Dari Alam Siber ke Alam Nyata…, Percayakah Anda Kewujudannya?
Toyol?!! Masih adakah lagi toyol di zaman moden ini? Siapa tak seram bila membayangkan toyol, lembaga kerdil yang menghisap ibu jari kaki orang di waktu malam ketika orang tidur sebagai makanannya dan mencuri wang dan barang berharga buat tuan yang menyerunya.
Kisah toyol telah sering kita dengar dan pernah menjadi perbualan sejak dahulu kala lagi dan telah diperdengarkan turun-temurun oleh ibu dan ayah kita sejak kecil. Namun, adakah makhluk ini benar-benar wujud? Bagaimanakah pula jika kisah seram toyol yang pada awalnya diada-adakan dan disebarkan melalui internet kini seolah-olah menjadi kenyataan?
Inilah kisah yang dipaparkan seterusnya menerusi slot Lagenda, “e-toyol.com” yang telah menemui penonton TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang mulai 16 Jun 2009 yang lalu. Bersiaran sebanyak 20 episod siri “e-toyol.com” ini merupakan hasil buah tangan pengarah Abdul Azizi Awang Ghazali dan diterbitkan oleh MIG Beats Sdn. Bhd.
Siri ini membariskan pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Muhd. Azhari Azizam (Erwan/Dogol), Fauzi Nawawi (Hamidi), Erry Putra (Adlan), Norliana Samsudin (Sharmila), Ahmad Ezzrin Loy (Haslam), Farhana (Atiqah), Iskandarsah (Bob), Ifa Raziah (Kalsum) dan Zack Idris (Tamrin). Apa yang menarik, siri ini juga turut menampilkan lakonan penyanyi Nurul Abd Wahab sebagai Mazlin serta Rafidah, pemenang pencarian gadis Pantene sebagai Ustazah Sarah.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Pn Nurul Aini Abu Bakar berkata, “Siri ‘e-toyol.com’ ini merupakan sebuah siri drama yang menggabungkan unsur seram dan komedi untuk hiburan seisi keluarga. Selain dari jalan ceritanya yang menarik dan mudah difahami siri ini juga banyak memaparkan adegan lucu dan mencuit hati. Saya percaya siri ini akan menjadi kegemaran seisi keluarga terutama kanak-kanak. Selain dari itu, siri ini juga memperlihatkan sikap sinikal segelintir penduduk bandar yang mudah melatah akan hal yang berbentuk mistik dan misteri. Memang tidak dinafikan, kepercayaan terhadap perkara-perkara seperti ini masih wujud walaupun di zaman yang serba moden ini. Namun, ini tidak bermakna manusia harus tunduk kepada perkara-perkara mistik sehingga boleh memesongkan aqidah,” katanya.
“Selain dari itu, siri ini juga memaparkan nilai-nilai pengajaran yang baik sebagai panduan kepada penonton. Contohnya, ia memaparkan implikasi atau impak dari khabar-khabar angin melalui internet, kesan dari bimbingan dan perhatian ibu bapa yang longgar terhadap anak-anak di masa kini, serta masalah anak-anak di sekolah termasuk buli, serta ketaksuban kepada kepercayaan karut dan hantu sehingga menjejaskan hal-hal lain,” tambahnya.
‘e-toyol.com’ mengisahkan seorang budak lelaki berkepala botak, pendek, bernama Erwan yang digelar ‘Dogol’ olah rakan-rakan sekolahnya. Sebagai kanak-kanak yang pendiam, Erwan sering dibuli oleh rakan-rakannya ketika di sekolah. Dia merupakan anak seorang pengusaha restoran dan kedua ibubapanya sering sibuk menguruskan perniagaan mereka.
Erwan, merupakan pelajar yang kurang cemerlang dalam pelajaran tetapi dia sangat mahir dalam hal komputer dan internet. Dalam diam, dia yang sentiasa menjadi bahan usikan ada menyimpan perasaan marah yang tidak terluah. Oleh itu, dia mula menyebarkan khabar angin dalam internet melalui laman web khas ciptaannya yang dinamakan laman seram yang memfokuskan tentang toyol. Dia kemudiannya menceritakan kepada pelanggan restoran tanpa pengetahuan ayah ibunya kononnya khabar angin adanya toyol itu adalah benar. Resam orang yang lebih suka percaya cerita dongeng dari khabar yang benar, memudahkan rancangan Erwan.
Sepanjang kisah berlaku, suasananya seakan seram tetapi situasi yang sebenar berlaku adalah lucu atau tidak disangka. Sehinggalah satu malam, toyol yang sebenar kepunyaan seorang lelaki bernama Tamrin memberontak dan berjaya melepaskan diri dari Tamrin lalu pergi mencari Erwan. Semenjak itu, pelbagai peristiwa seram dan lucu terjadi apabila Erwan mengistiharkan perang terhadap toyol tersebut. Bagaimanakah Erwan berhadapan dengan situasi itu dan berjayakah dia mengatasinya?
Untuk mengetahui lebih lanjut kisah seram yang mencuit hati ini, jangan lupa untuk menyaksikan “e-toyol.com” setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3 dan 8.30malam di TV9.