Drama Bersiri Korea Terbaru : “12 Signs Of Love ” Temui Penonton TV2
[dropcap]A[/dropcap]dakah tanda-tanda astrologi atau zodiak benar-benar menentukan nasib cinta seseorang? Kisah menarik ini melatari drama bersiri Korea terbaru di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot Kristal mulai 17 Februari ini di TV2.
Menghiburkan santai petang anda jam 5.00 petang, setiap Isnin hingga Khamis, siri Korea bertajuk “12 Signs of Love” yang menampilkan pelakon Yoon Jin Seo, Koh Joon Hee, On Joo Wan, Kim Da Hyun, Kim Jin Woo, Julian Kang, Park Sang Myeon, Kwang Soo, Lee Yong Woo dan Kim Jung Min ini diwarnai babak-babak menarik bila mana seorang wartawan wanita bersungguh melakukan tugasannya biarpun berdepan pelbagai dugaan dan rintangan.
Plot kisahnya berkembang dengan watak utama seorang wartawan majalah Mi-Roo (Yoon Seo Jin), berusia 29 tahun percaya bahawa tanda-tanda zodiak menentukan nasib seseorang. Dia lalu mencabar diri sendiri untuk menulis dalam ruangan baru yang mengetengahkan isu dan persoalan cinta. Bagi memperlihatkan tulisannya nampak ‘hidup’, dia telah menggunakan idea yang diperolehi daripada pengalaman cintanya sendiri yang pernah menjalinkan hubungan cinta dengan 12 lelaki berbeza zodiak dalam satu tahun yang sama.
Kisah menarik ini bermula apabila Mi-Roo mula saja-saja menulis artikel menarik yang erotick dengan menggunakan nama pena Sophia. Namun tanpa diduga, ianya tersalah hantar kepada ketua editornya. Menyedari kesilapannya itu, Mi-Roo mengambil cuti sakit untuk mengelakkannya bertemu dan dikenakan tindakan oleh ketuanya itu.
Malang bertimpa bila Mi-Roo sekali lagi cuai telah memberikan kad perniagaan Tanya, temannya kepada Hyun Woo untuk khidmat seks telefon. Mujur kali ini dia berpeluang untuk memperbetulkan kesilapannya dan sejak itu dia sering keluar bersama lelaki itu.
Kolum Sophia yang seterusnya mendapat sambutan hangat. Tetapi Mi-Roo terkejut bila mengetahui bahawa ketua editornya telah meletakkan iklan dalam majalah untuk mencari kekasih Sophia yang seterusnya.
Apabila cinta pertama Mi-Roo menulis surat menyatakan dia akan berhijrah ke Argentina, dia begitu sedih namun pada masa sama mula memikirkan untuk tindakan seterusnya. Dia kemudiannya mengetahui serba sedikit bahawa penulis surat itu yang sebenar adalah Jin Oh selepas membayar sejumlah wang kepada Won Bin untuk meninggalkannya sendirian.
Mi-Roo kemudiannya bertemu janji pula dengan Alex, bekerjaya sebagai jurulatih yang diperkenalkan oleh Tanya. Alex berterus-terang bahawa dia tidak berminat apa-apa kecuali menjalinkan hubungan seks yang membuatkan serba sedikit Mi-Roo berputus asa dengan kerjayanya.
Rancangan Mi-Roo menamatkan artikel Sophia terhenti di tengah jalan bila ketua editor telah mengubah artikelnya. Persoalannya di sini, dapatkah Mi-Roo kembali menulis artikel? Dia kemudiannya memutuskan untuk berehat dan pergi bercuti dengan Tanya. Dia gembira kerana keseluruhan perbelanjaan percutiannya ditaja oleh Majalah XX sekiranya Mi-Roo menulis artikel untuk ruangan majalah mereka. Lalu apakah kesudahannya? Saksikan aksi penuh mendebarkan arahan Oh Jong Rok ini hanya di TV2.