APABILA GADIS UPAHAN TERPIKAT MAJIKAN SENDIRI
[dropcap]B[/dropcap]enci jadi cinta! Itulah yang dikhuatiri si Jasmine, gadis ceria dan licik yang pada mulanya hanya bersetuju untuk menyamar sebagai sepupu Julian, pemuda kacak dan berkarisma yang telah mengupahnya demi menjaga hati datuknya yang kurang sihat. Namun, Jasmine semakin tersepit apabila menyedari yang hatinya sudah mula jatuh cinta kepada si majikannya sendiri. Mampukah dia menahan perasaan dan terus berpura-pura di hadapan Julian dan keluarga ‘angkat’nya? Saksikan drama menarik adapatasi daripada drama popular Korea, ‘My Girl’ yang kini dibawakan versi Tagalog khas untuk semua peminat drama di TV3.
Menyusul drama bersiri Marimar yang baru sahaja melabuhkan tirainya, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kisah menarik ‘My Girl’ yang sudah menemui para penonton TV3 mulai 17 Januari 2013, setiap hari Selasa hingga Khamis, jam 10.00 pagi. Drama bersiri 35 episod ini membariskan pelakon muda Filipina yang cukup popular seperti Kim Chiu (Jasmine), Gerald Anderson (Julian), Enchong Dee (Nico), Nina Jose (Anika), Regine Angeles (Shiela) dan ramai lagi.
Mengisahkan tentang Julian, pemuda kacak graduan Universiti Harvard yang kini memikul tanggungjawab sebagai waris utama menguruskan empayar perhotelan datuknya, Greg. Julian bukan sahaja berpelajaran tinggi dan berperwatakan menarik, malah penuh karisma dan serius dalam kerjaya dan misi hidupnya. Namun, selepas mengetahui hajat datuknya yang tidak sihat, hanya satu perkara yang menjadi tumpuan utama beliau; menjejaki semula sepupu perempuannya, Hannah yang sudah lama hilang.
Oleh kerana terdesak dan kesuntukan masa, Julian tidak ada cara lain dan terpaksa mengupah Jasmine untuk menyamar menjadi Hannah. Jasmine merupakan calon yang sesuai kerana personalitinya yang riang dan pandai mengambil hati orang. Dikenali sebagai pemandu pelancong yang serba boleh, Jasmine juga seorang yang licik dan bijak menyelesaikan krisis situasi selain daripada fasih berbahasa Tagalog, English dan Mandarin.
Jasmine bersetuju dengan syarat yang dikenakan Julian kerana kesempitan wang dan ingin membantu menyelesaikan hutang piutang ayahnya, seorang kaki judi. Sejak diperkenalkan sebagai Hannah, Jasmine kini tinggal bersama keluarga Julian dan sering menghabiskan masa menemani datuknya yang kini semakin sihat dan ceria sejak kepulangan cucu yang dirindui. Hubungan Jasmine dan Julian juga semakin rapat dan ada keserasian di antara mereka walaupun sebenarnya latar belakang kehidupan mereka amat berbeza.
Namun, kegembiraan Jasmine tidak berpanjangan apabila bekas tunang Julian yang jelita, Anika, seorang model terkenal tiba-tiba muncul dan ingin memenangi hati Julian semula. Jasmine juga berpeluang berkenalan dengan teman baik Julian, Nico, yang suka mengusik dan secara diam-diam telah menaruh hati padanya. Keadaan menjadi semakin rumit apabila rahsia Jasmine dan Julian hampir diketahui oleh datuknya dan Anika menggunakan peluang ini untuk mengugut Jasmine supaya mengudurkan diri dan meninggalkan Julian dan keluarganya buat selamanya.
Mampukah Jasmine melangkah pergi sedangkan hatinya sudah terpaut kepada Julian? Bagaimana pula nasib Julian jika rahsia Hannah yang sebenar terbongkar? Jangan ketinggalan untuk menonton drama bersiri Filipina, ‘My Girl’ pada setiap hari Selasa hingga Khamis jam 10.00 pagi bagi mengetahui jawapannya. Penonton yang terlepas menyaksikan episod mingguan ‘My Girl’ boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my.