in , , ,

Drama ‘Bidaah’ Raih Populariti Luar Biasa Tewaskan Drama Korea di Viu

Kejayaan Hebat Bidaah di Viu Malaysia & Indonesia Dengan Lebih 134 Juta Tontonan dan Trending Hingga Ke Negara Jiran!

Drama bersiri terbaru berjudul Bidaah telah mencipta fenomena luar biasa apabila berjaya menduduki tangga nombor satu carta drama popular di platform penstriman terkenal, Viu Malaysia dan Indonesia. Bukan calang-calang drama, siri ini telah berjaya mengalahkan drama Korea popular seperti Undercover High School, The Witch, dan Study Group yang sebelum ini menjadi kegemaran ramai penonton.

Bidaah Kalahkan Populariti Drama Korea!

Drama hebat terbitan Eirma Fatima ini mula disiarkan sejak 6 Mac 2025, dan telah mencatatkan pencapaian luar biasa dengan lebih daripada 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial Viu Malaysia sahaja. Pencapaian ini jelas membuktikan sambutan hangat penonton terhadap jalan cerita yang realistik dan mendebarkan dalam siri ini.

Dibintangi pelakon popular tanah air seperti Fattah Amin, Faizal Hussein dan Riena Diana, Bidaah telah berjaya menarik perhatian penonton bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Ramai penonton dari negara jiran menyatakan drama ini amat relevan dengan kehidupan mereka. Malah, menurut data Google Trends, drama ini juga menjadi antara carian popular di negara-negara lain seperti Thailand, Singapura, dan Brunei.

Drama Bidaah Raih Populariti Luar Biasa Tewaskan Drama Korea

Kisah Menarik Sarat Dengan Realiti Kehidupan

Drama ini membawa kisah seorang wanita muda bernama Baiduri, lakonan hebat oleh Riena Diana, yang terpaksa akur dengan kehendak ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai sebuah kumpulan agama yang dikenali sebagai Jihad Ummah. Kumpulan ini dipimpin oleh tokoh agama penuh karisma namun penuh kontroversi, Walid Muhammad yang dilakonkan oleh pelakon berpengalaman Faizal Hussein.

Namun, tidak lama selepas menyertai kumpulan tersebut, Baiduri mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan ajaran kumpulan ini. Dari isu perkahwinan paksa hingga kepatuhan membuta tuli, drama ini dengan berani mengetengahkan isu-isu sensitif yang berlaku dalam masyarakat.

Kembalinya Hambali Bongkar Kebenaran

Kemunculan Hambali, dilakonkan dengan berkesan oleh Fattah Amin, iaitu anak kepada orang kanan Walid, Abi Saifullah (Hasnul Rahmat), menjadi titik perubahan besar dalam kehidupan Baiduri. Hambali yang baru pulang dari Yaman juga mula curiga dan tidak bersetuju dengan ajaran sesat Jihad Ummah yang semakin menyeleweng.

Bersama-sama Hambali, Baiduri nekad untuk melindungi ibunya dan membongkar rahsia hitam di sebalik kumpulan tersebut walaupun sedar nyawa mereka sendiri dalam bahaya. Setiap episod drama ini penuh dengan ketegangan, misteri, dan aksi yang berjaya menarik perhatian penonton dari mula hingga akhir.

Tayangan Terkini dan Cara Menonton Bidaah

Drama Bidaah kini sudah mempunyai 9 episod yang boleh ditonton secara strim di platform Viu. Siri ini masih berbaki 6 episod dengan episod baharu akan disiarkan setiap Khamis, Jumaat, dan Sabtu. Penonton boleh menyaksikan drama hebat ini melalui aplikasi Viu yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei, TV pintar terpilih dan menerusi laman web rasmi Viu di www.viu.com.

Ikuti Perkembangan Drama Bidaah di Media Sosial

Untuk maklumat lanjut tentang drama Bidaah serta berita terkini, peminat boleh ikuti Viu Malaysia di media sosial rasmi mereka seperti Facebook, Instagram, YouTube, Twitter, dan TikTok. Jangan lepaskan peluang mengikuti siri drama penuh kontroversi dan sarat mesej ini!

Apa Kata Budiey?

Bagi Budiey, kejayaan drama Bidaah ini bukan sahaja membuktikan kualiti produksi tempatan yang semakin hebat tetapi juga menunjukkan penonton kini lebih terbuka dalam menerima isu-isu berat yang realistik dalam drama tempatan. Budiey berharap lebih banyak lagi karya berani seperti ini dapat dihasilkan pada masa hadapan supaya industri drama tempatan dapat terus berkembang ke peringkat antarabangsa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ulasan Samsung Galaxy A36 5G: Peranti AI Midrange Dengan Ciri Premium