in , ,

Drama & Filem Melayu Sepanjang April @ TV3

KONFLIK CINTA DAN KEKELUARGAAN BERMULA DI SINI
Kita memerlukan keluarga, begitu juga keluarga memerlukan kita. Konsep saling memerlukan ini sudah diamalkan sejak sekian lama, namun, masih ada segelintir yang masih tidak sedar akan kepentingannya. Jadi, TV3 terpanggil untuk memberi kesedaran akan kepentingan keluarga kepada setiap individu. Slot Widuri akan diisi dengan rancangan-rancangan hebat iaitu Perang Menantu, Rahmat Rahimah, Rosie dan Kau Merubah Hidupku, manakala slot Cerekapilihan pula akan memaparkan rancangan-rancangan yang mencuit hati seperti Ayam Kampung, Badrul Oh Rahul, Kiah Catering dan Oh Khadijah.

Slot Pesona 3 kali ini mempersembahkan dua cerita yang mesti ditonton iaitu Kuliah Cinta dan Hatiku Bukan Kristal. Konflik cinta di alam kampus menjadi pilihan bagi jalan cerita Kuliah Cinta yang dibintangi oleh dua gandingan mantap iaitu Erra Fazira dan Yusry KRU. Hatiku Bukan Kristal pula berkisarkan kisah mengenai seorang pelacur yang mencintai seorang wartawan. Penghujung cerita ini pasti akan membuatkan penonton menangis. Hatiku Bukan Kristal mempersembahkan Redzuan Hashim, Erma Fatima dan Julia Rais sebagai pelakon utama.

Jangan lepaskan peluang menonton rancangan-rancangan menarik yang ditayangkan oleh TV3 kerana inilah masanya untuk berhibur!

WIDURI, ISNIN & SELASA, JAM 11.02 PAGI

Perang Menantu (7 & 8 April 2008)
Shamsul telah berkahwin dengan perempuan Amerika bernama Yvonne. Apa yang dilakukan oleh Yvonne pasti ada sahaja yang tidak kena pada ibu Shamsul. Shamsul dan Yvonne mahu belajar hidup berdikari dan pindah ke rumah Azmi, namun, ia mendapat reaksi negatif dari Azean, isteri Azmi. Azean tidak menyukai Yvonne yang rapat dengan anaknya, Amira. Azean bertambah marah apabila mengetahui Yvonne telah membuat panggilan ke Amerika. Shamsul dan Yvonne kembali tinggal di rumah ibu Shamsul. Tidak lama kemudian, Yvonne telah lari ke rumah ibu bapa Azean selepas bertengkar dengan ibu Shamsul. Mereka telah mengajar Yvonne tentang agama dan ilmu keluarga. Azean yang baru mendapat tahu Yvonne sebenarnya membuat “reverse call” berasa serba salah dan mahu mengajak Shamsul dan Yvonne tinggal semula di rumah mereka.

Pelakon: Azwan Alil, Aziz M Osman, Nor Aliah Lee, Nik Natasya Nik Yusoff, M Osman, Afida Es, Mek Habsah

Rahmat Rahimah (14 &15 April 2008)
Liza gadis belasan tahun hidup bebas tanpa pengawasan oleh ibu bapa dan kakaknya. Dia akhirnya menjadi penagih dadah. Kemudian, dia  telah mengandung dan melahirkan anak luar nikah. Kakak Liza, Zurah dan suaminya mengetahui keadaan Liza. Apabila Liza melahirkan anaknya dan meninggalkan bayi itu di rumah kosong, Zurah dan suaminya membawa anak itu pulang dan menjadikannya anak angkat dan memberi nama Rahimah. 13 tahun kemudian, Rahimah mendapat tahu dia hanyalah anak angkat. Kerana desakan Rahimah, Zurah memberitahu siapa ibunya. Bagaimanapun penjelasan itu sedikit pun tidak merubah kasih sayang Rahimah kepada Zurah dan suaminya. Liza cuba mengaku emak kepada Rahimah selepas mengetahui bahawa Rahimah adalah anaknya tetapi tidak mampu berterus-terang kerana dia sedar akan kesilapannya yang lampau. Apakah yang terjadi seterusnya?

Pelakon: Shazleen Shahbi, Aida Salma, Yazid Sobrani, Nor Shuhaiba, Zainal Abidin, Nasir Ali

Rosie (21 & 22 April 2008)
Mahat peniaga warung kopi menerima surat anaknya yang tidak pernah ditemui daripada isteri pertamanya Mary, anak seorang Inggeris, Tuan Brown. Mahat dan Mary dikahwinkan secara paksa dan dipisahkan secara paksa juga. Isterinya dihantar balik ke Britain semasa mengandung anak sulung mereka. Anak yang dimaksudkan ialah Rosie yang kini datang menemui bapa kandungnya di kampung. Mahat dan isteri keduanya, Jah mula kekok menerima kehadiran anak dara kulit putih itu. Tetapi kerana Rosie ramah dan pandai mengambil hati mereka, akhirnya mereka sayangkan anak itu. Bagaimanapun kedatangan Rosie mencetuskan pelbagai peristiwa di kalangan masyarakat kampung. Akhirnya Mahat dan isteri berjaya melentur peribadi Rosie dan menjodohkannya dengan seorang guru tempatan.

Pelakon: Abu Bakar Omar, Joanna Besey, Nurul Zawawi, Nornadira Zulkifli, Malek Hassan, Eric Roslee

Kau Merubah Hidupku (28 & 29 April 2008)
Zainal merupakan seorang usahawan dan telah berkahwin dengan Barirah, anak orang kaya. Walaupun mereka mempunyai dua orang anak, hidup mereka tidak bahagia dan telah membawa haluan masing-masing. Barirah telah mengupah seorang penyiasat persendirian untuk mengintip Zainal. Zainal telah berkenalan dengan Johana yang juga merupakan seorang usahawan dan janda yang mempunyai seorang anak bernama Maria. Zainal dan Johana pergi ke Terengganu atas urusan kerja, kesempatan ini digunakan oleh Johana untuk menemui anaknya yang tinggal di sana bersama bapa dan abangnya. Penyiasat persendirian yang diupah oleh Barirah telah mengekori Zainal ke Terengganu. Sementara itu, seorang kingpin mengarahkan Aslan untuk mencari orang untuk melabur sebanyak RM200 ribu di dalam sebuah syarikah pengangkutan. Aslan berjaya mempengaruhi Zainal dan jika Zainal setuju, mereka akan bertemu di UK. Zainal dan Barirah telah bertengkar apabila masing-masing melihat gambar yang diberikan oleh penyiasat persendirian dan beberapa orang lelaki. Apakah yang berlaku selanjutnya?

Pelakon: Aida Rahim, Jalaluddin Hassan, Majid Salleh, Zulkifli Ismail, M Rajoli, Ismail Din

CEREKAPILIHAN, JUMAAT 1.30TGHARI

Ayam Kampung (4 April 2008)
Che Mah dan Che Nab telah kematian suami dan masing-masing mempunyai anak gadis bernama Kesuma dan Nadia. Mereka menjual ayam di pasar dan setiap hari mereka akan bersolek serta berhias untuk menarik perhatian pelanggan. Mereka menaruh hati terhadap ketua kampung, Pak Samad. Kebetulan pula, Pak Samad datang ke kedai mereka untuk memberitahu bahawa Pegawai Daerah akan mengadakan pertandingan menghias kedai tercantik. Maka, berlumba-lumbalah mereka untuk menghias kedai masing-masing. Namun, hasil usaha mereka sia-sia sahaja kerana pertandingan terpaksa dibatalkan. Mizi, anak Pak Samad menyukai Che Mah manakala ayahnya pula menyukai anak Che Mah, Kesuma. Mizi menjadi marah apabila Che Nab memberitahu yang ayahnya memilih Che Mah sebagai calon isteri. Namun, kemarahannya reda apabila mendapat tahu yang ayahnya itu menyukai Kesuma dan bukannya Che Mah.

Pelakon: Norlia Ghani, Kartina Aziz, Kartina Aziz, Ismail Din, Shahifah Shahira, Sheila Rusly, Zul Yahya

Badrul Oh Rahul, (4 April 2008)
Badrul bekerja sebagai penjual barangan di syarikat jualan langsung. Wajahnya mirip Rahul, pelakon Hindustan. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Suatu hari Badrul telah menerima tawaran untuk menjadi model pakaian walaupun ditolak oleh isterinya, Tipah. Kemudian, Badrul telah berkenalan dengan Rita yang juga model di syarikat terbabit. Badrul memberitahu Rita yang beliau merupakan ahli perniagaan dan masih bujang. Lama kelamaan Badrul telah jatuh cinta dengan Rita tetapi takut diketahui oleh Tipah lalu beliau meminta nasihat dari rakan beliau, Damri. Damri menyarankan supaya hubungannya dengan Rita diputuskan dan jangan menjawab panggilannya. Rita berasa sedih lalu meminta nasihat daripada Ika, yang kebetulan pula adik ipar Badrul. Rita mendapat tahu Badrul telah menipunya, sebenarnya Badrul sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak. Walaupun begitu, Rita tetap mahu menjadi isteri kedua Badrul. Sesuatu telah berlaku antara Tipah dan Badrul yang mengakibatkan Tipah lari ke rumah ibu bapanya. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Pelakon: Riezman Khuzaimi, Jasmin Hamid, Aida Aris

Kiah Catering (18 April 2008)
Di sebuah lokasi, En Maadon seorang penerbit yang ingin menjalani pengambaran drama terbarunya. Persiapan bagi penggambaran ini dijalankan secara “cincai” sahaja. Salah seorang yang terlibat dengan penggambaran ini ialah anak Mak kiah, Pian. Mak Kiah terdengar akan skrip yang dibaca oleh anaknya itu lalu berminat dengan penggambaran tersebut. Lalu, Mak Kiah dan anak perempuannya, Nani ditawarkan untuk menyediakan makanan “katering” bagi penggambaran tersebut. Mereka semua terkejut melihat kelibat Mak Kiah di lokasi. Malangnya kehadiran Kiah di set menghuru-harakan segala proses penggambaran tersebut. En Maadon dan Shelly ditangkap basah, manakala pengarah dimasukkan ke wad sakit jiwa dan Mat Top juga hilang entah ke mana. Penggambaran tersebut telah diteruskan oleh Mak Kiah yang menjadi pengarah dan dibantu oleh Nani dan Pian sebagai pelakon dan penulis skrip. Drama tersebut telah mendapat sambutan ramai seterusnya memenangi anugerah skrin.

Pelakon: Rosyam Noor, Ida Nerina, Sheila Rusly, Lyana Jasmay, Ngasrizal Ngasri, Ebby Yus, Harun Salim Bachik

Oh Khadijah (25 April 2008)
Azhar seorang pelakon terkenal dan selalu menerima anugerah sebagai pelakon paling popular. Tetapi dia sudah bosan melakonkan watak yang berakhir dengan kematian akibat sakit. Azhar berminat berlakon sebagai seorang buta yang bercinta dengan orang celik. Dia bersetuju menerima tawaran Aziz M Osman untuk watak tersebut. Azhar meminta Lem memberi kerjasama dengannya membuat ‘homework’ melakonkan watak buta. Untuk itu dia menyamar sebagai orang buta menjual tisu. Azhar berkenalan dengan Khadijah dan dia menyamar sebagai Meor. Meor telah jatuh cinta dengan Khadijah, Khadijah juga begitu. Tetapi Khadijah risau kerana secara zahirnya dia hanya berpura-pura mencintai Meor. Ibu Azhar mendesaknya berkahwin dengan Siti, anak Tok We. Bila diajak bertemu, Azhar menyuruh Lem menggantikan tempatnya. Manakala Imah di tempat Siti. Lem telah jatuh cinta dengan Imah. Ibu Azhar marah bila Azhar menyatakan dia sudah ada pilihannya sendiri. Suasana menjadi tenang apabila Azhar mendapati calon yang dipilih ibunya kebetulan adalah calon pilihannya juga. Siti Khadijah ialah nama penuh Siti.

Pelakon: Azhar Sulaiman, Sharifah Norhasleenda, Rusdi Ramli, Azizah Mahzan, Syarifah Shahira, Aziz M Osman, Rosnah Mat Aris, Yusni Jaafar

PESONA 3, AHAD, 2.00 PETANG

Kuliah Cinta (6 April 2008)
Filem ini mengisahkan tentang kehidupan remaja di alam kampus yang dilalui Jojo (Johana) dan Faramy. Mereka berkawan baik, namun, segalanya berubah apabila tibanya sesi kemasukan pelajar junior di Universiti tempat mereka belajar. Sebagai senior, mereka dipertanggungjawabkan untuk menjalankan program induksi untuk pelajar-pelajar baru dan dalam diam Faramy telah terpikat kepada pelajar junior bernama Ayu. Kehadiran Ayu menjejaskan keakraban Jojo dan Faramy sedangkan mereka berkawan baik sejak di bangku sekolah lagi. Jojo yang berasa tersisih mengambil keputusan untuk menyertai program pertukaran pelajar ke Australia bagi melupakan Faramy. Bagaimanapun, dia berkenalan dengan seorang jejaka bernama Johan sehingga mengundang cemburu Faramy.

Pelakon: Erra Fazira, Yusry KRU, Zahnita Hussein, Saiful Apek, Zahida Rafek

Hatiku Bukan Kristal (13 April 2008)
Michelle seorang pelakon terkenal. Dia juga pelacur kelas atasan untuk ‘sugardaddy’. Pelakuannya sering diperhatikan oleh seorang wartawan bernama Razif. Dia cuba menjalinkan persahabatan dengan Michelle untuk mendapatkan maklumat bagi ceritanya. Setelah sekian lama, Michelle jatuh cinta dengan Razif. Kemudian, dia mendapat tahu yang Razif seorang wartawan dan kecewa dengan sikap kepura-puraan Razif. Pada suatu hari, dia telah bertengkar dengan ‘sugar daddy’ yang mengawal segala aktivitinya, termasuk kehidupan sosialnya. Secara tidak sengaja, dia terjatuh di dalam bilik air dan mati.

Pelakon: Redzuan Hashim, Erma Fatima, Julia Rais

[tags]Hatiku Bukan Kristal, Kuliah Cinta, Redzuan Hashim, Oh Khadijah, drama, filem, pelakon, Erma Fatima, Kiah Catering, Julia Rais, Erra Fazira, Yusry KRU, Zahnita Hussein, Saiful Apek, Zahida Rafek, Azhar Sulaiman, Sharifah Norhasleenda, Rusdi Ramli, Azizah Mahzan, Syarifah Shahira, Aziz M Osman, Rosnah Mat Aris, Yusni Jaafar, Rosyam Noor, Ida Nerina, Sheila Rusly, Lyana Jasmay, Ngasrizal Ngasri, Ebby Yus, Harun Salim Bachik, Riezman Khuzaimi, Jasmin Hamid, Aida Aris, Norlia Ghani, Kartina Aziz, Kartina Aziz, Ismail Din, Shahifah Shahira, Sheila Rusly, Zul Yahya, Aida Rahim, Jalaluddin Hassan, Majid Salleh, Zulkifli Ismail, M Rajoli, Ismail Din, Abu Bakar Omar, Joanna Besey, Nurul Zawawi, Nornadira Zulkifli, Malek Hassan, Eric Roslee, Azwan Alil, Aziz M Osman, Nor Aliah Lee, Nik Natasya Nik Yusoff, M Osman, Afida Es, Mek Habsah[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kad Jemputan Media Anugerah Bintang Popular 2007

Promo Minggu Setiausaha Faizal Tahir & Sharifah Aleya