Konflik Hidup Pasangan Kembar Dalam Drama Bersiri Biar Rahsia Mulai 26 April Ini Di TV1
Hidup sebagai pasangan kembar seringkali dikaitkan dengan persamaan dan keserasian tidak kira di mana berada mahupun apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Namun hakikatnya tidak kurang juga ada pasangan dilahirkan kembar yang seringkali tidak sehaluan. Mereka masing-masing saling berlumba untuk mendapatkan perhatian daripada keluarga mahupun pihak lain yang terdekat.
Bertitik-tolak daripada situasi tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawakan drama yang dilatari plot konflik pasangan kembar menerusi drama bersiri mengisi slot Mahligai bertajuk Biar Rahsia setiap Isnin dan Selasa mulai 26 April ini, jam 9.00 malam di TV1.
Sepanjang 26 episod siarannya, drama dibintangi oleh Rusdi Ramli, Ijoy Azari, Siti Fazurina, Irma Hasmie, Fadzilah Mansor, Rosnah Johari dan Qazim Nor ini membawa penonton menghayati kisah Danina dan Dahlia merupakan sepasang kembar seiras hasil daripada perkahwinan Kamaralzaman dengan Noor Kasih.
Walaupun mereka kembar namun kelakuan dan tingkah laku antara mereka amat berbeza. Ini kerana Danina yang amat berbudi bahasa dan taat pada perintah ibubapanya manakala Dahlia adalah seorang yang degil dan sering memberontak. Ini membuatkan ayah mereka lebih banyak menumpukan kasih sayang pada Danina berbanding Dahlia. Keadaan ini berlarutan sehingga mereka ke alam dewasa dan sehingga ibubapa mereka meninggal dunia.
Di zaman persekolahan, Haiqal yang amat diminati oleh Dahlia lebih terpikat akan keayuan dan kesopanan yang ditonjolkan oleh Danina. Ini membuatkan Dahlia mengambil keputusan untuk bersama Edie seorang “mat motor” yang sering melepak bersama kawan kawannya di hadapan sekolah Dahlia.
Masa berlalu dengan pantas, akhirnya Dahlia mengahwini Edie dan Danina mengahwini Haiqal. Walaupun hidup dalam kemewahan, namun nasib tidak selalu menyebelahi Danina. Ini kerana dia tidak dikurniakan sebarang cahayamata. Namun sebaliknya bagi Dahlia. Walaupun hidup dalam kemiskinan bersama Edie, dia melahirkan Ariana, seorang kanak-kanak yang comel dan amat disayangi oleh Dahlia mahupun Danina.
Edie masih suka melepak bersama rakan rakannya dan berjudi seakan-akan menjadi darah dagingnya kini. Akhirnya akibat tidak dapat membayar hutangnya yang banyak dan untuk mengelakkan dirinya dipukul, Edie menyarankan untuk menggunakan Dahlia untuk melangsaikan hutangnya itu. Dan Edie menerima musibah apabila mengalami kemalangan jalan raya apabila menaiki motorsikal sebaik sahaja dia beredar dari rumahnya itu.
Tuhan masih sayangkan Dahlia, dia dapat menyelamatkan diri dari diperkosa oleh pemiutang-pemiutang dan lari ke rumah Danina. Setibanya di rumah Danina dan menceritakan segala galanya, Danina yang marah terus mengambil keputusan untuk melaporkankan perkara ini ke pihak Polis selepas pergi mengambil Ariana dari rumah jiran Dahlia itu.
Namun oleh kerana Dahlia yang masih trauma, tidak mahu mengikut kakaknya itu. Sebelum pergi Danina meminta Dahlia bersumpah kepadanya, walau apapun yang berlaku jangan sekali-kali kembali kepangkuan Edie yang tidak bertanggung jawab itu. Dahlia bersumpah untuk tidak kembali kepada suaminya dan akan terus tinggal di rumah Danina.
Namun malang tidak berbau, Danina telah meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya sebelum dia sempat menjemput Ariana atau melaporkan kes ini kepihak Polis.
Namun akibat daripada tertukar dompet yang mengandungi kad pengenalan Dahlia semasa dalam kekecohan di rumahnya itu telah membuatkan pihak polis dan semua orang beranggapan bahawa yang meninggal itu adalah Dahlia dan bukannya Danina. Dahlia menerima berita sedih itu dan seakan akan telah hilang ingatan. Namun mengingati kembali sumpah yang telah dilafaskan olehnya kepada arwah Kakaknya membuatkan dia terus mengabdikan diri sebagai Danina dan bukannya Dahlia lagi.
Masalah yang besar bakal dihadapi oleh Dahlia kini adalah untuk hidup bersama suami kakaknya Haiqal. Bagaimanakah cara Dahlia berdepan dengan situasi tersebut? Apa pula tindakan Edie bila mengetahui kebenaran itu?