[dropcap]D[/dropcap]rama bersiri menyentuh perasaan mengenai Zayed dan perjalanan hidupnya memenuhi impiannya, keinginannya untuk muzik, sebuah drama nilai berkongsi kekeluargaan dan kisah cinta sebenar serta sebuah cerita yang menjadi inspirasi kepada golongan remaja untuk mengikuti jalan yang betul dalam kehidupan.
Dibawakan watak utamanya oleh pelakon Shahrizal Jaszle, pastinya drama bersiri bertajuk “Harapan” yang telah pun menemui penonton mulai 8 April lalu, setiap Isnin hingga Rabu, jam 6.00 petang menerusi TVi (saluran 180 Astro) ini mampu menarik tumpuan penonton kerana sepanjang 13 episod drama ini mempertemukan Shahrizal Jaszle di samping Miera Liyana selain dibantu oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Shaharuddin Thamby dan Hamidah Wahab.
[pullquote align=”right”]13 Episod “Harapan” Temukan Kembali Shahrizal Jaszle Dengan Miera Liyana mulai 8 April lalu, setiap Isnin hingga Rabu, jam 6.00 petang menerusi TVi[/pullquote]
Saksikan kisah sarat dengan motivasi mengetengahkan watak Zayed, remaja berasal daripada keluarga sederhana dari Kuala Terengganu. Ayahnya, guru di sebuah sekolah dan dia sentiasa bertungkus-lumus memenuhi keperluan keluarganya. Walaupun berada dalam kedudukan kewangan yang susah, ayahnya mempunyai cita-cita yang tinggi untuk menghantar Zayed ke kolej yang terbaik di Kuala Lumpur untuk memperolehi sarjana MBA serta mahu Zayed berjaya dalam hidupnya. Ayahnya mengimpikan kejayaan Zayed dan mahu Zayed merealisasikan impian ayahnya serta menjaga keluarganya apabila sudah tamat penggajiannya nanti.
Sebaliknya Zayed terlalu meminati muzik dan bercita-cita menjadi seorang penyanyi. Dia terlalu tertekan dengan impian keluarganya dan bercadang tidak meneruskan cita-citanya, sebaliknya merealisasikan impian ayahnya dan memikul tanggungjawab seluruh keluarganya. Zayed berada dalam dilema namun pada masa sama Zayed bersetuju pergi ke Kuala Lumpur dan mendaftarkan diri di kolej seperti yang diingini ayahnya.
Zayed tiba di Kuala Lumpur dan memulakan hari pertama di kolej. Di situ dia telah dibuli oleh pelajar-pelajar senior. Kolej itu mempunyai ramai pelajar yang terdiri daripada latar belakang keluarga kaya yang hanya meluangkan masa mereka dan bukannya belajar serta menikmati kehidupan mewah dengan wang ibu bapa mereka. Zayed mula belajar erti kehidupan yang sebenar apabila dia mula menuntut di kolej. Dia mula menyesuaikan diri disitu tetapi tidak bergaul dengan ramai kawan kerana pergaulan yang tidak terbatas ini akan membawanya ke kantin atau parti dan berbelanja dengan boros. Zayed sedar akan keadaan kewangannya dan tidak mampu berbelanja lebih.
Dia hanya berkawan dengan dua orang rakan iaitu Aliya dan Abdul. Aliya juga berasal dari keluarga kelas pertengahan dan Abdul, seorang remaja yang kaya tetapi seorang yang tidak sombong. Mereka bertiga berkawan baik.
Zayed telah mengetepikan impiannya terhadap muzik untuk seketika dan mula menumpukan perhatian kepada pelajaran. Disebabkan hatinya tiada pada pelajaran, dia terus gagal dalam peperiksaan tetapi berbohong kepada ayahnya kerana tidak mahu melukakan perasaan ayahnya.
Hari karnival di kolejnya bermula, Zayed berjaya memenangi pertandingan nyanyian tersebut dan menjadi terkenal di kolejnya. Seorang gadis muda yang kaya bernama Noreen mula jatuh cinta dengan Zayed kerana dia sungguh berbakat. Zayed mendapat ramai kawan dan juga musuh kerana ada segelintir jejaka lelaki cemburu dengannya kerana Zayed boleh menyanyi dengan merdu dan mempunyai kekasih yang cantik seperti Noreen.
Noreen ialah gadis kaya yang suka membazirkan wang ayahnya. Dia seorang remaja yang bebas dan tidak memahami erti kehidupan dan kepentingan wang. Walaupun zayed jatuh cinta dengan Noreen, dia cuba menjauhkan diri daripada Noreen kerana Zayed tidak tahu bagaimana hendak mengembirakan kekasihnya kerana tiada duit.
Sebaliknya Zayed telah menyedarkan Noreen erti kehidupan sebenar dan kepentingan wang dalam kehidupan seseorang. Noreen mula merasai bahawa Zayed ialah cinta sebenarnya dan telah membimbingnya dalam kehidupan sehariannya. Noreen mula berubah dan menjalani kehidupan yang realiti selepas kehadiran Zayed dalam hidupnya.
Konflik bermula bila ayahnya di kampung mendapat tahu tentang Zayed yang sudah menjadi penyanyi terkenal. Ayahnya diserang sakit jantung kerana tidak dapat menerima berita ini dan dimasukkan ke hospital. Zayed berasa serba salah. Lalu apakah yang berlaku seterusnya? Adakah Zayed tetap dengan cita-citanya menjadi penyanyi? Dapatkah ayahnya menerima takdir tersebut?