Slot Aurora tampil dengan sebuah drama baru bagi menggantikan drama Alam Maya yang diinspirasikan daripada novel Cinta Pandang Kedua terbitan Kumpulan Karangkraf. Drama ini diterbitkan oleh ZK Creative Production Sdn. Bhd. dan akan mula bersiaran pada 5 Disember ini, setiap hari Khamis jam 8.30 malam. Drama ini dibintangi oleh Izara Aishah, Dazrin Kamarudin, Maria Farida, Redzuan Hashim, Dian P.Ramlee, Amira Rosli dan Along Eyzendy.
[pullquote align=”right”]Turut membuat penampilan istimewa ialah pak cik Azman yang dikenali ekoran insiden kontroversi yang membabitkan pertelingkahannya dengan isteri kepada pemain bola sepak terkenal negara sebagai watak sampingan.[/pullquote]
Cinta Pandang Kedua mengisahkan mengenai seorang gadis bernama Ainnur (Izara) yang sering menjadi mangsa ejekan dan diperlekehkan rakan-rakan di sekolah kerana fizikalnya yang gemuk sehinggakan Ainnur menjadi seorang yang pemarah dan bengis. Walaupun sering dinasihati oleh ibunya, Puan Dalila (Maria Farida) supaya mengawal permakanan dan sikapnya, Ainnur sering tidak mengendahkannya. Kehadiran Zairul (Dazrin Kamarudin), budak baru yang ditukarkan sekolah kerana mempunyai masalah disiplin di sekolah lamanya, akhirnya membuatkan kesabaran Ainnur tercabar apabila Zairul telah memalukannya di depan rakan-rakan sekelas mereka.
Ainnur telah bersumpah pada suatu hari nanti, Zairul akan melutut dan merayu-rayu untuk berkahwin dengannya. Adakah Zairul, jejaka playboy itu akan jatuh cinta pada gadis gemuk yang pernah dicercanya dahulu? Ikuti perjalanan kisah Ainnur yang sedaya upaya mencuba untuk berubah menjadi gadis yang lebih cantik dan kurus dalam Cinta Pandang Kedua di slot Aurora hanya di TV9. Untuk maklumat lanjut sila layari, www.tv9.com.my. Drama ini juga boleh ditonton 48 jam awal iaitu setiap hari Selasa 8.30 malam di www.tonton.com.my.