in , ,

Drama Bersiri MUKHLIS Lakonan Sharnaaz Ahmad

Mengangkat kisah pemuda insaf dengan kehidupan sosialnya sebelum ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama bersiri “Mukhlis” yang dibintangi pelakon utama Sharnaaz Ahmad, Elfaeza Ul-Haq, dan Norlia Ghani selain turut dibantu oleh Hanis Idrus, Lan Siro, Adeline Tsen, dan Ako Mustapha.

Drama 26 episod arahan Fairuz Loy terbitan Saphire Screen ini menemui penonton mulai 1 Mac ini, setiap Isnin hingga Rabu, pukul 2.00 petang menerusi saluran TV2. Ia menceritakan mengenai kehidupan Haikal, pemuda yang tinggal di Kuala Lumpur dan masih bujang. Memiliki sebuah syarikat pengiklanan yang dikongsi bersama rakan baiknya iaitu Razlan dan dikendalikankannya bersama-sama dengan bapa saudaranya iaitu Uncle Fuad. Haikal mewarisi harta kekayaan yang banyak dari kedua arwah ibubapanya. Segala harta bapanya di warisi oleh Haikal dan dia dipelihara oleh Uncle Fuad. Haikal memiliki kehidupan yang agak sosial. Agama dilupakan terus. Puas Uncle Fuad dan Razlan menasihatinya tapi tidak pernah dihiraukan.

Sharnaaz Ahmad Insaf Dalam 26 Episod Drama bersiri “Mukhlis” di TV2

Elfaeza Ul Haq dan Sharnaaz Ahmad watak utama drama bersiri Mukhlis

Sementara itu Mak Jah, seorang wanita tua yang tinggal di kampung. Mak Jah diceraikan dan anak tunggal lelakinya, Mukhlis telah dilarikan oleh suaminya. Kini Mak Jah begitu teringin untuk berjumpa dengan anak lelakinya sebelum dia meninggal dunia. Mak Jah menceritakan niatnya kepada Sofea, seorang guru yang rapat dengan Mak Jah di kampung itu. Sofea berjanji untuk menolong Mak Jah mencari anak lelaki Mak Jah itu.

Sofea cantik, berbudi bahasa dan lengkap dengan ilmu-ilmu agamanya. Ini kerana bapa Sofea merupakan seorang pak imaM yang disegani di kampungnya. Sofea tinggal bersama-sama ibubapanya, Haji Jalil, Hajah Halimah serta abangnya, Omar.

Satu hari Haikal terjatuh dari tangga rumahnya. Dia telah dimasukkan ke hospital. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor memberitahu Haikal dia mengidap barah otak dan dia cuma ada masa selama 6 bulan sahaja untuk hidup. Haikal kecewa. Kecewa kerana dia akan mati dalam usianya yang masih muda lagi. Haikal mula merenung kembali apa yang telah dilakukan selama ini dan apa yang telah ditinggalkannya selama ini. Haikal memberitahu Razlan tentang penyakitnya itu. Haikal memberitahu Razlan dia menyesal dengan apa yang telah dilaluinya selama ini dan dia berharap dapat berbuat baik walaupun sekali dalam hidupnya.

Berita mengenai Mak Jah yang mencari anak lelakinya keluar dalam suratkhabar setelah Sofea membawa seorang wartawan ke kampungnya untuk menemuramah Mak Jah. Sofea memberitahu Mak Jah yang mereka telahpun berusaha dan berharap yang anak Mak Jah akan membaca berita tersebut.

Haikal terbaca berita tersebut di suratkhabar. Setelah lama berfikir, Haikal membuat keputusan untuk menyamar sebagai Mukhlis, anak lelaki Mak Jah yang telah lama tidak berjumpa dengan Mak Jah itu. Razlan tidak bersetuju dan memberitahu Haikal yang Haikal tidak harus menyamar menjadi Mukhlis. Razlan juga bagitahu haikal yang Mak Jah sudah tentu akan menerima Haikal sebagai anaknya kerana Haikal merupakan orang yang kaya. Haikal memberitahu Razlan yang niatnya cuma ingin berbuat baik kepada Mak Jah dan dia kasihan kepada Mak Jah. Lagipun mungkin inilah sahaja kebaikan yang dapat dia lakukan sebelum dia meninggal dunia. Haikal kemudiannya menyuruh razlan dan uncle fuad menguruskan perniagaannya itu.

Mak Jah gembira dan bersyukur kerana anaknya telah kembali kepadanya. Berita mengenai anak Mak Jah yang datang ke kampung itu mula menjadi perhatian penduduk-penduduk kampung. Sudin, pemuda kampung itu tidak suka dengan kehadiran Haikal. Ini kerana Sudin dapat merasakan Sofea suka kepada Haikal. Sudin sejak dari dulu lagi memang telah menaruh hati kepada Sofea.

Haikal @ Mukhlis mula berbuat baik dengan penduduk-penduduk kampung itu. Pertama sekali dia membeli tanah tapak rumah tempat Mak Jah menyewa dari Pak Hamid. Pak Hamid terperanjat kerana Haikal membeli tanahnya itu dengan harga yang mahal. Alasan Haikal, Pak Hamid telah banyak berjasa kepada emaknya. Haikal kemudian menolong anak Abang Hassan yang mengidap penyakit jantung berlubang dengan mendermakan wang. Apa yang dilakukan oleh Haikal menggemparkan penduduk-penduduk kampung itu. Mereka mula hairan dengan sikap Haikal dan tertanya-tanya siapa Haikal yang sebenarnya.

Hubungan Sofea dan Haikal bertambah baik dan ini lagi menimbulkan kemarahan kepada Sudin. Pelbagai insiden berlaku semata-mata mahu memisahkan hubungan mereka. Sementara itu hubungan Haikal dan Mak Jah bertambah rapat.

Masa berlalu Uncle Fuad dan Razlan berkira-kira Haikal akan mewariskan harta kepada mereka. Sebaliknya Haikal miliki perancangan lain. Dia mahu mewasiatkan hartanya kepada ketua kampung kerana sudah dapat menangkap niat jahat mereka berdua. Lalu apakah pengakhirannya?

Bagaimanakah penerimaan Mak Jah bila mengetahui Haikal bukan anak kandunganya yang sebenar? Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

poster Mukhlis

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Forteen Pertaruhkan Single Terbaru DEKAT TAPI JAUH

Filem OLABOLA Raih Lebih RM12 Juta Dalam Tempoh 18 Hari Tayangan