Lara Hati Seorang Isteri Dalam Drama Di Pintu Mahligai Di TV2
Kisah lara hati seorang isteri yang diabaikan suami bukanlah asing lagi dalam masyarakat kita. Saban hati di dada akhbar mahupun berita di layar TV ada saja kes yang membabitkan perkara sama yang sekaligus menyebabkan keruntuhan rumah tangga yang adakalanya dibina sejak berpuluh tahun dan memiliki ramai zuriat.
Situasi ini sepatutnya tidak berlaku apatah lagi secara terang-terangan suami berubah sikap setelah jatuh hati kepada wanita lain dengan menggunakan alasan si isteri sudah tidak lagi mementingkan penjagaan diri kerana sibuk menguruskan rumahtangga dan anak-anak yang masih kecil. Bukan sepenuhnya mahu menyalahkan pihak suami kerana sepatutnya isteri juga perlu sentiasa tampak bersih dan menarik di pandangan suami. Begitu juga suami yang sepatutnya memahami situasi isteri mengasuh anak-anak dan pada masa sama turut membantu meringankan beban isteri.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang cuba mengajak penonton setianya terutama dalam bulan Ramadan ini untuk muhasabah diri dalam membentuk kesefahaman antara pasangan suami isteri berkongsi menyiarkan drama bertajuk Di Pintu Mahligai pada 22 Ogos 2011, jam 1.30 petang di TV2.
Membariskan pelakon Roy Azman dan Abby Abadi yang bergandingan sebagai suami isteri selain dibantu Yatt Hamzah, Farid Amirul dan Liza Abdullah, plot cerita Di Pintu Mahligai menonjolkan kisah Ellie, seorang isteri yang setia dan ibu yang prihatin serta penyayang berkorban dan mengangkat tanggungjawab sebagai seorang suri rumah sebagai satu profession yang paling dimuliakannya.
Namun begitu pengorbanannya tidak dihargai oleh suaminya yang secara tidak lansung tidak dapat menerima kenyataan tentang perubahan hidup dari masa ke semasa yang mereka perlu alami. Amir, suaminya berfikiran bahawa Ellie sudah tidak lagi pandai menjaga penampilan dirinya kerana terlalu sibuk dengan tugasnya menguruskan rumahtangga walhal Amir sebenarnya tidak lagi melihat Ellie seperti masa mula mereka bercinta dahulu kerana merasa bosan dan mahu lari dari kenyataan rumahtangganya yang mempunyai anak-anak yang semakin membesar.
Keadaan menjadi semakin ketara apabila Nani setiausaha baru di pejabatnya mengambil kesempatan untuk memikatnya. Mansor sahabat baik Amir dan Ellie sejak dari zaman universiti dahulu menentang keras dengan perubahan sikap Amir kerana Amir cuba mensia-siakan Ellie yang pada suatu masa dahulu adalah juga wanita idaman Mansor.
Akhirnya keputusan Amir untuk mengahwini Nani bertukar menjadi satu rahmat apabila Amir tiba-tiba insaf dan bertukar fikiran setelah mendapat bayangan rumahtangganya yang telah berkecai. Lalu adakah jalan kembali ke pangkuan Ellie begitu mudah diperolehinya? Sudikah Ellie memaafkan kesalahan yang di lakukan? Saksikan kesudahannya hanya di TV2.