Buat pertama kalinya dan bersempena dengan cuti sekolah pada hujung tahun ini Bananana! menerbitkan drama bersiri Ema Emyliana untuk hiburan seisi keluarga. Nukilan pengarah Azad Hatta dan penulis skrip Amin Abdul Nasir, Ema Emyliana mengisahkan seorang gadis remaja bernama Ema yang mempunyai rahsia besar iaitu mempunyai dua identiti yang berbeza di mana apabila menjadi Ema dia adalah seorang remaja yang pemalu manakala apabila menjadi Emyliana, beliau menjadi seorang penyanyi yang lincah dan berjaya.
Kisah bermula apabila Ema (Eyka Farhana), seorang gadis berusia 14 tahun dan mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian dan bercita-cita untuk menjadi penyanyi sejak kecil lagi. Namun Ema yang bersifat pemalu membuatkan dia sukar untuk menunjukkan bakat di hadapan orang ramai. Di sekolah, Ema agak popular dan begitu mudah disukai oleh rakan-rakannya. Ini menyebabkan Juwita (Nur Akis) dan Julia (Fiffy Natasha), rakan sekelasnya begitu cemburu dengan Ema. Ema mempunyai dua teman rapat sejak dari sekolah tadika lagi, CT (Errynne Errynna) dan Joey (Harris Alif).
Namun segalanya berubah apabila Ema memberanikan diri menyertai pertandingan nyanyian yang dianjurkan oleh sebuah majalah remaja dan syarikat rakaman bagi mencari bakat baru di sekolahnya. Juwita dan Julia mendapat tahu hasrat Ema itu lalu cuba mensabotaj Ema dengan meletakkan gel berwarna yang akan digunakan oleh Ema. Gel itu menyebabkan warna rambut Ema berubah menjadi warna biru. Ema panik dan terus menarik diri dari pertandingan tersebut dan bertambah malu lagi apabila Taufik (Naim Daniel) yang diminatinya, melihat sendiri Ema yang begitu hodoh berambut biru.
Namun Ema tidak mudah mengalah, lalu mengubah penampilannya dengan memakai rambut palsu dan menukar namanya kepada Emyliayana. Dengan penukaran identiti tersebut, beliau tidak dikenali dan rasa lebih berkeyakinan apabila muncul di hadapan orang ramai sebagai Emyliana dan bukannya sebagai Ema. Juwita dan Julia langsung tidak menyedari akan hal ini kerana mereka menyangka yang Ema sudah pun pulang dengan perasaan kecewa.
Emyliana berjaya dalam pertandingan dan terpilih sebagai penyanyi baru yang akan digilap bakatnya. Apabila pulang, Bapa Ema, Marzuki dan ibunya Rina, terkejut dengan apa yang berlaku, Ema menerangkan perkara yang sebenar dan mereka bersetuju untuk menyembunyikan identiti sebenar Ema. Pada mulanya Ema cuba merahsiakan identiti “kembarnya” Emyliana daripada CT dan Joey tetapi dapat juga diketahui akhirnya. Sejak itu CT dan Joey bersama-sama membantu untuk menaikkan nama Ema dan pada masa yang sama melindungi identiti Ema.
Bermula dari kemenangan tersebut, bermulalah pelbagai kisah pengembaraan dan kejadian lucu didalam kehidupan Ema Emyliana. Ema perlu pandai menyesuaikan diri dan masanya sebagai pelajar dan juga penyanyi. Ada masanya Ema begitu sukar untuk menangani masalah ini dan bertambah tertekan apabila muncul ramai lagi penyanyi-penyanyi remaja seangkatannya yang juga tidak kurang hebatnya. Malah Ema semakin panik, apabila pertandingan nyanyian dan peperiksaan akan berlangsung dalam masa yang terdekat! Pada masa yang sama, Ema masih sukar untuk menyatakan perasaannya terhadap Taufik, teman sekolah yang diminatinya, apatah lagi mendapati bahawa Juwita juga meminati Taufik. Ema bertambah gelisah dengan sikap Juwita dan Julia yang masih terus menyiasat untuk mengetahui siapakah Emyliana sebenarnya.
Juwita dan Julia pula semakin hampir dapat menyelesaikan misteri siapakah Emyliana yang sebenarnya. Namun Juwita menyelamatkan keadaan kerana tidak sampai hati untuk mendedahkan siapakah Emyliana sebenarnya. Juwita merasakan yang Ema ialah seorang gadis yang baik dan selalu membantu rakan-rakannya. Namun Julia terus menyiasat sambil merasakan misinya masih belum tamat selagi beliau tidak mengetahui dan mendedahkan siapakah Emyliana yang sebenarnya.
Berjayakah Julia membongkar rahsia siapa sebenarnya Ema Emyliana? Akan terbalaskah cinta Ema terhadap Taufik? Berapa lama Ema menyimpan rahsianya sebagai Emyliana kepada teman-teman sekolahnya? Saksikan drama siri pertama Bananana! EMA EMYLIANA sebanyak 14 episod mulai 13 November 2013, setiap hari Rabu dan Khamis, jam 6.30 petang ke 7.00 petang di TV3, terbitan Orangetree Productions Sdn Bhd. Jika anda terlepas menyaksikan drama siri ini di kaca televisyen, anda boleh menontonnya di saluran alternatif menerusi www.tonton.com.my.