Perjuangan seorang wanita dalam dunia perniagaan dan juga membina keluarga selepas kematian suami melatari drama terbaharu 26 episod disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Selekta Prima On 2 pada setiap Rabu, jam 9.00 malam.
Bertajuk Biar Rindu Berlalu, drama yang telah pun menemui penonton TV2 sejak awal penghujung Mei lalu ini mengangkat Nanu Baharudin sebagai watak utama memegang watak wanita pertengahan usia yang berdepan cabaran perniagaan dan pergolakan keluarga. Watak wanita muda lakonan Nabila Huda pula kisah si anak yang diracuni fikirannya supaya tidak merestui perkahwinan ibunya dengan lelaki lain setelah kematian ayahnya. Pada masa sama dirinya sentiasa bermusuh dengan pemuda yang bakal menjadi abang tirinya.
Dengan dibantu oleh Mahmud Ali Basha, Wan Elyas Wan Abdullah, Jasmin Hamid, Erin Malek, Maimon Talib dan Linda Hashim ini turut diselitkan dengan babak-babak percintaan yang terhalang dek campur tangan keluarga dan orang ketiga selain konspirasi mahu menjatuhkan antara satu sama lain.
Plot kisahnya bermula dengan watak Samirah mengambil alih perniagaan selepas kematian suaminya Taufik, dalam kemalangan udara sejak lima belas tahun yang lalu. Samirah berjaya mengembangkan perniagaan sehingga menjadi salah sebuah syarikat pembinaan yang disegani. Samirah terpaksa berdepan dengan ujian apabila pekerja lama di syarikatnya, Helmi mengkhianatinya. Helmi kecewa dan marah kerana Samirah tidak membalas cintanya. Kemarahan Helmi memuncak apabila Samirah bercinta dengan Khalil, kawan lama arwah Taufik suaminya. Samirah dengan Khalil merancang untuk berkahwin.
Rancangan itu ditentang anak Samirah, Nasrul yang menganggap Khalil hanya mahu merampas harta keluarganya. Samirah pula dalam meniti usia senja masih perlukan cinta dan kasih sayang seorang lelaki yang dapat memberi perlindungan untuknya. Helmi turut mengapi-apikan penentangan Nasrul.
Melalui Fatiha, Nasrul memberi amaran kepada Khalil supaya tidak menghampiri ibunya. Fatiha, yang pada mulanya menerima Samirah, tiba-tiba sahaja membenci dan tidak menyetujui perkahwinan bapanya dengan Samirah. Fatiha dengan Nasrul selalu berjumpa dan bergaduh kerana percintaan kedua ibubapa mereka. Hinaan Nasrul terhadap Khalil, membuatkan Fatiha membenci dan memusuhi Nasrul dan Samirah sekali. Sebolehnya, Nasrul mahu perkahwinan itu dihalang.
Bagaimanapun Fatiha mahu menyakitkan hati Nasrul dengan memujuk Samirah dan Khalil berkahwin. Perkahwinan kedua-duanya merupakan kekalahan bagi Nasrul
Bekas mentua Khalil, Tok Wan pula membawa dua anak Khalil Iwan dengan Dina ke kampung, sebagai protes terhadap rancangan Khalil. Khalil berusaha mengambil semula anak-anaknya tetapi Tok Wan sentiasa melarikan anak-anak Khalil ke tempat-tempat lain.
Samirah berasa kecewa dengan apa yang berlaku dan pernah mencadangkan supaya perkahwinan dibatalkan. Khalil bertegas dengan keputusan mereka. Samirah dengan Nasrul selalu berselisih pendapat. Nasrul akhirnya meninggalkan rumah ibunya Samirah.
Nasrul tidak suka Samirah memberi kontrak membekal kepada Khalil. Khalil menolak tawaran Samirah walaupun mereka sudah lama bekerjasama. Nasrul juga tidak mahu Khalil terlibat dalam perniagaan mereka.
Samirah sedih kerana keluarganya seakan berpecah dan anak Khalil dengan anaknya pula bermusuhan. Khalil dengan Samirah nekad untuk menyatukan keluarga dan anak-anak mereka. Dalam masa yang sama Samirah berdepan masalah perniagaan gara-gara perbuatan Helmi. Pendapatan syarikat mulai merosot kerana banyak projek tertangguh kerana masalah kerja dan pembinaan. Dana yang dipohon Samirah, tiba-tiba sahaja dibatalkan kerana Helmi bertindak menulis surat membatalkan penerimaan dana berkenaan tanpa pengetahuan Samirah. Samirah menyiasat dan membuat laporan polis sehingga Helmi diberkas.