Mengisi slot Cindai di TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil keberkatan bulan Ramadan yang bakal tiba menyiarkan drama bersiri sarat pengajaran dan keinsafan bertajuk “Mencari Luqmanul Hakim” lakonan Nazrul Irwan Zulkifli, Ana Dahlia, Norman Hakim, Zila Bakarin, Raja Ema, Adrell Aryana, Solehin Rashid dan Wan Maimunah.
Menemui penonton mulai 15 Jun ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 3.05 petang, ia mengisahkan setelah menamatkan pengajian di Mesir, Luqman pulang dan menjadi penceramah serta kaunselor bebas. Sikapnya yang berhemah menyebabkan dia mudah disenangi dan akhirnya menjadi pujaan ramai terutama kaum wanita.
Isteri Luqman, Sufiah mula rasa tergugat apabila Luqman sentiasa menerima panggilan telefon daripada pelbagai status wanita. Sementelahan pula, setelah lima tahun mendirikan rumah tangga, Sufiah gagal melahirkan zuriat kerana menghadapi masalah kesuburan. Sepanjang melaksanakan tugasnya, Luqman berdepan dengan masalah keluarga.
Maisara pula mengalami tekanan perasan ekoran sikap suaminya, Herman suka mengamalkan kehidupan yang bertentangan dengan nilai-nilai keIslaman. Manakala anak perempuan sulungnya, Natasya turut menjejaki sikap Herman dan anak lelaki bongsunya, Faiz terlibat dengan LBGT.
Maisara meminta Luqman membimbing keluarganya. Pada peringkat awal, usaha Maisara mendapat tentangan daripada Herman, Natasya dan Faiz. Bagaimanapun sedikit demi sedikit keadaan mula berubah. Natasya mula jatuh cinta dengan Luqman dan sanggup berjumpa dengan Sufiah meminta izin untuk dia berkahwin dengan Luqman. Sufiah merelakan demi zuriat dan kebahagiaan Natasya, lebih-lebih lagi dia sedar Natasya amat memerlukan Luqman kerana Sufiah pernah mengalami perjalanan hidup seperti Natasya.
Satu ketika dulu Sufiah merupakan gadis liar dan diselamatkan oleh kedua ibu bapa Luqman. Mereka menjadikan Sufiah anak angkat, kemudian menjodohkan Sufiah dengan Luqman. Bagaimanapun Luqman menolak kerana dia merasakan tidak mampu berlaku adil.
Malangnya dalam diam juga, Maisara turut jatuh cinta pada Luqman tanpa mengetahui Natasya telah jatuh cinta pada Luqman. Hasutan daripada Rubiah merupakan kawan baik Maisara menyebabkan Maisara tergamak meluahkan perasaannya terhadap Luqman.
Luqman terkilan tetapi mendepani luahan hati Maisara secara berhemah serta memberitahu perihal Natasya yang sanggup berjumpa dengan Sufiah untuk meminta keizinan hidup bermadu. Maisara tersentak dalam permainan perasaannya. Rubiah pula tidak berpuas hati kerana dia memang merancang untuk menjatuhkan keluarga Herman.
Satu ketika dulu, ayah Herman dan ayah Rubiah berkawan baik. Terpengaruh dengan gaya hidup Ayah Herman, Ayah Rubiah akhirnya bankrap dan kebanyakan harta milik keluarganya jatuh ke tangan ayah Herman. Rubiah yang melihat penderitaan ibunya, nekad untuk membalas dendam terhadap keluarga Herman.
Bagaimanapun akhirnya Rubiah insaf apabila Luqman menyelamatkan dia dalam satu kes rompakan yang hampir meragut nyawa Luqman. Faiz yang pada mulanya menentang Luqman, akhirnya insaf setelah Luqman menceritakan satu persatu tentang pembalasan Allah terhadap kaum Nabi Luth yang mengamalkan seks sejenis.
Akhirnya Faiz aktif menyertai NGO yang menentang LBGT. Bagaimanapun Herman rasa tercabar dengan keakraban keluarganya dengan Luqman serta sangsi dengan Luqman. Herman menggunakan Vivian untuk memerangkap Luqman dalam usaha memburukkan nama baik Luqman. Vivian menelefon Luqman dan ingin berjumpa dengan Luqman dengan alasan ingin mendalami agama dengan Luqman.
Tanpa mengesyaki apa-apa, Luqman ke tempat yang dijanjikan untuk berjumpa dengan Vivian. Malangnya Vivian memberitahu keretanya rosak dan dia tersangkut di satu kawasan. Tanpa Vivian sedar, gelagatnya sedang menunggu Luqman menarik perhatian dua orang pemuda. Mereka nekad merogol Vivian dan Luqman sampai tepat pada waktunya. Vivian diburu rasa bersalah dan menceritakan tentang rancangan Herman. Lalu bagaimanakah kesudahannya?