Drama Bersiri Ramadan : Ilaika Yusuf Lakonan Jue Aziz dan Azam Pitt Papar Kisah Cinta Berlandaskan Islam di TVi
Kemunculan pelakon berambut cantik, Jue Aziz melakonkan watak utama dalam sebuah drama rantaian yang menemui penonton sepanjang Ramadan ini pastinya mampu mengubat kerinduan peminat terhadap lakonannya.
Digandingkan bersama Azam Pitt sebagai watak utama, drama bertajuk Ilaika Yusuf yang telah pun menemui penonton sejak 13 Julai lalu, setiap Isnin hingga Jumaat menerusi saluran TVi turut dibintangi oleh Aida Khalida, Hamidah Wahab, Roslan Salleh dan Ramasundram.
26 episod drama arahan Harris Fadzillah ini mengangkat kisah bila mana watak utamanya, Umaira terlantar sakit, pucat tidak bermaya dan menyebut-nyebut nama Yusuf. Demi nyawa Umaira, Ustaz Iqbal cadangkan kepada Ehsan dan Nek Munah supaya membenarkan Umaira menemui Yusuf.
Kisahnya bermula apabila Umaira, Intan, Aisyah, Steven dan Bob menaiki sebuah van, mereka menikmati keindahan panorama kampung dan persekitarannya. Ketika van menghampiri kampung terdekat, kedengaran suara merdu yusuf sedang mengalunkan azan.
Ketika solat maghrib berjemaah di masjid, Yusuf dan Umaira bertentangan mata. Intan dan Aisyah bercerita tentang kekacakan Yusuf sebaliknya Umaira menunjukkan rasa tak minat.
Yusuf meluahkan rasa berat hatinya kerana dilantik sebagai pengerusi belia masjid kepada Yaakob yang memberinya semangat. Salina menghantar makanan kepada Yusuf dan Yaakob. Umaira bertembung dengan Salina dan kecewa kerana menyangkakan Salina kekasih Yusuf.
Tanpa sedar wujud rasa cinta di hati Yusuf dan Umaira begitu juga sebaliknya. Namun ianya tidak semudah yang disangka bila takdir menentukan ada batu penghalang yang menyekat hubungan mereka. Pada masa yang sama Yusuf keliru terhadap perasaan Umaira kepadanya kerana dia pernah salah faham mengatakan Umaira enggan menerimanya sebagai sahabat satu ketika dulu kerana keadaan keluarganya yang miskin. Sebaliknya Umaira berkelakuan begitu kerana menyangkakan Yusuf dan Salina sedang berhubungan.
Kepulangan Umaira ke Kuala Lumpur telah mengubah segalanya. Apatahlagi sebelum pulang, dia sempat mengetahui keadaan sebenar bahawa Yusuf hanya menganggap Salina sebagai teman.
Begitu pun hubungan mereka mendapat tentangan hebat keluarga masing-masing. Ibu Yusuf lebih rela bermenantukan gadis bertudung seperti Salina manakala ayah dan nenek Umaira mahu menjodohkannya dengan Rafiq yang dirasakan setaraf dengan mereka.
Lalu di tengah persimpangan jalan itu, mampukah cinta meraka bersatu? Saksikan kesudahannya dalam drama bersiri Ilaika Yusuf hanya di TVi.