“Nyiur Nan Sebatang” … Antara drama taruhan terbaharu Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang dijangka menarik perhatian penonton pada permulaan tahun 2015 ini.
Bercorak kekeluargaan, 13 episod drama bersiri mengisi slot Galeri Famili ini berlatarkan kisah rencah kehidupan, suka dan duka sebuah keluarga yang mengalami berbagai situasi kehidupan masyarakat di Negeri Sembilan. Adat budaya tradisi masih cuba dikekalkan dalam kehidupan seharian mereka.
Konflik Kekeluargaan Dalam Drama Bersiri “Nyiur Nan Setandan” Di TV2
Disiarkan mulai 26 Januari ini, setiap Isnin – Khamis, Pukul 1.00 petang di TV2, “Nyiur Nan Sebatang” membariskan pelakon berpengalaman di samping muka-muka baru seperti Dato Hj Baharuddin Hj Omar sebagai Haji Deris, Hajah Norjan Hj Omar (Hjh Sutinah), Ezany Nizariff (Udin), Zul Handy Black (Aripin), dan Shahronizam Noor (Lani). Turut membantu Rabecca Nur Islam (Ita), Ann Abdullah (Kalsom Bee), Ana Dahlia (Ima), Dato’ Aziz Singah (Amar), Liza Zain (Hanim), A. Galak (Dukun Meon), Qazem Nor (Imam Muda) dan Ku Faridah (Bu Bunah).
Kisahnya bermula dengan watak Haji Deris dan Hajah Sutinah yang tinggal di kampung bersama anak bongsu mereka Udin, mengalami episod kehidupan masing-masing dan cuba menghadapinya sebaik mungkin.
Haji Deris yang bersikap keras hati tetapi seorang penyayang menghadapi masalah kesihatan mata yang semakin hari semakin membimbangkan. Walau berkali dipujuk isterinya namun Haji Deris tetap tidak mahu mendapatkan rawatan sehinggalah malang menimpanya di mana dia tersesat di dalam hutan ketika berkebun dan gagal cari jalan pulang kerana matanya yang semakin kabur. Semenjak itu Haji Deris mula sedar sikapnya telah menyusahkan dirinya sendiri dan keluarganya. Haji Deris akhirnya memutuskan untuk mendapatkan rawatan.
Anak pertama mereka iaitu Aripin dan menantu mereka, Kalsom Bee yang berasal dari Utara sering bertegang urat tentang permasalahan keluarga walau sekadar mahu mendapatkan pembantu rumah. Namun sikap Aripin yang bersahaja banyak menyelamatkan keadaan berbanding Kalsom Bee yang panas baran.
Anak kedua mereka pula iaitu Ita yang berumah tangga dengan Lani yang berasal dari Johor dan ada berdarah Jawa juga menghadapi asam garam rumahtangga kerana Ita dan Lani yang amat teringinkan anak namun Ita sering mengalami keguguran. Walau pun mereka berdua mengusahakan sebuah syarikat herba kesihatan khusus untuk wanita yang beroperasi di Kuala Lumpur tetapi itu tidak dapat membantu Ita.
Anak bongsu mereka iaitu Udin pula terpaksa menghadapi kerenah tunangnya, Ima yang suka hidup bergaya mewah walau pekerjaan mereka hanya sebagai kerani biasa. Kehadiran Alia, adik angkat kepada Udin menjadikan hubungan mereka terus bermasalah.
Selain rencah dan kehidupan itu mereka juga perlu mengharungi apa juga yang mendatang seharian melibatkan suasana sekitar mereka. Walau sehebat mana cabarannya, di penghujung nanti adakah mereka akan terus bersatu sebagai sebuah keluarga yang unik dan bahagia?