in

Drama CANTIK Lakonan Julia Ziegler di TV1

JULIA ZIEGLER  BINTANG UTAMA DRAMA CANTIK PADA 2 JANUARI 2010 DI TV1

Tuhan telah menciptakan segala apa yang ada di dunia ini berpasangan, contohnya seperti lelaki dan perempuan, baik dan jahat, cantik dan hodoh. Namun manusialah yang menentukan sendiri pilihan mereka. Begitu pun menerusi drama Cantik yang disiarkan pada 2 Januari 2010 (Sabtu), jam 10.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1, cuba membongkar sisi lain kehidupan seorang wanita diwakili watak utamanya Dila, supermodel terkenal yang mementingkan kesempurnaan dan kecantikan fizikal.

Cantik menyaksikan lakonan berkesan Julia Ziegler dan Tony Eusoff bergandingan sebagai pasangan suami isteri, drama ini turut dibintangi Maizurah Hamzah, Addy Asyraff dan Angeline Tan yang mengisahkan Dila telah mendirikan rumahtangga dengan Norman yang merupakan seorang Jurutera Pelantar Minyak Di Terengganu. Walaupun Dila telah berkahwin dengan Norman, dia tidak pernah terfikir untuk mempunyai zuriat kerana khuatir kecantikan fizikalnya akan pudar.

Bagaimanapun, takdir tuhan mengatasi segala kecanggihan teknologi sains dan perubatan. Walaupun Dila melakukan segalanya untuk memastikan dia tidak akan hamil, Dila tetap disahkan hamil. Mendengar khabar itu, Normanlah orang yang paling gembira. Dila menerima takdirnya dalam terpaksa, kerana kandungannya sudah pun berusia 4 bulan.

Berita gembira ini akhirnya diketahui oleh pihak media dan rakan~rakan. Mereka sangat berharap dan menjangka anak yang bakal dilahirkan pasti secantik Dila atau sekacak Norman. Begitu juga dengan Dila dan Norman, mereka amat berharap kandungan yang bakal melihat dunia ini nanti akan sihat dan sempurna. Terutama sekali Dila, harapannya terlalu tinggi, dia mahukan anaknya nanti cantik dan sempurna. Malangnya, apabila dilahirkan, anak itu cacat dan hodoh fizikalnya. Balasan kepada tabiat buruk dan kurang sihat Dila, sebelum dan semasa mengandung dimana dia  merokok, meminum minuman keras, mengamal suntikan kecantikan. Keadaan anaknya dirahsiakan dari umum.

Tempat tinggal Dila dan Norman yang agak jauh dari orang ramai, memudahkan Dila menyembunyikan anaknya. Anak yang diberi nama Afiq disembunyikan dari dunia luar dan kehadirannya hanya diketahui oleh Dila dan Norman.

Afiq membesar dengan layanan dingin Dila, dan tidak pernah mendapat kasih sayang dari ibu kandungnya sendiri. Afiq hanya dilayan baik oleh Norman yang jarang berada dirumah, kerana bekerja di pelantar minyak. Dila dan Norman mengupah Murni menjadi pengasuh, penjaga dan merangkap guru khas untuk Afiq. Murni merupakan seorang yang penyayang dan menerima serta menjaga Afiq dengan penuh ikhlas.

Sewaktu Afiq berusia 6 tahun, suatu insiden telah berlaku. Sejak dari kecil lagi Afiq dilarang membuka pintu, apatah lagi keluar dari rumah. Suatu hari, ada seseorang datang ke rumah mengetuk pintu, tetapi Dila berada di dalam bilik air. Afiq yang terganggu dengan bunyi ketukan pintu itu akhirnya memberanikan diri membuka pintu. Ai Ling yang merupakan rakan karib Dila terkejut melihat makhluk dihadapannya. Jeritan Ai Ling membuatkan Dila faham, dia bergegas ke pintu dan mendapati Afiq bersama Ai Ling. Dila sangat marah dan menyelindung perasaannya daripada Ai Ling. Dila meminta Ai Ling menyimpan rahsia ini. Ai Ling berasa pelik dan menasihati Dila.

Semenjak dari hari itu, kebencian Dila terhadap Afiq semakin memuncak. Pada Dila, Afiq telah lakukan dosa paling besar kerana memalukan Dila dengan rupanya yang hodoh. Dila semakin bengis melayan Afiq sewaktu ketiadaan Norman. Namun begitu, sewaktu Norman berada di rumah, Dila hanya melayan Afiq acuh tak acuh sahaja. Berlainan pula dengan Norman, dia masih menyayangi Afiq dan melayannya dengan baik, cuma mereka jarang dapat bertemu kerana Norman bekerja di pelantar minyak.

Pihak media selalu menanti dan tidak henti-henti mengorek rahsia bagaimanakah rupa anak Dila dan Norman. Kehidupan Dila di luar bersama rakan-rakan kelihatan seperti biasa. Dila bijak dan pandai menyembunyikan rahsianya. Apabila ada yang bertanya mengenai anaknya, pantas dia menjawab, Afiq tinggal bersama ibu mertuanya di luar negara. Sifat dan perangai Dila di luar rumah berbanding berada di dalam rumah sangat berbeza.Dila bagaikan dua orang yang berlainan, semua ini disebabkan tekanan yang dicipta sendiri oleh Dila. Dila sering menyalahkan takdir dan tidak pernah redha dengan ketentuan-Nya.

Lalu bagaimanakah kesudahan hidup Dilla kemudiannya? Apakah balasan yang bakal diterimanya kerana menentang takdir yang telah tersurat untuknya? Untuk mengetahui kesudahannya usah ketinggalan menyaksikan drama terbitan Bright Network Sdn Bhd ini pada 2 Januari 2010 (Sabtu), jam 10.00 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konflik Remaja Dalam Drama Januari di RTM

Sekali Sekala Band Indie Popular Bercuti