IMPIAN, SABTU (16 OGOS 2008), JAM 12.30 TENGAH MALAM DI RTM2
Pastinya cuti persekolahan yang tiba begitu bermakna untuk pelajar-pelajar bersantai dan merehatkan fikiran daripada menitikberatkan setiap ilmu yang ditimba di sekolah. Namun hakikatnya pelajaran itu ada di mana-mana sahaja. Termasuk menerusi drama Impian, 16 Ogos 2008 (Sabtu), jam 12.30 tengah malam mengisi slot Telemovie di RTM2.
Apatahlagi Impian yang disiarkan istimewa cuti sekolah ini sarat dengan mesej berguna yang dapat dimanfaatkan pelajar-palajar dengan jalan cerita yang menarik yang memaparkan kisah hidup teman seusia mereka di alam persekolahan menempuhi konflik berkaitan minat terhadap sukan dan keinginan untuk cemerlang dalam pelajaran.
 Â
Impian membawa tontonan menghayati perjalanan watak Azlan, kanak-kanak berusia 12 tahun yang bercita-cita tinggi untuk mewakili sekolahnya dalam pasukan hoki. Azlan mewarisi bakat bermain hoki daripada arwah bapanya yang juga pemain hoki kebangsaan sekitar tahun 90an.
Tetapi cita-citanya mendapat tentangan hebat daripada ibunya, Salmah yang juga seorang ejen hartanah di ibukota. Segalanya diterima Azlan sebagai cabaran yang perlu diterima dan dibuktikan dengan kejayaan yang bakal membanggakan ibu dan arwah ayahnya.
Perkahwinan Salmah dengan arwah suaminya, Nasir Mydin tidak mendapat restu keluarganya kerana mereka sudah mempunyai calon yang dianggap setaraf dengan keluarga mereka. Tetapi Salmah tetap dengan pendiriannya memilih Nasir sebagai teman hidup.
Begitu pun takdir menentukan jodoh mereka tidak panjang kerana Nasir meninggal dunia di padang hoki semasa menjalani latihan akibat serangan jantung.
Sejak kematian suaminya itu, Salmah menggalas tanggungjawab membesarkan dua orang anaknya, Azli dan Azlan. Meski pun terpaksa bersusah payah mendidik keduanya-duanya, Salmah tidak pernah mengeluh. Malah dia berbangga anak sulongnya, Azli diterima melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Namun begitu Azlan pula sebaliknya kerana dia cenderung mewarisi bakat ayahnya dalam sukan hoki.
Azlan tidak sepandai abangnya dalam bidang akademik. Dia seringkali gagal dalam setiap ujian peperiksaan yang ternyata menimbulkan kemarahan ibunya. Salmah bimbang nasib malang yang menimpa suaminya berulang kepada anak bongsunya pula.
Kemarahan Salmah semakin memuncak apabila guru kelas Azlan mengadu kepadanya prestasi pelajaran Azlan yang bertambah merosot sekaligus membocorkan rahsia penglibatan Azlan dalam pasukan hoki sekolah. Akibatnya dia mematahkan kayu hoki peninggalan arwah suaminya di depan Azlan.
Namun Azlan begitu bersyukur kerana dia masih memliki teman baik iaitu Samsinar, Badrul dan Erwan yang sentiasa memberi sokongan kepadanya melibatkan diri dalam pasukan hoki sekolah. Tetapi dia diberi kata dua oleh Cikgu Ridzuan yang juga jurulatih hokinya samada memperbaiki prestasi pencapaian akademiknya atau melupakan sahaja hasratnya menyertai pasukan hoki sekolah mereka bertanding di peringkat negeri.
Kesal dengan sikap ibu dan orang-orang di sekelilingnya yang merendah-rendahkan minatnya terhadap sukan hoki, Azlan berubah sikap mengasingkan diri daripada mereka. Dia merasa begitu tertekan dengan situasi itu. Apatahlah ibunya suka membanding-bandingkan dirinya dengan pencapaian cemerlang abangnya dalam pelajaran.
Lalu bagaimanakah kesudahan perjalanan hidup Azlan mengejar cita-citanya? Adakah ibunya berubah fikiran untuk memenuhi keinginan anak kesayangannya itu? Jangan ketinggalan menyaksikan Impian, 16 Ogos 2008 (Sabtu), jam 12.30 tengah malam mengisi slot Telemovie di RTM2.
Impian terbitan Radius One Sdn Bhd ini dibarisi pelakon Mohamad Syafie Naswip, Mohd Hanis Kamarulzaman, Rozie Rashid, Heriyanto Hassan, Hamidah Wahab, Ku Faridah Ku Shafie dan Isma Yusoof.
[tags]drama impian, Mohamad Syafie Naswip, Mohd Hanis Kamarulzaman, Rozie Rashid, Heriyanto Hassan, Hamidah Wahab, Ku Faridah Ku Shafie, Isma Yusoof[/tags]