Telekom Malaysia Berhad (TM) menerusi perkhidmatan IPTVnya yang pernah memenangi anugerah, HyppTV dan A. Aida Production Sdn Bhd hari ini secara rasminya melancarkan ‘Si Montel’, drama bersiri Berbahasa Melayu terbaharu, disiarkan pertama kali dan secara eksklusifnya di HyppSensasi, Saluran 116 HyppTV.
Diarahkan oleh Nuad Hj. Othman, drama bersiri komedi romantik ini dibintangi oleh Nor Syuhada yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Dottie’ memainkan watak sebagai utama, ‘Tipah Montel’ dan Azrel Ismail sebagai ‘Asri’. Biarpun berbeza saiz tubuh badan, kedua-dua pelakon utama ini menyahut cabaran untuk menjadi pasangan pelakon utama terbaik di Malaysia! Drama ini turut dibintangi oleh Adibah Yunus, Ruhainies, Ezzaty Abdullah, Janna Nick, Syawal dan Keena Mentor.
Drama bersiri terbaharu ‘Si Montel’, telah dilancarkan dengan rasminya oleh Emily Wee, Naib Presiden, Perniagaan dan Operasi Media, New Media, TM, bersama A. Aida, Pengarah Urusan, A. Aida Production Sdn Bhd pada satu sidang akhbar yang diadakan di Menara Kuala Lumpur (MKL).
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh para pelakonnya dan selebriti tempatan seperti Sabhi Sadhi, Reyhana, Mila Jirin, Lulu dan ramai lagi.
Bercakap pada majlis pelancaran tersebut, Emily berkata, “Kami amat berbesar hati untuk membawakan satu lagi drama bersiri tempatan untuk para penonton kami dan kali ini, sebuah drama bergenre romantik komedi berbahasa Malaysia yang unik, ‘Si Montel’ di HyppTV. Pelancaran ini membuktikan komitmen berterusan kami dalam menawarkan pelbagai pilihan kandungan hiburan secara eksklusif di HyppSensasi, saluran hiburan Berbahasa Malaysia pertama milik HyppTV. Dengan peningkatan bilangan pelanggan HyppTV terutamanya penonton saluran HyppSensasi, ‘Si Montel’ menawarkan drama-drama hiburan yang penuh dengan mesej-mesej positif yang boleh dinikmati bersama seisi keluarga.”
“HyppSensasi boleh dinikmati secara ala-carte pada harga RM6 sebulan atau dengan HyppTV Aneka Pack, yang menayangkan pelbagai kandungan tempatan dan hiburan Asia yang terbaik, pertama kali dan secara eksklusif pada harga RM31.80 sebulan serta tanpa yuran HD tambahan. Tidak lama lagi, pelanggan HyppTV turut berpeluang untuk menyertai peraduan hebat dan merebut peluang memenangi hadiah percutian ke luar negara sekiranya mereka melanggan mana-mana HyppTV Value Pack, atau melanggan kandungan Video On Demand (VOD) kami,” tambah beliau.
Sementara itu, A. Aida berkata, “Kami amat bersyukur dan berbangga dengan peluang yang diberikan oleh HyppTV dan akan berusaha sebaik mungkin untuk menerbitkan drama-drama bersiri terbaik buat penonton-penonton HyppSensasi. Apa yang menjadikan drama ‘Si Montel’ ini unik adalah kami ingin mengetengahkan pelakon berbadan besar yang berbakat dengan memberikan peluang kepada beliau untuk memegang watak utama yang jarang sekali diterima oleh golongan ini. Terdapat banyak mesej positif yang ingin kami kongsikan bersama para penonton menerusi drama bersiri ini, termasuklah, kita tidak seharusnya memandang rendah kepada golongan berbadan besar kerana mereka juga mempunyai daya tarikan yang tersendiri.”
Tambah beliau, “Dalam drama bersiri ini, kami turut menampilkan seorang jejaka yang menjadi kegilaan gadis-gadis kampung dan kemudiannya telah jatuh cinta dengan ‘Si Montel’, yang mempunyai personaliti periang, kelakar, mengambil berat dan sangat merendah diri. Apa yang lebih penting, kami ingin ketengahkan sikap positif ‘Si Montel’ seperti menghormati orang yang lebih berusia dan mengambil berat kebajikan mereka terutamanya semasa mereka jatuh sakit. Beliau sanggup menjaga mereka apabila tiada siapa yang mahu memikul tanggungjawab tersebut. Kami yakin drama ini dapat memikat hati penonton HyppSensasi dengan keunikan jalan cerita yang menarik dan mesej-mesej positif yang akan ditonjolkan kepada penonton. Selain itu, drama ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon popular dan berbakat besar serta pelakon-pelakon yang semakin meningkat naik. Kami berharap ‘Si Montel’ akan menjadi ikon dan memberi inspirasi kepada golongan yang berbadan besar untuk mengetepikan rasa rendah diri dan meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk menjadi lebih berjaya dalam kehidupan.”
Si Montel mengisahkan Tipah Montel, yang dilakonkan oleh Dottie, seorang yang berbadan besar dan berhati mulia serta penyayang yang tinggal di sebuah kampung. Ketika gadis-gadis lain di kampungnya sibuk mencuba untuk menarik perhatian Aris, yang dilakonkan oleh Azrel Ismail, Tipah merasakan peluangnya adalah tipis kerana saiz badannya yang besar. Dapatkah Tipah memenangi hati Aris dengan kejujuran dan kebaikannya? Drama 13 episod ini akan mula ditayangkan pada 11 September 2015, setiap Jumaat pada jam 9.00 malam. Drama ini menggabungkan pelakon-pelakon baru dan pelakon popular seperti Amyza Adnan dan Kartina Aziz. Penyanyi tempatan, Lulu turut menyanyikan lagu tema yang bertajuk ‘Si Montel’, lagu dan lirik ciptaan A. Aida.
Drama bersiri ‘Si Montel’ boleh ditonton buat pertama kali dan secara eksklusifnya di HyppSensasi, Saluran 116 HyppTV dengan fungsi-fungsi “time shift” dan “catch-up” atau menerusi aplikasi mudah alih HyppTV Everywhere yang boleh dimuat turun dari Google Play Store, Apple App Store bagi pengguna peranti pintar dan versi WebTV bagi pengguna PC. HyppTV Everywhere turut menawarkan pendaftaran dalam aplikasi (on app registration) untuk orang ramai, dengan tontonan secara percuma selama 7 hari.
Untuk maklumat lanjut mengenai HyppTV, layari www.tm.com.my/hypptv dan layari laman media sosial kami di www.facebook.com/hyppworld (Facebook), www.twitter.com/hypptv (Twitter), www.instagram.com/hyppworld (Instagram) dan www.youtube.com/tmofficialtube (Youtube).