in

Drama Bersiri Islamik Balqis Lakonan Eja & Esma Daniel

Istimewanya drama keagamaan, persahabatan dan kekeluargaan terbitan Unit Drama TV RTM yang diterbitkan dalam 30 episod bertajuk “Balqis” yang telah pun menemui penonton mulai 3 Jun lalu nyata memberikan suntikan tersendiri dalam plot ceritanya yang ingin dikongsi sama dengan penonton setia saluran RTM selain kemunculan pelakon Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja sebagai watak utama yang kini sudah membuat keputusan berhijab penuh sebaik sahaja pulang daripada mengerjakan umrah dan menjalani penggambaran drama bersiri ini di Mekah.

Drama diterbitan Unit Drama TV RTM ini selain dibintangi oleh Eja turut membariskan pelakon utama Esma Daniel (Azhar), Chomel Fana (Balqis), Omar Mokhtar (Ustaz Amirul), Amran Ismail (Tajul), Zarina Zainuddin (Mahiran), Sharifah Nadia (Nafisah), Badrul Munir (Prof. Zahari), Amir Raja Lawak (Soid), Dotty (Aishah) dan Dian P.Ramlee (Maria), mengisi slot Galeri Famili ini disiarkan setiap Isnin hingga Rabu, jam 2.30 petang menerusi TV2.

Kisahnya berlatarkan kisah gadis bernama Balqis pelajar cemerlang yang lari dari rumah tapi terperangkap dalam hidup Hanum, seorang majistret yang cuba menyelongkar rahsia hidupnya. Hanum cuba mengubah Balqis kerana yakin Balqis boleh dibimbing menjadi manusia yang baik. Tapi sebaliknya berlaku apabila Balqis pula yang mengubah gaya hidup dan penampilan Hanum.

Balqis hanya tunduk pada Hanum setelah dia mendapat tahu suami Hanum mempunyai kekasih gelap. Sejak itu Balqis jatuh simpati pada Hanum. Namun Balqis diuji apabila Amirul adik Hanum muncul dalam hidupnya. Keikhlasannya dalam membuat perubahan diri diuji bila Fatihah yang meminati Amirul hadir dalam hubungannya dengan Amirul. Balqis akhirnya lari dari Hanum dan Amirul tapi berpatah balik bila dia sedar melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalahnya.

Episod pengenalannya bermula dengan memperkenalkan watak Balqis, kerana benci pada ibunya yang berkahwin lain, Balqis nekad lari dari rumah untuk mencari kehidupan baru. Di Kuala Lumpur Balqis terjebak dengan kumpulan nakal yang diketuai oleh Tajul, melakukan kegiatan yang tidak sihat seperti mencuri dan menyeluk saku. Akibat termakan dengan hasutan kawannya, Balqis akhirnya ditangkap polis dan ditahan di dalam lokap. Kes Balqis dibicarakan dalam kes juvana dan Hanum sebagai majistret. Suami Hanum pula iaitu Azhar dalam diam menjalinkan hubungan cinta dengan Mahiran.

Pada masa yang sama ketika Fatihah melawat bapanya Profesor Zahari di Madinah, dia secara tidak sengaja bertentang mata dengan Ustaz Amirul yang kebetulan menjadi mutawif jemaah umrah yang sedang bergambar di Masjid Nabawi.

Balqis dibebaskan dari mahkamah juvana setelah menerima rayuan dari bapa tiri Balqis iaitu Baharom. Tidak serik dengan kesalahan lama Balqis kembali mencuri dan kali ini dia ditangkap sekali lagi. Oleh kerana dia telah melebihi had umur maka Balqis telah dibicarakan di mahkamah biasa.

Oleh kerana tiada wang jaminan maka Balqis terpaksa merengkuk didalam penjara sementara menunggu hari perbicaraan. Kes Balqis yang ditangkap sekali lagi telah menarik minat Hanum untuk berkenalan dengan gadis itu dengan lebih dekat. Tindakan Hanum meminta suaminya Azhar tinggal dirumah mereka telah menimbulkan konflik antara mereka berdua.

Sementara itu, Pak Karim didapati hilang ketika jemaah menunaikan umrah di Mekah. Ustaz Amirul telah berusaha mencari dimerata tempat tetapi tidak berjaya menemui Pak Karim. Tajul, Soid dan Aishah pula mencuri lagi untuk mencari wang jaminan agar dapat membebaskan Balqis dari penjara.

Hasrat Azhar untuk membawa Balqis pulang ke rumah Hanum gagal kerana Balqis tidak mengenali lelaki tersebut. Ini menyebabkan berlakunya pertelingkahan sekali lagi antara Azhar dan Hanum kerana Hanum tetap mahu suaminya itu terus memujuk Balqis agar tinggal dirumah mereka.

Lalu bagaimanakah kesudahan drama bersiri yang sarat dengan pengajaran ini? Saksikan babak-babak menarik siri ini hanya di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Izzue Islam & Awin Nurin Nikah

ZALORA