13 Episod ‘Ms. Cinta’ Kongsi Masalah Remaja di Laman Maya di TV1
[dropcap]S[/dropcap]eolah menjadi trend masa kini bila seseorang itu berdepan masalah, mereka lebih selesa berkongsi situasi tersebut di laman maya berbanding dengan cara meluahkannya kepada orang lain termasuklah teman mahu pun keluarga sendiri.
Lalu Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil pendekatan lari sedikit daripada kisah konflik kekeluargaan yang sering menjadi pilihan plot cerita drama bersiri di layar TV dengan menyiarkan drama bersiri “Ms. Cinta†mengisi slot popular Bidadari yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi di TV1.
Menggandingkan pelakon remaja Erin Malik, Syafie Naswip, Aidil Aziz dan Puteri Fateen Nasuha selain dibantu oleh Aida Aris dan Rusdi Ramli, drama disiarkan sepanjang 13 episod ini mengetengahkan babak-babak menarik bila mana kemampuan seorang gadis menjadi pembimbing rakan sebaya menerusi laman sesawang yang seolah menjadi trend masa kini.
Kisahnya berlegar sekitar watak Zetty, pelajar tahun akhir universiti tempatan dalam jurusan psikologi. Perwatakannya periang dan mudah bergaul. Zetty bersahabat baik dengan Lydia. Sepanjang perhubungan mereka, Lydia tidak pernah mengetahui bahawa temannya itu berbakat dalam memberi bimbingan dan nasihat termasuk berkaitan masalah peribadi.
Sehinggalah satu hari mereka didatangi oleh teman mereka Maria yang berdepan masalah dengan teman lelakinya. Maria telah ditinggalkan oleh teman lelakinya tanpa sebab. Zetty berjaya menasihatkan Maria untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan mengutamakan pelajaran terlebih dahulu.
[pullquote align=”right”]Ms. Cinta disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11.30 pagi di TV1.[/pullquote]
Lydia tertarik dengan cara Zetty berkomunikasi dan menasihati Maria dan mula berfikir untuk membuat satu Blog yang bertajuk: ‘Ms. Cinta’ dan namun Zetty masih kabur dengan hasrat temannya itu. Lydia jelaskan yang blog tersebut boleh digunakan sebagai latihan amali kepada mereka menasihati mereka yang ditinggalkan kekasih atau mengalami masalah dalam perhubungan cinta dan sebagainya. Identiti Zetty sebagai Ms. Cinta tidak akan didedahkan dan akan dikendalikan sendiri oleh Zetty.
Zetty tidak suka dengan idea tersebut tetapi berjaya dipujuk oleh Lydia. Kata Lydia, inipun cara untuk mendapat duit apabila ramai yang mengunjungi blognya. Setelah melakukan sedikit kerja pemasaran, blog Ms. Cinta mula dihujani dengan pelbagai masalah yang melibatkan hubungan pasangan kekasih. Dalam hal ini, Zetty begitu cekap memberikan pelbagai nasihat melalui blog yang dibuat oleh Lydia.
Antara yang sering mengunjungi blognya ialah seorang pemuda yang membahasakan dirinya Deen Desperado. Ketika memberi komen, Deen tidak bersetuju dengan cara Ms. Cinta memberikan pandangannya. Deen berpendapat nasihat Ms. Cinta berdasarkan emosi semata-mata dan tidak mengira rasionalnya. Ms. Cinta pula mempertahankan kaedahnya dengan menyatakan yang dia berjaya menyelamatkan hubungan ramai pasangan.
Blog Ms. Cinta semakin popular hingga menjadi perbualan di kalangan para pelajar. Zetty dan Lydia begitu gembira dengan perkembangan ini. Rakan sekelas mereka, Danial tidak begitu kisah dengan fenomena ini. Bagi Danial, Ms. Cinta mengambil kesempatan kononnya pakar dalam bidang cinta. Zetty dan Lydia tidak mengendahkan apa yang dikomenkan oleh Danial. Namun ada masanya mereka bertiga bertekak dan Zetty mengangap yang Danial lebih mementingkan soal ego dan tidak akan bertolak ansur.
Namun satu hari barulah mereka menyedari Danial dan Deen Desperado adalah orang yang sama. Lalu apakah yang berlaku bila rahsia itu terbongkar? Saksikan kesudahannya hanya di TV1.