in ,

Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) Versi Sarawak

Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) kembali! Istimewanya edisi kali ini DFKL akan menjelajah jauh ke luar Semenanjung iaitu Sarawak. DFKL versi Sarawak akan menggegarkan Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, UNIMAS pada 11 & 12 Oktober nanti.

Sejak dilancarkan pada tahun 2014, Sarawak menjadi destinasi pertama DFKL melebarkan sayap luar dari tanah semenanjung.  Menariknya kali ini, DFKL Sarawak merupakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS). 

DFKL versi Sarawak- Uji bakat

Orang – Orang Sarawak, Kami Mahukan Anda!

Menurut Encik Johan Ishak, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN),

“Sudah enam tahun bertapak dan mendapat sambutan orang ramai, DFKL merupakan satu landasan terbaik untuk orang awam menimba ilmu, mempelajari selok belok dan mengenali pemain utama (key player) industri hiburan tanah air.

DFKL masih kekal dengan objektif ini untuk memperkasakan lagi industri hiburan tanah air dengan melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat baharu untuk mempelopori bidang seni dengan aspirasi tersendiri.

Sarawak menjadi pilihan untuk meluaskan lagi kolaborasi kami pada tahun ini. Melalui kerjasama dengan UNIMAS dan juga FINAS, kami berharap ianya dapat membuka peluang yang lebih besar buat orang ramai khususnya para pelajar.

Amat penting untuk para pelajar diberi pendedahan awal supaya mereka dapat membuat persediaan untuk melangkah ke alam pekerjaan sebenar lebih-lebih lagi dalam industri hiburan yang kini kian berevolusi.”

Johan Ishak

Bagi sesi bengkel tertutup pada hari pertama DFKL versi Sarawak pada 11 Oktober, TV3 bakal menerbangkan penggiat seni tersohor selain wakil daripada Media Prima Encik Johan Ishak (Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima), Datuk Ahmad Idzham Omar (Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios) seperti Datuk Hans Isaac selaku Pengerusi FINAS, penerbit dan pengarah berpengalaman iaitu Eirma Fatima dan penulis skrip Alfie Palermo untuk berkongsi ilmu bersama para pelajar Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, UNIMAS.

Pada hari kedua iaitu 12 Oktober, bakal berlangsung sesi kongsi (pembentangan idea) bersama Eirma Fatima dan Alfie Palermo. Sesi kongsi adalah platform buat anda yang mengimpikan untuk menonton drama hasil idea anda sendiri.

Anda hanya perlu kongsikan idea anda secara ringkas, jelas dan mudah difahami beserta rujukan bersama kami. Idea anda perlulah original, mempunyai unsur pengajaran dan kelainan serta tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Jika terpilih, anda berpeluang memenangi hadiah wang tunai RM500.00 dan idea anda akan direalisasikan menjadi sebuah drama atau filem.

Selain bengkel dan sesi kongsi, antara yang menjadi tarikan utama sepanjang berlangsungnya DFKL adalah sesi uji bakat lakonan.

DFKL versi Sarawak juga tidak ketinggalan ingin mencari bakat baharu untuk muncul dalam drama-drama terbitan TV3 dan kali ini, kami mencari pelakon yang berkaliber dan sesuai untuk mewarnai slot drama pada tahun hadapan.

Pelakon dan juga penerbit Sheila Rusly bersama Ayda Jebat dan Nazim Othman akan memeriahkan sesi uji bakat lakonan yang bakal berlangsung pada hari kedua DFKL versi Sarawak di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan & Kretif. Sesi uji bakat yang akan dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia, khususnya warga Sarawak dan Sabah. 

Bagi yang berminat, pastikan anda datang dengan membuat persediaan, berpakaian kemas dan jangan lupa untuk membawa dua keping gambar berukuran pasport.

Anda yang ingin mengejar impian untuk bergelar pelakon, jangan lepaskan peluang keemasan ini kerana inilah masa anda untuk menyerlah.

Layari laman media sosial rasmi kami di Facebook dan Instagram @TV3Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai DFKL 2019. 

Jumpa kitak orang kelak di sinun! 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TV2 Siar Filem Klasik HAATHI MERE SAATHI

Kehangatan Maharaja Lawak Mega 2019 Kembali Membara