Tidak kira dalam apa-apa hubungan sekali pun, manusia pasti tidak dapat lari dari perasaan kasih atau pun benci. Bulan ini, kami bawa kepada anda dua drama menarik sarat dengan pengajaran yang melibatkan unsur kasih sayang, ikatan kekeluargaan dan perasaan benci hasil dari kisah lampau. Jurang perbezaan dalam status sosial seperti kaya dan miskin turut ditekankan dalam drama baru ini.
Slot Lestary TV3 kembali dengan drama bersiri terbaharu iaitu ‘BUDAK TEBING’ yang akan bersiaran beberapa hari sahaja lagi. Drama terbitan Country & Universal Sdn Bhd, arahan Feroz Kader ini menekankan nilai-nilai persahabatan, persaudaraan, kekeluargaan dan percintaan dalam kehidupan seharian ‘budak tebing’.
Antara Kasih Dan Benci
Drama ‘Budak Tebing’, mengisahkan tentang Arif yang baru pulang dari menjalani hukuman di Henry Gurney atas kesilapan lampaunya. Dia merupakan anak yang bijak dan menjadi kesayangan ibunya Aida, manakala adiknya Yoyol, menganggap Arif sebagai idola. Semasa kecil, dia dan rakan-rakannya banyak menghabiskan masa di sebuah tebing di kampung mereka sehingga mendapat gelaran ‘budak tebing’.
Namun semuanya hanya tinggal kenangan disebabkan peristiwa hitam yang telah berlaku di tebing itu. Kini, Aida membenci Arif yang dianggap telah menconteng arang di mukanya. Arif mencuba sedaya upaya untuk menebus balik kesilapan lalu tetapi usaha Arif sia-sia. ‘Budak Tebing’ turut menggambarkan kehidupan perit yang terpaksa dilalui oleh Munira (Ira) yang dilahirkan tanpa mengetahui identiti bapa sendiri kerana ibunya bekerja sebagai pelacur.
Ira yang baru mengenali ahli di dalam geng ‘budak tebing’ mula merasakan kehidupan yang lebih baik bersama rakan-rakan dan keluarga angkat yang ikhlas menerimanya.
Tanpa geng ‘budak tebing’ ketahui, Ira sebenarnya menyimpan rahsia besar melibatkan Arif, Tongki dan Yoyol. Dapatkah mereka menerima kenyataan perit yang terbuku selama ini? Atau adakah hubungan ‘budak tebing’ akan retak kerana kesilapan lampau? Saksikan drama ini untuk mendalami lagi kisah ‘budak tebing’ ini !
Watak utama drama ini dilakonkan oleh Adam Lee sebagai Arif dan Eyka Farhana sebagai Munira. Drama ini turut diserikan dengan lakonan artis-artis berbakat seperti Aedy Ashraf, Bella Dowanna, Fariz Isqandar, Firdaus Ghufran, Syazwan Zulkifly, Amyza Aznan, Alex Afian, Sabrina Ali, dan juga Zarina Zainuddin . Nantikan drama ini bermula dari 11 Mac, setiap Rabu hingga Jumaat pada jam 9.00 malam.
Drama ini pasti memberikan impak dan pengajaran dalam kehidupan seharian kita semua. Selain menonton di TV3, anda juga boleh strim di laman sesawang www.tonton.com.my . Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat !