Dalam drama arahan Harris Fadzillah yang turut dibintangi oleh Hanna Aqeela, Safwan Nazri, Zaidi Omar, Liza Abdullah, Didie Alias, Ozlynn Wati, Rosnah Johari dan Aidil Aziz, penonton dibawa mengikuti kisah yang realitinya berlaku dalam masyarakat kita bila mana si pemuda yang berpenampilan metroseksual bertemu dengan si gadis yang berpewatakan kasar mengalahkan lelaki.
Nantikan bagaimana situasi kelam kabut bila mana si lelaki seorang metroseksual yang mahukan kesempurnaan dalam setiap perkara bertemu dengan gadis yang berpewatakan lasak dan tidak percaya dengan ikatan perkahwinan.
Ikuti kisah Adam, pemuda sempurna yang memiliki kerjaya yang bagus di Kuala Lumpur. Umur Adam sudah menginjak usia 33 tahun ternyata mula membimbangkan ibunya kerana rakan-rakan seusia Adam sudah pun memiliki keluarga sendiri. Adam pula sebaliknya selesa hidup membujang dan tidak mempunyai calon isteri.
Di kampung mereka, Aloya lakonan Ozlyyn Waty telah lama menaruh hati pada Adam. Aloya dengan bantuan ibunya merancang pelbagi cara semata-mata mahu menarik perhatian Adam terhadapnya. Malah Aloya dalam diam sebenarnya sudah merancang mahu meminang Adam.
Untuk mengelak perkara tersebut, Adam memperkenalkan Suraya, teman sepejabatnya untuk menyamar sebagai teman wanitanya kepada ibu bapanya. Hakikatnya Adama tidak mahu menjadikan Aloya mahu pun Suraya sebagai isterinya.
Tapi lain pula jadinya bila mana Suraya sebenarnya menaruh hati dalam diam terhadap Adam. Bagai pucuk dicita ulam mendatang dia mahu meyakinkan ibu dan bapa Adam bahawa dialah calon isteri yang paling sesuai untuk Adam.
Suraya muncul dihadapan keluarga Adam dengan berpewatakan alim yang dibuat-buat. Lakonan Suraya berjaya meyakinkan keluarga Adam untuk menerimanya sebagai calon isteri Adam. Situasi itu membuatkan Adam pula kurang selesa. Malah dia mula rasa bersalah kerana menipu keluarganya.
Adam kemudiannya nekad berterus-terang hubungan dengan Suraya hanya berlakon sahaja. Suraya bagi dirinya hanyalah rakan sepejabat dan tidak lebih daripada itu. Keluarganya terkejut dengan penjelasan Adam.
Namun Adam sedar keluarganya pasti tidak akan terhenti disitu. Ibunya pasti mahu memperkenalkannya dengan calon isteri yang lain walaupun telah menerima penjelasan Adam. Tambahan pula ibu Aloya telah mencanang cerita kepada seluruh kampung bahawa Adam lelaki songsang.
Tanpa diduga satu hari Adam bertemu dengan gadis berpewatakan kasar bernama Aisyah lakonan Sharifah Husna. Tambahan pula Aisyah tidak percaya dengan ikatan perkahwinan. Antara mereka sebenarnya sama-sama memerlukan antara satu sama lain untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada diasak keluarga tentang perkahwinan.
Lalu apakah yang berlaku seterusnya? Adakah kedua-duanya berjaya disatukan dalam ikatan yang perkahwinan? Bagaimana pula dengan Aloya dan Suraya yang tidak putus asa mengejar cinta Adam? Ikuti kesudahannya di TV Okey.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.