in ,

Drama Bersiri Komedi Aku Budak Minang

DRAMA BERSIRI KOMEDI AKU BUDAK MINANG GANTIKAN MASAK LOMAK CILI API DI TV2

Kelainan ditonjolkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan menyiarkan drama loghat Negeri Sembilan, Masak Lomak Cili Api yang baru berakhir siarannya nyata mendapat reaksi positif penonton yang rata-ratanya tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap episod drama menarik itu. Berkenalan dengan watak-watak yang masih mengekalkan loghat Negeri Sembilan itu seolah-oleh membawa penonton lebih mendalami dan berkenalan dengan masyarakat yang sebahagian besarnya masih mengamalkan Adat Pepatih itu.

Begitu pun segalanya tidak terhenti di situ apabila mulai 6 Oktober 2009 lalu RTM menghidangkan pula drama bersiri Aku Budak Minang setiap hari Selasa, jam 8.30 malam di TV2 yang pastinya mampu menarik hati golongan penonton dengan jalan cerita yang menarik di samping kemunculan pelakon Along (Raja Lawak), Rosman Roslan, Baharudin Hj. Omar, Zila (AF), Maimunah Hj. Ahmad, Enot, Zulkiflie M.Osman dan Maimun Mutalib membawakan watak berkesan masing-masing.

Menemui penonton sepanjang 13 episod siarannya, Aku Budak Minang megetengahkan watak Ujang yang memegang amanah arwah ibunya untuk menjaga adiknya, Aca. Ujang remaja yang nakal, tidak suka di kongkong dan merasakan dirinya tidak disayangi oleh keluarganya terutama ibunya, selepas kelahiran adik bongsunya yang telah berusia 11 tahun itu.

Sebelum ibu dan ayahnya meninggal, ibu mereka sempat berpesan supaya Ujang menjaga adiknya dan tidak menyerahkan Aca kepada kakak-kakaknya ataupun kepada orang lain biar bagaimana pun keadaan adiknya.

Namun ketua kampung menyarankan supaya Aca dihantar ke rumah Kanak-Kanak Sinar Harapan untuk pembelajaran dan demi masa depannya kelak. Walaupun mulanya Ujang bersetuju tetapi demi mengenangkan amanat ibunya, Ujang menjadi serba salah. Ujang tidak sampai hati menyerahkan Aca ke sekolah tersebut walaupun disebabkan Aca Ujang sering kali menjadi mangsa rotan dan maki hamun ketika ibunya masih hidup.

Malah Ujang pernah merasakan Acalah yang telah merampas semua kasih sayang keluarga terhadapnya. Aca telah menjadikan Ujang liar, bergaul dengan budak-budak jalanan demi untuk mencari ketenangan yang telah Aca rampas darinya. Bagi Ujang Aca adalah pemusnah hidupnya, kelahiran Aca merampas segala-galanya.

Namun jauh disebalik dendam pada Aca ada rasa simpati dan sayang yang mendalam terhadap Aca menyebabkan Ujang tidak sanggup untuk menyerahkan Aca ke sekolah tersebut.

Namun kemudianya Ujang sedar, apa yang atuk dan ketua kampung cuba lakukan adalah yang terbaik untuk masa depan Aca, mereka perlu berkorban untuk kebaikan Aca, dan Ujang terpaksa melepaskan Aca ke sekolah sinar harapan.

Lalu apakah keputusan yang diambil oleh Ujang? Sanggupkah dia mengambil keputusan terbaik demi masa depan mereka bersama? Justeru usah ketinggalan menyaksikan drama menarik Aku Budak Minang setiap hari Selasa, jam 8.30 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Concert Beyonce Live in Malaysia

Pierre Andre Dan Zizie Ezzette Dalam Drama Cik Ah Cik Nin