila disambut bersama keluarga tetapi Raju mengabaikan perkara itu.
Ke manakah Kamalesh menghilangkan diri? Dapatkah dia bertemu semula dengan kedua ibu bapanya dalam meraikan Deepavali tahun ini? Bagaimana pula kesudahan persahabatan Kamalesh dengan Jana yang terputus kerana salah faham keluarga mereka?
Untuk itu usah ketinggalan menyaksikan drama yang menyentuh perasaan lakonan Sivabalan, Purani, Rawid, Banu, Thandapani, Antony Ammah dan Sathiya ini pada 17 dan 18 Oktober 2009 (Sabtu-Ahad) jam 8.30 pagi di TV2.