Oleh itu, bagi meningkatkan kualiti hidup mereka, penjaga perlu menyuntik kesedaran dalam diri dan menambah berpengetahuan dalam menguruskan pesakit Alzheimer ini. Ianya supaya mereka dapat mengurangkan beban yang tertanggung. Menjaga pesakit yang mempunyai penyakit Alzheimer boleh menjadi sangat mencabar daripada segi emosi, mental dan fizikal.
Ibarat ‘berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’, kisahnya yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita atau pun keluarga terdekat ini dibawakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi drama kekeluargaan bertajuk “Denting Cinta” mengisi slot Panggung RTM pada 11 November ini, pukul 9.00 malam di TV1.
Telefilem arahan Rahila Ali ini berkongsi kisah wanita separa usia iaitu Cikgu Halimah lakonan Laila Nasir yang mempunyai penyakit Alzheimer dan mengalami mengalami simptom kehilangan memori. Wataknya digambarkan sebagai individu yang mudah resah dan mula berkeliaran serta adakalanya akan menjadi lebih agresif. Selain itu, dia juga akan sentiasa mengucapkan sesuatu dan melakukan sesuatu secara berulang-ulang.
Sementara itu, Darwish dilakonkan wataknya oleh Fadlan Hazim merupakan salah seorang daripada anak Cikgu Halimah rasa bertanggungjawab mahu menjaga emaknya, yang menghidap penyakit Alzhaimer tersebut.
Apatahlagi bila mengenangkan emaknya juga sentiasa memerlukan bantuan bagi mengendalikan rutin harian seperti mandi, memakai pakaian, makan dan menggunakan tandas. Sesuatu aktiviti yang mudah untuk kita lakukan akan menjadi sesuatu yang sukar bagi penghidap Alzheimer.
Darwish kemudiannya mengambil Dahniah (Isyariana) sebagai pembantu emaknya. Dahniah bersetuju untuk menjaga Cikgu Halimah kerana wanita itu pernah menjadi penjaganya sewaktu Dahniah bersekolah rendah. Mampukah Dahniah menggalas tanggungjawab tersebut? Ikuti kesudahannya di TV1.
Drama ini turut dibintangi oleh Neera Azizi, Mak Wan, Effa Nasrisha, Dareen Lew, Beego dan Rahim Kidol.