in ,

Drama Bersiri HANTU KAMPUNG MANGGIS Lakonan Dazrin Kamaruddin

Bulan puasa sememangnya menggamit kenangan lalu terutama sewaktu kecil. Kenangan menjalani ibadah puasa bersama teman-teman sebaya pastinya tersimpan dalam lipatan memori. Bayangkan anda dulunya seorang yang nakal dan banyak melakukan kesalahan pada orang lain. Pastinya kehadiran Ramadan menyuntik perasaan untuk memohon kemaafan atas kekhilafan yang pernah dilakukan.

Menerusi drama bersiri “Hantu Kampung Manggis” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sepanjang Ramadan ini, saksikan kisah menarik mencuit hati lakonan Dazrin Kamaruddin, Ramona Zamzam, Mohd Izuan Fitri dan Maliki mulai 27 Jun ini, setiap Sabtu dan Ahad, pukul 3.05 petang di TV1.

HANTU-KAMPUNG-MANGGIS-

Kisah Kanak-Kanak Nakal Berpuasa Drama Bersiri “Hantu Kampung Manggis” Lakonan Dazrin Kamaruddin dan Ramona Zamzam di TV1

Ia mengisahkan Safar yang mengikut ibu bapanya berhijrah ke Kuala Lumpur. Kehadiran bulan Ramadan membuka hati ibu bapa Safar untuk berpindah semula ke kampung. Safar enggan mengikut ibu bapanya kerana dia mempunyai banyak perancangan dengan kawan-kawan. Akhirnya kawan-kawannya pulang ke kampung halaman dan tinggallah Safar sendirian di ibu kota. Safar terpaksa pulang juga ke kampung kerana dia amat rindukan ibu bapanya yang kini berada di kampung. Safar terkenangkan malam tujuh likur sewaktu dirinya masih kecil.

Tanpa diduga dia bertemu dengan Ana, teman sepermainannya sewaktu di Kampung Manggis. Namun masing-masing tidak perasankan perkara tersebut. Safar sekadar berniat membantu Ana yang bermasalah dengan tiket basnya. Dia menawarkan Ana menumpangkan keretanya kerana kebetulan mereka mahu pulang ke kampung yang sama. Ana menyamar sebagai Ros.

Sepanjang perjalanan, Safar mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya di kampung bersama kawan-kawan baiknya, Maniam, Wong, Sudin dan Opie. Ana membelek album dan kelihatan sekeping gambar budak perempuan berumur 10 tahun iaitu Rohana atau Ana. Ana bertanya dan Safar mengaku budak itu adalah kekasihnya sewaktu kecil. Safar bercerita tentang keakraban mereka dan menyambung selepas mereka berbuka puasa. Ana terharu namun meneruskan penyamarannya.

Safar kembali membuka cerita kenakalan dia dan teman-temannya mengenakan Cikgu Adilan, cikgu Matematik yang garang di sekolah mereka. Niat mengenakan Cikgu Adilan terkubur begitu sahaja sebaliknya mereka pula dikenakan oleh beliau. Setelah beberapa tahun, Safar bertemu dengan Cikgu Adilan di Kuala Lumpur, rupa-rupanya selain seorang guru matematik, Cikgu Adilan adalah seorang ahli sains dan berjaya mencipta produk untuk kegunaan masyarakat.

Safar dan Ana meneruskan perjalanan dan Ana meminta Safar bercerita tentang zaman awal remajanya. Safar mula bercerita, dia dan kawan-kawannya merancang untuk membuat meriam buluh. Pada masa itu Ana muncul kerana menemani Datuknya, Tuk Chu. Safar sukakan Ana tetapi Ana tidak melayannya kerana dia mendapat tahu Safar adalah budak yang nakal tahap ‘budak hantu’.

Ana apabila mendengar cerita Safar terharu rupa-rupanya Safar masih mengingatinya dan suka padanya. Ana mula merasakan Safar seorang pemuda yang baik tetapi nakal. Apabila ditanya adakah Safar mempunyai teman wanita, Safar menjawab bahawa dia ingin menemui Ana. Jika Ana berubah menjadi wanita yang cantik dia akan memikat Ana, jika sebaliknya dia akan memikat Ros kerana Ros seorang yang cantik. Ana benggang tetapi terpaksa tersenyum.

Dalam perjalanan, Safar mengaku bahawa semasa dia menolong Tuk Chu, dia telah menyembunyikan sedikit bekalan mercun yang diseludup. Safar dan kawan-kawannya telah menggunakan serbuk mercun untuk dijadikan meriam buluh. Mereka bermusuhan dengan geng Daim yang mencabar mereka berlawan bermain meriam buluh. Safar bersetuju tetapi dia mempunyai perancangan yang lain iaitu mensabotaj Daim dengan meletakkan serbuk mercun berlebihan yang diseludup. Daim akhirnya lari dari kampung kerana merajuk.

Sewaktu dalam perjalanan mereka terserempak dengan Daim sewaktu mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak. Daim merupakan pemilik stesen minyak dan Daim telah berubah menjadi pemuda yang baik serta dihormati. Tetapi setiap kali menjelang bulan Ramadhan dan juga malam tujuh likur, Daim kesal siapa sebenarnya yang telah mensabotajnya 15 tahun yang lalu. Safar berpura-pura kesian sebaliknya meminta maaf dan menjemputnya ke rumah pada hari raya nanti. Ana bengang melihat sikap Safar tetapi hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak mahu lagi membuka rahsia siapa dirinya yang sebenar.

Akhirnya mereka hampir sampai di kampung Manggis. Ana akhirnya tersenyum lalu merancang untuk mengenakan Safar. Apakah perancangan tersebut?

babak libatkan Dazrin sebagai Safar

dazrin dan ramona ... watak Safar dan Ana

gelegat nakal mencari buluh

zaman kanak-kanak Safar dan Ana

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem GANGSTEROCK Uji Kemampuan Soffi Jikan

TV2 Siar Filem RICHIE RICH Lakonan Macaulay Culkin