Khadijah, Idris, Ramlah dan Hasnah, empat adik-beradik membesar tanpa kasih sayang daripada kedua-dua orang tua yang melepaskan tanggungjawab mendidik dan menjadi teladan kepada anak – anak. Namun, mereka tidak mudah menyerah dan sentiasa berusaha untuk mencapai kebahagiaan.
Terbaharu di slot Samarinda, drama bersiri 15 episod adaptasi novel ‘Kau Cipta Kasih’ karya Azilah Wahab menemui penonton TV3 bermula 13 Januari 2022, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam.
Kau Cipta Kasih merupakan terbitan Ansar Creative Media Sdn Bhd, diarahkan oleh Nazir Jamaludin, nukilan skrip oleh Azlina Din dan Azilah Wahab serta menampilkan pelakon – pelakon popular Malaysia seperti Nazim Othman, Uyaina Arshad, Nafiz Muaz, Fify Azmi, Amanda Amry, Sherie Merlis, Sahronizam, Marissa Yasmin, Dilla Ahmad, Norlia Ghani, Mustapha Kamal, Ikhram Juhari, Nynaa Harizal dan Izuan Razali.
Ia mengisahkan Samad (Sahronizam) dan Sabariah (Sherie Merlis) yang disatukan atas paksaan keluarga mereka. Perkahwinan paksa ini telah memudaratkan hubungan Sabariah dengan Samad. Sabariah membenci anak-anaknya kerana dia tidak mencintai Samad yang sering mengasarinya.
Idris (Nafiz Muaz) dilahirkan dengan kecacatan di kaki. Dia dibenci dan tidak diakui sebagai anak oleh Samad dan Sabariah. Dia dibesarkan oleh Opah Piah dan Atuk Mat setelah dibuang oleh ibu bapa sendiri. Walaupun kaki tempang, Idris diajar berdikari dan bekerja sejak kecil. Dia seorang yang rajin bekerja, taat pada agama dan hormat kepada orang tua. Opah Piah telah menghadiahkan tanah ladang dan tapak rumah pusaka kepadanya.
Ramlah (Fify Azmi) seorang yang sangat bijak dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara atas bantuan Idris. Dia amat menyayangi Khadijah, kakak sulung kepada empat beradik ini yang menjaganya sejak kecil. Ramlah tidak pernah berputus harapan untuk merasa bahagia bersama ibu, ayah serta adik-beradiknya.
Hasnah (Amanda Amry), anak bongsu kepada pasangan Sabariah dan Samad sangat naif dan percaya bahawa Samad menyayanginya. Hasnah juga manja dengan Khadijah dan menganggapnya sebagai ibu. Ketika di Tingkatan 5, Hasnah bercinta dengan rakan sekampungnya dan berkeras mahu berkahwin dengannya selepas SPM walaupun mendapat tentangan daripada Samad. Sabariah pula bersetuju dengan perkahwinan Hasnah kerana sudah tidak mahu menanggung anaknya itu.
Khadijah (Uyaina Arshad), anak sulung kepada Samad dan Sabariah sanggup berkorban dengan menggalas tanggungjawab menjaga adik-adiknya ketika usia masih muda. Khadijah sering menjadi mangsa kemarahan ibunya. Akibat satu kejadian, Khadijah telah dihalau keluar oleh ibunya walaupun Khadijah telah memberitahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Khadijah melarikan diri dan terjumpa dengan Afiq (Nazim Othman), anak kepada seorang usahawan yang berjaya. Sejak itu, perjalanan hidup Khadijah mula berubah. Adakah Khadijah, Idris, Ramlah dan Hasnah dapat menemui kebahagiaan selepas dihujani dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam hidup mereka?
Jangan ketinggalan untuk terus menyaksikan Kau Cipta Kasih, satu kisah penuh emosi, sebuah realiti kehidupan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, 10.00 malam menerusi slot Samarinda di TV3.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.