in

Drama Bersiri Cinta Tabir Senja

KONGSI PERASAAN SEORANG IBU DIABAIKAN ANAK DALAM DRAMA BERSIRI CINTA TABIR SENJA DI TV2

Ibarat pepatah, seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak namun belum tentu sepuluh orang anak itu mampu menjaga seorang ibu. Justeru Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi paparan kisah yang realitinya berlaku dalam kehidupan seharian masyarakat kita ini menerusi sebuah drama bersiri Cinta Tabir Senja yang disiarkan mulai 3 November depan, setiap Khamis, jam 9.00 malam menerusi TV2.

Cinta Tabir Senja yang disiarkan mengisi slot Selekta Prima On 2 ini mengangkat kisah yang tidak asing berlaku dalam masyarakat kita di mana ia mengangkat dilema dihadapi ibu tunggal yang keseorangan dan kesepian kerana tidak dihirau anak-anak yang sibuk dengan karier dan keluarga masing-masing.

Dihasilkan sebanyak 13 episod, ia dibintangi pelakon hebat tanah air seperti Aida Khalida sebagai Suria, Elly Mazlein (Zalika), Ngasriah Ngasri (Zalia), Afzan Abdul Rahman (Zarul), Syed Aiman (Asri) dan Zaefrul Nadzarine (Rosdi).

Drama terbitan BKB Production Sdn Bhd arahan Apache ini mengetengahkan kisah berlaku dalam kehidupan Suria, ibu tiga anak yang akan bersara daripada kariernya sebagai penterjemah. Sisa hidup yang tinggal diharungi Suria keseorangan berikutan anak-anak membiarkannya dan dia tidak dipedulikan.

Sedih dan kecewa dengan keadaan dirinya, Suria berhijrah ke kampung. Ia bagi mendapatkan pengalaman baru selepas terbiasa dengan kehidupan kota. Di kampung, Suria berhadapan pelbagai dugaan dan fitnah apabila dirinya dianggap pengacau.

Ini kerana, di sebalik usianya dia masih cantik, berdisiplin dan sangat dihormati lelaki di kampung itu terutama golongan lelaki pencen. Namun, berkawan baik dengan Mariam menyebabkan Suria semakin gembira dan berasa masanya. Apatah lagi, Suria dibawa berkunjung ke rumah insan istimewa. Tanpa diduga, Suria bertemu dengan ahli fisioterapi, Rosdi yang berusia 40 tahun. Sudah berkahwin tetapi bercerai, Rosdi cukup selesa menjalin hubungan rapat dengan Suria.

Bahkan, Rosdi sangat menyanjung tinggi keperibadian Suria yang sanggup hidup sebagai ibu tunggal lebih 20 tahun dan membesarkan anak-anaknya sendirian selepas bercerai. Malah, Suria juga masih berkawan baik dengan bekas suaminya, Zaman.

Apapun, kehadiran Rosdi disenangi Zalia, anak Suria yang rapat dengannya. Begitu juga dengan anak lelakinya, Zarul yang bersikap terbuka. Cuma, Zalika saja yang kurang senang dengan hubungan ibunya dengan Rosdi. Justeru, apakah kesudahannya?

Mampukah Suria dan Rosdi mengharungi kesusahan bersama? Bagaimana pula, persepsi Zalika terhadap hubungan itu. Malah, siapakah Jasmin yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah kebahagiaan Suria dan Rosdi? Jawapannya ada dalam drama Cinta Tabir Senja.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jodoh Kahwin Campur Dalam Telemovie Chandrapuspha

Konvoi Misteri Jalan Lama Di Tasik Titiwangsa