Pengorbanan Seorang Ibu Dalam Diari Bonda di TV1
Pengorbanan seorang ibu tiada taranya apatahlagi kiranya sudah bergelar ibu tunggal. Tanggungjawab membesarkan anak-anak terpikul di bahunya demi memastikan zuriat mereka membesar dan terdidik sempurna seperti anak-anak orang lain yang memiliki keluarga yang lengkap. Dugaan yang mendatang mesti ditempuhi walau dengan apa jua cara.
Namun kepada siapakah segala duka lara ingin di kongsi seorang ibu apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh seumpama menyimbah minyak dalam api. Kesedaran yang cuba ditimbulkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi drama khas Hari Ibu bertajuk Diari Bonda pada 14 Mei 2011, jam 9.00 malam menerusi TV1 pastinya sedikit sebanyak memberikan pengajaran kepada anak-anak supaya menghargai pengorbanan seorang bergelar ibu.
Menampilkan lakonan berkesan Jasmin Hamid sebagai ibu tunggal bernama Zakiah, plot kisahnya berlegar sekitar cerita watak Zakiah berdepan dengan kerenah dua anak remajanya yang seolah menjadi anak yang tidak sedar diuntung. Pengorbanan Zakiah seolah-olah sia-sia apabila keduanya termakan hasutan orang tidak dikenali bahawa ibu mereka melakukan kerja yang tidak baik di Kuala Lumpur.
Turut dibintangi Addy Ashraf, Sweet, Fadzrin Danial, Liza Abdullah dan Faizal Hussin, hakikatnya untuk membesarkan anak-anak, dia bekerja di Kuala Lumpur sebagai tukang kemas disebuah hotel dengan meninggalkan ketiga-tiga anaknya bersama ibunya di kampung. Dia menghadapi konflik dengan anaknya sendiri apabila Zakuan menuduhnya membuat kerja yang tidak baik di Kuala Lumpur untuk menanggung mereka dan Zakira pula sering meminta wang darinya kerana suka menunjuk-nunjuk dan berlagak seperti orang kaya. Hanya Zali yang tidak banyak karenah dan rajin membantu neneknya.
Zakiah terlalu berharap ketiga-tiga anaknya menjadi orang yang berjaya demi membela nasib mereka sekeluarga. Dia bekerja bertungkus-lumus untuk mencari wang bagi menyekolah mereka. Tetapi dia sering dikecewakan apabila Zakuan yang benci dengan kerjanya di Kuala Lumpur sering menunjuk perasaan dengan tidak bersekolah dan dia lebih suka mencari peluang-peluang pekerjaan. Dengan pekerjaan itu, Zakuan berharap dapat menyara keluarganya dan dengan itu tidak perlu membuat kerja yang bukan-bukan di Kuala Lumpur.
Zakiah sedih dengan sikap Zakuan walau pun sudah banyak kali diberitahu bahawa dia hanya menjadi tukang kemas di sebuah hotel namun Zakuan mempercayainya membuat kerja lebih dari sekadar tukang kemas. Ini dibuktikan dengan kemampuan Zakiah memberi wang kepada Zakira yang sering meminta untuk membeli buku walau pun wang tersebut digunakan untuk bergaya.
Rohani yang bertanggungjawab membawanya bekerja di Kuala Lumpur sering memujuk perasaan Zakiah. Dia meminta Zakiah supaya tidak terlalu ambil peduli dengan sikap anak-anaknya.
Dugaan Allah datang menimpa apabila Zakiah disahkan mengidap kanser usus di peringkat keempat. Zakiah merahsia penyakitnya dari pengetahuan semua orang dan beberapa bulan kemudian dia pengsan tiba-tiba. Dia ditahan di hospital dan semakin hari, dia semakin lemah lalu tidak sedarkan diri.
Tika Zakiah masih tidak sedarkan diri di hospital, Zakuan menyelongkar beg Zakiah yang diberi Rohani lalui dia menjumpai sebuah diari. Zakuan membaca diari tersebut dan alangkah sedihnya apabila mengetahui bagaimana ibunya bersusah payah mencari wang untuk mereka.
Namun masihkah ada ruang untuk Zakuan dan Zakira memohon kemaafan daripada ibu mereka? Saksikan kesudahannya pada 14 Mei 2011, jam 9.00 malam di TV1.