Luahan Kasih Sayang Ibu Menerusi Drama – Drama Menarik Hujung Minggu Di TV2
Sempena menyambut Hari Ibu, Radio Televisyen Malaysia ( RTM ) tidak pernah mengecewakan para penonton yang sentiasa mengikuti drama-drama menarik sepanjang bulan Mei khasnya di saluran TV2.
Bagi melaksana impian insan penyayang begelar ibu ini, TV2 menghadiahkan sebuah drama menarik khas Hari Ibu buat tontonan seisi keluarga pada hujung minggu ini di antaranya Gelora Di Hati Ibu bersiaran pada 7 Mei 2011 ( Sabtu ) dan Mama Emma pada 8 Mei ( Ahad ) yang bersiaran pada jam 10.00 pagi di saluran TV2.
Hati ibu mana yang tidak luluh tatkala menghadapi kehilangan anak yang dikandungnya. Adakalanya naluri seorang ibu pasti bergelora dan dirasai oleh setiap wanita bergelar ibu seperti yang menimpa Saodah lakonan dramatis hebat Norish Karman yang menjadi seorang ibu yang kehilangan anaknya menerusi drama bertajuk Gelora Di Hati Ibu.
Lantaran kehilangan anaknya Saodah mengalami masalah mental kerana sering kesedihan meratapi kehilangan anaknya. Saodah diberi rawatan di hospital sehingga pulih dan atas nasihat jururawat yang menjaganya, Saodah diminta berkerja di rumah Dr. Farid sebagai pembantu rumah. Ketika bekerja disana dia mengesyaki salah seorang anak Dr. Farid adalah anaknya.
Saodah mula terbayangkan wajah serta perilaku anaknya yang hilang ketika kecil. Ingatannya itu mendorong dia untuk terus menyelidik latar belakang kanak-kanak tersebut. Adakah benar anak itu adalah anak Saodah yang hilang itu ? Saksikan kesudahan drama yang penuh emosi yang bakal ditayangkan mulai 7 Mei ( Sabtu ), jam 10.00 Pagi menerusi saluran TV2. Bersama barisan pelakon hebat yang membintangi Gelora Di Hati Ibu bakal antaranya Norish Karman, Raja Farah, Nurdayana, Iqram Dinzly dan Sherry Merlis yang bakal menemui penonton sempena Hari Ibu ini.
Kisah tentang pengorbanan seorang ibu terhadap seorang anak tidak hanya tamat sampai di situ sahaja. Ini kerana kesinambungan babak menarik menerusi slot istimewa Hari Ibu tetap memenuhi citarasa buat penonton seisi keluarga dengan drama bertajuk Mama Emma yang bakal bersiaran pada 8 Mei 2011 hari Ahad, jam 10.00 Pagi di TV2.
Drama yang menampilkan pelakon popular seperti Catriona Ross yang menerajui watak utama sebagai Diana, seorang ibu tunggal. Diana tekad membesarkan anaknya bernama Emma yang kurang upaya kerana lumpuh anggota kaki sejak dia dilahirkan lagi. Diana ditinggalkan suaminya seorang juruterbang beberapa tahun yang lalu.
Pelbagai cabaran dan dugaan ditempuh bagi memastikan anaknya mendapat rawatan yang terbaik. Diana berusaha melakukan pelbagai kerja untuk menampung keperluan mereka anak beranak. Dengan berkat kesabaran dan segala cabaran yang ditempuhi akhirnya usaha Diana berhasil dengan menjadi seorang pereka fesyen muslimah yang berjaya.
Diana akhirnya mampu membiayai rawatan anaknya di Filipina. Mama Emma sebuah drama yang pasti memberi inspirasi buat kaum hawa bergelar Ibu dengan menampilkan barisan pelakon hebat seperti Catriona Ross, Farisya Fatin, Mira Normila dan Mahmud Ali Bashah.
Luangkan masa anda bersama keluarga dengan menonton dua drama menarik sempena Hari Ibu yang bakal disambut menjelang 8 Mei ini dengan hidangan program – program khas buat tontonan seisi keluarga pastinya di saluran TV2.