Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil hari ini melancarkan drama Cyber999 terbitan AMK Creative Media Sdn. Bhd. sempena sambutan Hari Keselamatan Internet 2023, Edisi Malaysia.
Siri drama ini akan memaparkan 26 insiden berkaitan keselamatan siber yang diilhamkan daripada buku Kisah Benar Cyber999 terbitan CyberSecurity Malaysia (CSM).
Drama yang memaparkan pelbagai modus operandi jenayah siber ini, mampu memberi kesedaran kepada penonton agar tidak diperdaya dan menjadi mangsa seterusnya memupuk nilai-nilai etika, integriti dan sikap kebertanggungjawaban dalam menggunakan teknologi dan Internet.
Karya yang menggunakan Dana Kandungan Kreatif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ini, memuatkan kisah benar berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengguna Internet ke Pusat Bantuan Cyber999.