Cinta Komedi Nabila Huda Dan Johan Ashari Dalam 13 Episod Drama Bersiri : “Udin Glamor Balik Kampung” Di TV2
Kisah hubungan cinta pasangan pelakon Johan Ashari dan Nabila Huda bukanlah asing lagi dalam industri hiburan tanah air. Terbaru mereka bakal muncul bergandingan bersama dalam sebuah drama bersiri komedi terbaru disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Udin Glamor Balik Kampung” mulai 6 Mac 2013, setiap Rabu, jam 9.00 malam menerusi saluran TV2.
Masing-masing Johan cuba menonjolkan sisi berbeza dalam lakonan yang selama ini terkenal dengan watak serius sebaliknya dalam drama bersiri 13 episod ini menghidupkan watak utama Udin Glamor yang kelakar manakala Nabila Huda pula menjadi watak gadis berpewatakan seperti lelaki, Zack namun dalam diam menyimpan rasa cinta terhadap teman baiknya, Udin Glamor.
Turut dibintangi oleh pelakon Memey Suhaiza, Khatijah Tan dan Qazem Nor ini menggambarkan perjalanan watak Udin Glamor, artis terkenal yang sudah empat tahun membina kerjaya di bandar merasakan dirinya perlu pulang ke kampung. Segalanya dilakukan kerana dia mahu membuktikan dirinya sudah berjaya sekaligus memulangkan paku buah keras kepada Mak Timah Kayo, ibu kepada gadis bernama Jenab G yang pernah menolak lamarannya beberapa tahun lalu.
Sementara itu teman baiknya, gadis berpewatakan kasar, Zakiah yang lebih dikenali sebagai Zack begitu teruja menantikan kepulangan sahabat baiknya itu. Namun segalanya hanya di simpan dalam hati.
Kepulangan Udin Glamor ke kampung membuka mata Mak Timah Kayo untuk bermenantukan artis popular itu. Begitu juga Jenab G yang mula berangan-angan menjadi isteri Udin Glamor. Bermacam cara di lakukan anak beranak itu untuk menarik perhatian Udin Glamor.
Namun pada masa sama Udin Glamor mulai rapat dengan Zack dan ini turut menimbulkan rasa cemburu dan tidak puas hati Samad, teman sekampung Udin Glamor yang begitu meminati Jenab G. Dia marah kerana kerana kedua-dua gadis itu mencuba pelbagai cara mendekati Udin Glamor.
Demi mencapai hasratnya bermenantukan Udin Glamor, Mak Timah Kayo menggunakan taktik kotor memerangkap Samad untuk dikahwinkan dengan Zack. Dia turut mengugut Mak Jah, ibu Zack supaya bersetuju dan memberi cagaran bahawa harga sewa rumah yang disewakan kepada keluarga itu akan dikurangkan sekiranya Zack bersetuju dikahwinkan dengan Samad.
Ketika itu juga berlaku konflik antara Zack dan Udin Glamor di mana Udin Glamor menyangka Zack sebenarnya memang menjalinkan hubungan cinta dengan Samad. Sebaliknya Zack pula beranggapan Udin Glamor masih menyayangi Jenab G.
Zack kemudiannya mahu menyerang Mak Timah Kayo kerana padai-pandai mahu mengaturkan perkahwinannya dengan Samad. Tetapi hasratnya terbantut bila tanpa sengaja dia terdengar rahsia Mak Timah Kayo yang mahu mengahwinkan anaknya Jenab G dengan Udin Glamor semata-mata mahu menumpang populariti lelaki itu. Namun segalanya di simpan dalam hati kerana tidak mahu disalah erti oleh Udin Glamor yang pasti menyangkakan dirinya sengaja mengada-adakan cerita memburukkan keluarga itu.
Samad mengajak Zack menyertainya mengaturkan misi membalas dendam terhadap Mak Timah Kayo. Mereka merancang supaya Zack yang berpewatakan lelaki menyamar sebagai lelaki kaya untuk ‘menjerat’ Jenab G yang gilakan harta.
Lalu berlakulah peristiwa yang mencuti hati bila misi tersebut mula dijalankan. Bagaimanakah kesudahan kisah cinta antara Zack dan Udin Glamor? Saksikan kesudahan drama bersiri terbitan NHF Production Sdn Bhd ini hanya di TV2.