Terbaharu di slot Samarinda, Hati Tercarik Luka gandingan serasi Syarul Ezani dan Zarazya akan mula bersiaran pada 21 Disember 2023, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3 dan strim eksklusif secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my, muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play atau App Store.
Drama bersiri 15 episod terbitan Creative Skill Solution merupakan inspirasi novel Hati Tercarik Luka karya Aida Asmida, diarahkan oleh Emi Suffian dan nukilan skrip oleh Nieza Nahar serta menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syarul Ezani, Zarazya, Ryun Ryry, Fizo Omar, Mia Nasir, Jasmin Hamid, Aleza Shadan, Haeriyanto Hassan, Halim Radzi dan ramai lagi.
Syarul Ezani, yang lebih dikenali sebagai Ali menerusi Kami The Series dan Kami The Movie kembali aktif pada tahun 2020 selepas lama menyepi di industri hiburan. Menurut Syarul Ezani, “Minat berlakon masih menebal dalam hati saya. Lebih mengujakan apabila saya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan seni yang hebat seperti Zarazya, Jasmin Hamid, Fizo Omar, Ryun Ryry dan ramai lagi. Watak Dani Zairie sangat mencabar kerana perwatakannya jauh dari diri saya. Tambahan pula, nak jadi watak suami yang dah ada anak seorang bukanlah benda yang saya tahu. Jadi, saya perlu mencari keserasian dengan pelakon-pelakon lain untuk melakonkan watak tersebut dengan sebaiknya. Drama ini juga banyak babak yang mencabar emosi dan saya berharap hasil kerja kami bakal menerima sambutan yang baik daripada peminat drama Melayu.â€
Sering diberikan kepercayaan untuk memegang watak berat yang mampu menyentuh jiwa penonton, Zarazya telah memberikan komitmen penuh dan lakonan mantap demi Eyda Amanda, seorang isteri yang telah dikhianati oleh suaminya dan dizalimi oleh perempuan bertopengkan syaitan, Maya Maria. Menurut Zarazya, “Hati Tercarik Luka sarat dengan mesej yang positif dan merupakan sebuah naskhah drama yang berat. Sebagai seorang pelakon, saya tidak pernah rasa puas berlakon dan sentiasa ingin menerokai watak-watak yang diberikan. Saya berharap lakonan saya dapat memberi impak yang positif dalam kehidupan masyarakat kita dan dapat memberi kesedaran kepada semua dalam menjalani kehidupan berumah tangga dengan baik. Semoga watak Eyda dapat memberi inspirasi kepada wanita-wanita yang di luar sana agar tetap berjaya dalam menjalani kehidupan, biarpun melalui fasa-fasa kekecewaan dalam isu rumah tangga seperti yang Eyda alami.â€
Rumah tangga Dani Zairie (Syarul Ezani) dengan Eyda Amanda (Zarazya) bahagia dengan kurniaan seorang anak perempuan, Farra. Dani Zairie dan Eyda Amanda bagaikan lambang pasangan yang bahagia. Perkahwinan mereka berdua dijodohkan oleh Puan Safina (Jasmin Hamid), ibu kepada Dani.
Walaupun Eyda turut bekerja, dia tidak lupa tentang peranan dan tanggung jawabnya sebagai seorang isteri dan ibu. Eyda selalu alpa yang dia perlu dahulukan suami dan anaknya. Dani pula menjadi suami yang memahami dan turut ringan tulang untuk membantu melakukan kerja rumah.
Namun, Puan Safina sering masuk campur dalam rumah tangga anaknya sehingga merunsingkan Eyda. Puan Safina menganggap Eyda mahu menjadi ‘Queen Control’. Puan Safina turut memberikan tekanan kepada Eyda untuk mendapatkan anak lagi, khususnya cucu lelaki memandangkan Farra sudah pun berumur 5 tahun.
Tidak lama kemudian, Dani dan Eyda menerima khabar gembira apabila Eyda disahkan mengandung lagi. Puan Safina sungguh teruja dan mengharapkan kandungan kali ini ialah bayi lelaki. Pada masa yang sama, Eyda mula perasan Dani telah berubah tetapi Dani pandai berkata-kata untuk menenangkan Eyda. Eyda mengharapkan agar kebahagiaan di sisi Dani akan kekal selagi hayatnya. Namun, konflik mula membelenggu kehidupan mereka berdua dengan kehadiran Maya Maria (Ryun Ryry).
Rupa-rupanya dalam diam, Dani ada hubungan sulit dengan pembantu peribadinya, Maya yang masih berstatus isteri kepada Mazli (Halim Radzi). Maya menagih kasih daripada Dani kerana Mazli bekerja berjauhan dan lebih pentingkan keluarga sendiri berbanding Maya. Demi memiliki Dani, Maya berani melawan dengan suaminya malah Maya sanggup menggunakan ilmu hitam untuk merampas Dani.
Apakah yang akan berlaku seterusnya? Mampukah Eyda Amanda menyelamatkan rumah tangganya? Jangan ketinggalan untuk menonton Hati Tercarik Luka menerusi slot Samarinda, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10.00 malam di TV3.