Ayat kursi merupakan ayat utama dalam Al-quran. Rasulullah S.A.W meminta kita sebagai umatnya mengamalkan membaca ayat ini. Mengambil keberkatan berkongsi rahsia disebalik ayat kursi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan drama bersiri terbaharu bertajuk “Kasih Jasmin” mulai 14 Disember ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 3.05 petang mengisi slot Bidadari di TV1.
Dibintangi pelakon Zarina Zainordin, Dazrin Kamarudin, Fizz Fairuz, Azam Pit, Wan Hanafi Su, Nissa Dir, Syed Nahar, Lydiawati dan Rahim Jailani, ia mengisahkan Jasmin baru sahaja tamat sekolah tinggal bersama datuknya yang sudah uzur. Jasmin pandai mengaji Al-Quran dan suka menghafal suruh yang penting untuk amalan seharian. Arwah nenek Jasmin berpesan supaya dia selalu membaca ayat kursi terutama selepas solat semasa memohon doa, agar sebagai pelindung diri dari musibah.
Rahsia Di sebalik Ayat Kursi Dalam Drama Bersiri “Kasih Jasmin”, Slot Bidadari Di TV1
[dropcap]D[/dropcap]isebabkan datuk Jasmin sudah uzur dan demi masa depan Jasmin, Ketua Kampung mencadangkan supaya datuk Jasmin di hantar ke Rumah Kebajikan, datuk Jasmin pun setuju dengan cadangan Ketua Kampung itu. Manakala Jasmin pula ditawarkan bekerja di rumah Tuan Nasir sebagai pembantu tukang masak di rumah dan di resort miliknya.
Sewaktu Jasmin sampai di rumah itu, keluarga Tuan Nasir hadapi masalah dengan anak-anaknya. Anak sulung bernama Zamir sedang hadapi masalah dalam proses penceraian dengan isterinya bernama Shera. Anak ke-2 Tuan Nasir iaitu Zahim pula baru pulang dari belajar dari luar negara dah masih mahu berehat dan bersosial. Situasi itu membuatkan Tuan Nasir pening kepala memikirkan anak-anaknya.
Manakala anak ke-3 pula masih belajar di sebuah kolej swasta bernama Zarul, dia pula selalu buat hal disekolah dan mempunyai masalah disiplin di sekolah.
Melihat daripada itu Jasmin cuba amalkan bacaan 3 KUL semasa dia membasuh beras untuk memasak nasi. Amalan itu sering dilakukan oleh Arwah nenek Jasmin supaya dalam satu keluarga ada nilai kasih sayang dan bersatu. Jasmin juga sering mengaji Al-Quran dan amalan baik yang lain. Pada mulanya Puan Aina tidak menyukai dan tidak faham dengan amalan Jasmin tetapi setelah diterang oleh Jasmin barulah Puan Aina berminat untuk mempelajari ilmu agama dari Jasmin. Jasmin berjanji akan membimbing sekadar yang mampu.
Zamir seorang lelaki yang panas baran dan selalu melepaskan tekanan kepada anaknya yang masih kecil. Pada mulanya Zamir juga tidak menyukai Jasmin tetapi selepas Jasmin menyelamatkan Alisha semasa terjatuh dalam kolam renang dia mula berlembut. Zamir juga mula rapat dengan Jasmin.
Pada suatu malam berlaku suatu kejadian dimana Zahim yang pulang dalam keadaan mabuk cuba untuk merogol Jasmin, tetapi Zahim terlihat bayang-bayang orang lain di sebelah Jasmin. Zahim terkejut dan berlari keluar dari bilik Jasmin. Pada keesokan pagi dalam keadaan kebingungan Zamir cuba mengingati apa yang dia lakukan semalam. Zahim cuba memikirkan bahawa Jasmin ada membela hantu. Itu sebenarnya adalah azimat daripada amalan ayat kursi yang selalu diamalkan oleh Jasmin ia bertindak sebagai pelindung diri sekiranya ada orang ingin melakukan pekara tidak baik terhadap pengamalnya.
Jasmin juga selalu pergi ke resort dan menolong apa-apa kerja disana. Ketua staf di sana adalah Cik Rozana yang agak berumur dan belum berkahwin. Sebenarnya Cik Rozana sudah lama meminati Zamir dan menyimpan perasaan. Cik Rozana dibantu oleh Malik dan Shima. Jasmin dan Malik menjadi rapat dan itu dicemburui oleh Shima kerana dia mennyintai Malik dalam diam. Shima telah tersalah faham dan cuba menyihirkan Jasmin, tetapi tidak berjaya.
Sementara itu pula, Zarul anak ketiga Tuan Nasir menyintai adik kepada Malik yang bernama Marina. Puan Aina juga tidak setuju kerana keluarga Malik tidak setaraf dengan keluarga mereka. Tetapi Zarul tidak sependapat dengan papa dan mamanya. Lantaran dari itu, Zarul telah tekad untuk melarikan diri dengan Marina dan berkahwin di sempadan tanpa restu keluarga.
Sebenarnya di dalam keluarga Tuan Nasir ada penghasut iaitu adik kepada Puan Aina bernama Ainon yang merupakan ibu tunggal, dia mempunyai seorang anak perempuan bernama Rania. Sebenarnya Ainon berniat jahat terhadap keluarga Puan Aina dan cuba untuk mendapatkan harta mereka. Tetapi hati Rania tidak seburuk ibunya namun dia tersepit kerana sayangkan ibunya.
Sementara itu, Zahim pula mula menyukai Jasmin.Tetapi Ainon cuba untuk menjodoh Rania dengan Zahim. Manakala Zamir pula mengharapkan Jasmin untuk menjadi pengganti Shera. Manakala Shera pula cuba untuk kembali semula ke pangkuan Zamir setelah dia menyesal dengan kecurangan dia sebelum ini. Hati Zamir berbelah bahagi. Namun Jasmin menerima sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan dia bersedia. Dalam masa yang sama, Zahim terus menanti balasan cinta dari Jasmin manakala Malik yang turut menyimpan perasaan pada Jasmin hanya berserah pada takdir.