in ,

Drama Bersiri Komedi Baru Mak Lang Datang Kompang Bergendang

CABARAN MAK LANG MENCARI CALON ISTERI “PEREMPUAN MELAYU TERAKHIR”

Bila bercakap soal jodoh, ramai yang memilih untuk berusaha sendiri atau tentukan pasangan hidup sendiri. Namun, apabila si ibu yang sudah tidak sabar untuk mencarikan calon isteri untuk anaknya malah meletakkan syarat bahawa bakal menantunya haruslah dilengkapkan dengan ciri-ciri seorang ‘Perempuan Melayu Terakhir’, apakah yang akan terjadi nanti?

Menerusi slot Senda Pagi, saksikan drama bersiri komedi baru ‘Mak Lang Datang Kompang Bergendang’ yang sudah menemui para penonton TV3 mulai 7 Januari 2013, setiap hari Isnin jam 10.00 pagi. Drama bersiri 13 episod terbitan Pujangga Kreatif Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh M.Nazir Juhan (Jet Lee) dengan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Fauziah Nawi, Nabil Ahmad, Leez Rosli, Norman Hakim, Norseha, Wan Raja, Acong, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.

Mak Lang Datang Kompang Bergendang ( pix 6)

Mengisahkan tentang Mak Lang (Fauziah Nawi) yang terkenal sebagai pakar mencari jodoh di kampungnya. Tugasan baru Mak Lang ialah mencari si gadis Melayu terakhir untuk anak lelaki Che Yah (Norseha) iaitu Fitri (Nabil). Salah satu syarat yang ditetapkan oleh Che Yah ialah bakal menantunya perlu memiliki ciri-ciri seorang perempuan Melayu yang ayu, cantik, bersopan-santun serta pandai memasak terutama acar buah seperti Mak Lang.

Fitri tidak bersetuju kerana dia sudah mempunyai kekasih dan tidak akan berpisah dengan gadis tersebut. Fitri ‘bersumpah’ bahawa dia tidak akan berkahwin dengan gadis melainkan kekasihnya. Selepas mendengar kata-kata Fitri, Mak Lang berada dalam dilema kerana sudah berjanji dengan Che Yah untuk carikan calon isteri berdasarkan kriterianya. Kini, Mak Lang berasa kasihan pula dengan Fitri yang akan kecewa dan dipaksa berkahwin dengan orang yang tidak dicintai.

Ketika Mak Lang ligat berfikir bagaimana cara hendak menyelesaikan masalah Che Yah, Maya muncul. Maya memberitahu Mak Lang bahawa dia datang kerana ingin belajar memasak dengan Mak Lang. Pada mulanya, Mak Lang enggan dan menyuruh Maya balik tetapi Maya tetap merayu dan sanggup menunggu di depan pintu rumah pada waktu malam. Akhirnya Mak Lang mengalah dan menerima Maya sebagai anak murid serta mengajaknya tinggal bersama Mak Lang dan anak lelakinya, Zahar (Norman Hakim).

Kehadiran Maya merupakan titik bermulanya kisah-kisah lucu apabila ramai jejaka di kampung itu yang cuba mendekatinya. Tarmizi (Wan Raja) selalu mengambil kesempatan untuk datang ke rumah Mak Lang. Untuik melindungi aktivitinya daripada diketahui isterinya, Jamilah (Fazlina Ahmad Daud), Tarmizi selalu mengajak Ehsan (Acong) menemaninya.

Ketika Maya berdepan dengan masalahnya, Fitri juga tidak dapat lari dari masalah. Che Yah semakin kerap memaksanya memberi sepenuh perhatian kepada syarikat perabot milik keluarga kerana tidak lama lagi dia akan berkahwin. Fitri juga diingatkan agar jangan pandai-pandai mencari calon isteri sendiri kerana Che Yah sudah ada caranya tersendiri untuk mencari calon menantunya.

Bagaimana Mak Lang menyelesaikan masalah mendapatkan calon menantu untuk Che Yah kerana dia juga tidak mahu mengecewakan Fitri? Siapakah sebenarnya Maya? Jangan ketinggalan untuk menonton drama bersiri komedi ‘Mak Lang Datang Kompang Bergendang’ pada setiap hari Isnin jam 10.00 pagi di slot Senda Pagi bagi mengetahui jawapannya.

Leez Rosli (Maya)

Nabil (Fitri)

Fauziah Nawi (Mak Lang)

Mak Lang Datang Kompang Bergendang (pix 7)

Mak Lang Datang Kompang Bergendang (pix 5)

Mak Lang Datang Kompang Bergendang (pix 4)

Mak Lang Datang Kompang Bergendang (pix 3)

Mak Lang Datang Kompang Bergendang (pix 2)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Demi Lovato, U-Kiss & Rainbow Bakal Perform di Twin Towers Live Concert 2013

Showcase Awi Rafael di Aswara