Drama Persilatan Kembali Disiarkan RTM Mengisi Slot Cindai DI TV1
RTM bakal mengubat rindu peminat setia drama bercorak persilatan menerusi sebuah drama rantaian terbaharu bertajuk Camar Putih yang disiarkan mulai 9 Mei depan. Menampilkan pelakon Juhara Ayob, Zack Kool, Hairie Othman, Z.Zamrie, Shukri Awang, Othman Zaharuddin, Myza Aryqa, Lan Siro, Asmira, Alias Ismail dan Maimon Mutalib, drama 13 episod arahan Nurhalim Ismail ini mengisi slot Cindai setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.05 petang di TV1.
Camar Putih mengajak penonton berkongsi aksi di gelanggang kumpulan persilatan, Camar Putih di sebuah kampung di Terengganu. Watak utamanya Pak Da lakonan Zack Kool bergandingan dengan Bibah (Juhara Ayob) mengajar ilmu persilatan kepada anak-anak buahnya ‘bunga’ silat yang sangat kemas dan tangkas pergerakannya.
Satu hari Pak Da bertarung dengan Wangkulan yang suka menindas nelayan di kampung mereka. Pak Da berjaya menewaskan Wangkulan menyebabkan tanah milik Wangkulan terpaksa diserahkan kepada Pak Da sebagai memenuhi tawaran Wangkulan sendiri.
Bibah seringkali lewat sampai ke tempat latihan menyebabkan Pak Da menyedari Bibah terlibat dengan kumpulan Rodat. Dia menasihati Bibah agar meninggalkan Rodat yang kemudiannya membuatkan Bibah berada dalam dilema.
Sobri, ahli kumpulan Rodat mengajak Bibah menyertainya membuat persembahan ke seluruh Terengganu. Lama berfikir akhirnya dia bersetuju. Namun sebenarnya Pratchai, ketua kumpulan Rodat yang menyuruh Sobri memujuk Bibah menyertai mereka. Pratchai mempunyai niat yang tidak baik terhadap Bibah. Sobri cuba menyelamatkan Bibah dan tanpa diduga kemudiannya mereka kahwin lari di negara jiran dan terus berhijrah ke sana. Begitu pun setelah beberapa bulan berkahwin, Bibah meninggalkan Sobri dan kembali ke Terengganu dalam keadaan dirinya yang sedang sarat mengandung.
15 tahun berlalu, Bibah berhasrat membawa anaknya, Alia bertemu Pak Da untuk mempelajari ilmu silat. Alia tidak berminat kerana baginya silat sudah tidak relevan pada kehidupan hari ini. Puas Bibah cuba meyakinkan Alia silat dapat membantunya mempertahankan diri namun Alia tetap dengan pendiriannya.
Begitu pun kejadian pembunuhan yang berlaku terhadap Bibah mengubah pendirian Alia. Dia bersama teman baiknya, Isma nekad memujuk Pak Da untuk mempelajari seni silat. Dia mahu membalas dendam terhadap pembunuh ibunya.
Pada mulanya Pak Da berkeras enggan mengajar Alia tetapi bila terbongkar rahsia Alia anak kepada Bibah dan atas dasar apa Alia mahu belajar, Pak Da mula lembut hati mahu menjadikan Alia anak muridnya dan mengajar Alia mengatur gerak dan langkah teknik-teknik ilmu persilatan Camar Putih seperti yang diperturunkan kepada Bibah dulu.
Sementara itu Sobri cuba menjejak Alia. Namun mampukah dia menyembunyikan kenyataan yang kematian isterinya Bibah memang ada kaitan dengannya? Dapatkah Alia menuntut bela atas kematian ibunya? Bagaimana pula bila gerak silat Pak Da bertarung dengan permainan Mua Thai oleh Pratchai atas dasar dendam lama?
Kongsikan babak-babak seni persilatan yang penuh mencabar ini hanya di TV1.